Putrajaya Perlu Jadi Model Laksana Kempen Larangan Merokok | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Putrajaya perlu jadi model laksana kempen larangan merokok

Putrajaya perlu jadi model laksana kempen larangan merokok

Oleh Prof Madya Dr Suriani Ismail - Ogos 7, 2022 @ 2:26pm

 

KERAJAAN Malaysia melalui Kementerian Kesihatan (KKM) giat berusaha mengawal masalah merokok melalui dasar dan pelbagai inisiatif program pada peringkat masyarakat.

Antara langkah terkini ialah program Generasi Penamat - Anti-Rokok (GEGAR-18). Walaupun begitu, masalah merokok di negara ini masih amat ketara.

Sejumlah 21.8 peratus penduduk negara ini dikesan merokok dan jumlah itu dianggap masih tinggi berbanding negara maju seperti United Kingdom (19.2 peratus, Kanada (17.5 peratus) dan Australia (16.2 Australia).

Angka berkenaan juga menunjukkan Malaysia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Singapura (16.5 peratus) dan Brunei (15.5 peratus).

Dengan catatan prevalen yang tinggi, sudah semestinya peratusan penyakit dan kematian berkaitan akibat merokok juga lebih tinggi dibandingkan negara terbabit.

Isu morbiditi dan mortaliti ini tidak terhenti pada peringkat pesakit sahaja, namun ia satu masalah menyebabkan kerajaan kerugian berbilion-bilion ringgit.

Kos ini diperlukan dalam menampung kos rawatan pesakit berkenaan dan pada masa sama jumlah kos itu dianggarkan berlipat ganda daripada jumlah kutipan cukai rokok.

Sebenarnya ramai menyokong usaha larangan merokok, baik dalam bentuk persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahupun secara individu.

Bagaimanapun semuanya terus berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran dan rintangan di setiap peringkat. Kuasa besar dalam perniagaan rokok dan hasil tembakau sentiasa kreatif dan tanpa henti berikhtiar membantutkan usaha ini.

Antara ikhtiar popular mereka ialah mengadakan dan mempromosi produk diragui keselamatannya, tetapi diperkenalkan sebagai produk 'kurang bahaya'.

Persepsi berkenaan ditonjolkan sebagai produk 'dapat mengurangkan bahaya' merokok. Inisiatif penyamaran dan putar belit penggunaan perkataan halus dan jinak sebegini, dilihat sedikit sebanyak berupaya memesongkan fokus usaha bebas rokok seperti aspirasi GEGAR-18.

Pemesongan fakta sedemikian berlaku bukan sahaja pada peringkat orang awam, malah didapati berpotensi memberikan impak lebih bahaya dalam kalangan golongan berpengaruh dalam bidang akademik dan profesional.

Dalam lingkungan cerdik pandai berkenaan, program diskusi diadakan menggunakan pelbagai perkataan halus dan lunak seperti keterangkuman, praktikal dan sensibel.

Bersatu sokong usaha larangan merokok

Diskusi sedemikian jelas mempunyai tujuan meredakan penolakan produk rokok, membolehkan penggunaan dan yang paling melampau mempromosikan produk berkenaan.

Meskipun tercabar dengan perkembangan sebegini, diharapkan semua pihak menyokong usaha larangan merokok untuk tidak luntur semangat, sebaliknya meneruskan usaha di pelbagai peringkat.

Berikut adalah beberapa perkara boleh dilakukan dalam usaha menyokong larangan merokok amnya dan aspirasi program GEGAR-18 khasnya.

Pertama, di premis diwartakan sebagai kawasan larangan merokok contohnya semua premis kerajaan, ketua pentadbiran tertinggi di premis bertanggungjawab berusaha untuk memastikan pelaksanaan larangan merokok di kawasan premis berkenaan.

Antara usaha perlu dipastikan ialah mengadakan papan tanda larangan merokok mencukupi, memberikan peringatan kepada semua penjawat awam di bawah penyeliaan beliau mengenai tindakan tatatertib serius jika mereka melanggar peraturan larangan ini dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ia berlaku.

Ketua jabatan perlu sentiasa turun padang untuk turut memberikan sokongan terhadap penguatkuasaan berkenaan.

Merokok di premis yang diwartakan sebagai kawasan larangan adalah suatu kesalahan serius. Oleh yang demikian kesungguhan dan sokongan jelas daripada ketua pentadbiran tertinggi premis diperlukan untuk memastikan keberkesanannya.

Sekiranya ketua pentadbiran tertinggi premis tidak melakukan usaha dalam lingkungan munasabah, beliau perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan dan boleh dikenakan tindakan selaras peruntukan perundangan.

Kedua, pada 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 memutuskan dengan jelas merokok adalah haram.

Sehubungan itu, sepatutnya semua premis berkaitan agama Islam, termasuk jabatan dan majlis agama, pusat zakat, masjid, surau malah sekolah agama perlu menjiwai fatwa ini dan melaksanakan larang merokok di premis masing-masing.

Walaupun ada beberapa pihak menampakkan usaha, malangnya masih ramai ketua pentadbiran premis berkaitan agama didapati tidak menunjukkan kesungguhan dalam pelaksanaannya.

Ketiga, sebagai pusat pentadbiran negara di mana letaknya kementerian dan sebahagian besar penduduknya ialah penjawat awam, Putrajaya perlu menjadi model bagi pelaksanaan larangan merokok terbaik.

Analisis jurang perlu dilakukan untuk mengesan isu mungkin belum di beri perhatian serius, contohnya garis panduan larangan merokok di kediaman bertingkat.

Projek rintis selaras tujuan ini boleh diuji di sini dan dinilai keberkesanannya sebelum dilaksanakan pada peringkat nasional. Sistem aduan dan maklum balas mesra pengguna, cepat dan cekap serta selaras kemudahan teknologi komunikasi terkini dapat melonjakkan bantuan penyokong larangan merokok kepada pihak berkuasa kesihatan.

Kesimpulannya, usaha dalam lingkungan perundangan sedia ada masih perlu diteruskan bersungguh-sungguh semua pihak disamping mempercepatkan peruntukan undang-undang berkaitan aspirasi GEGAR-18.

Walaupun usaha ini mungkin lambat membuahkan hasil, tanggungjawab untuk menyokong larangan merokok perlu disertai dengan komitmen tinggi, tidak putus asa dan perlu diteruskan meskipun berdepan cabaran dan ancaman.

Mencegah kemudaratan kepada kesihatan diri dan orang awam adalah tanggungjawab semua pihak dan perlu dilakukan sedaya mungkin.

Penulis adalah Pensyarah Perubatan dan Pakar Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

Submer: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/08/985511/putrajaya-perlu-jadi-model-laksana-kempen-larangan-merokok

Tarikh Input: 08/08/2022 | Kemaskini: 08/08/2022 | ahmadmustafa

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
BVKBMA4:12:19