1 Kemalangan Jalan Raya Setiap 86 Saat | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » 1 kemalangan jalan raya setiap 86 saat

1 kemalangan jalan raya setiap 86 saat

 

Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan purata satu kemalangan jalan raya dalam tempoh 86 saat serta satu nyawa terkorban untuk setiap dua jam nahas.

Pengerusi Lembaga Pengarah Global Alliance Of Road Safety, Profesor Dr Kulanthayan KC Mani berkata, trend itu dilihat berdasarkan jumlah keseluruhan 370,286 kes kemalangan jalan raya serta 4,539 kematian yang dicatatkan di negara ini sepanjang tahun lalu.

"Kita bimbang angka itu boleh meningkat jika masyarakat masih tidak mengamalkan sikap berhemah atau tidak memahami asas bagi mengelak risiko dalam pemanduan di atas jalan raya terutama pada sambutan Aidilfitri kali ini.

"Perlu difahami toleransi kecederaan orang dewasa sama ada dalam kenderaan atau luar kenderaan bersamaan satu tingkat bangunan iaitu 30 kilometer sejam (kmj) manakala kanak-kanak pula di bawah 30 kmj.

"Jadi jika sesuatu kemalangan yang berlaku itu memberikan impak melebihi had ditetapkan ia boleh mendatangkan risiko kecederaan teruk atau kematian," katanya kepada Harian Metro.

Penyelidik Bersekutu Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia itu berkata, masyarakat perlu membudayakan amalan pemanduan selamat di jalan raya terutama pulang ke kampung atau ke mana-mana destinasi pada musim perayaan ini bagi mengurangkan risiko kemalangan.

"Perjalanan balik kampung biasanya akan mengambil masa lama dan jauh yang secara tidak langsung akan meningkatkan tahap tekanan terutama kepada pemandu.

"Jadi apa yang perlu dibuat ialah berhenti rehat selepas empat jam perjalanan atau tempoh kurang daripada itu bergantung kepada kesesuaian individu serta sediakan makanan dan minuman yang sesuai untuk meredakan tekanan dan mengantuk.

"Selain itu, sentiasa patuhi had laju ditetapkan serta menjaga jarak kenderaan dengan kenderaan depan misalnya jika pemanduan pada kelajuan 60 kmj jarak dikekalkan ialah antara 36 meter serta 58 meter untuk 80 kmj bagi memudahkan kita mengawal kenderaan," katanya.

Seperti biasa katanya, aspek pemakaian tali pinggang keledar antara perkara penting perlu dititik beratkan sebelum menaiki kenderaan.

"Nampak macam remeh, namun tali pinggang keledar akan mengurangkan kebarangkalian kematian sebanyak 40 hingga 50 peratus.

"Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak berpiawaian UNECE atau UN R44/R129 pula akan mengurangkan kematian bayi sebanyak 70 peratus, 59 peratus (berusia empat hingga tujuh tahun) serta 54 peratus (satu hingga empat tahun).

"Selain itu, letak kerusi keselamatan kanak-kanak di bahagian tempat duduk disarankan iaitu paling bongsu di bahagian belakang penumpang hadapan diselangi dengan anak kedua pada belakang pemandu seterusnya pilihan terakhir anak sulung boleh diletakkan di bahagian penumpang hadapan dengan kedudukan menghadap ke depan jika anak ramai," katanya.

Bagi mereka yang menggunakan kenderaan berisiko seperti motosikal pula dinasihatkan memakai jaket pemantul cahaya atau pakaian cerah serta pemakaian topi keledar yang mempunyai label standard keselamatan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

"Tahun lalu, kematian daripada pengguna motosikal akibat kemalangan mencecah 68.56 peratus paling tinggi berbanding kenderaan lain.

"Jadi, memakai topi keledar dengan diikat kemas akan mengurangkan kecederaan sebanyak 72 peratus dan 39 peratus kebarangkalian kematian.

"Selain itu, pengguna masih mempunyai pilihan menggunakan mod pengangkutan selamat atau kurang risiko kemalangan seperti pesawat, kereta api atau bas," katanya.

Disiarkan pada: Mei 1, 2022 @ 1:20pm
 
Sumber berita:

Tarikh Input: 17/05/2022 | Kemaskini: 07/06/2022 | ahmadmustafa

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXEUFAC~