Industri Perlu Bantu Kawal Pemanduan Mabuk | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» BERITA » Industri perlu bantu kawal pemanduan mabuk

Industri perlu bantu kawal pemanduan mabuk

Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my

INDUSTRI berkaitan minuman keras seharusnya turut sama memainkan peranan dalam menangani isu pemanduan mabuk yang kerap menjadi topik perbahasan kebelakangan ini.

Pakar Keselamatan Jalan Raya dan Pencegahan Kecederaan Kanak-Kanak, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Kulanthayan K C Mani berkata, pembabitan pihak industri sedikit sebanyak menguatkan lagi impak kepada usaha dilakukan kerajaan ketika ini dalam menangani isu berkenaan.

 Ini kerana kata beliau, selain pihak berkuasa, peranan awam termasuk industri berkaitan minuman keras itu sendiri memberi kesan langsung sama ada untuk jangka masa pendek mahupun panjang terhadap budaya pemanduan bebas pengaruh alkohol.
 "Dari segi perundangan, saya kira ia sudah diuruskan dengan baik apabila pemimpin tertinggi negara (Perdana Menteri) pun membangkitkan isu ini dimana cadangan pindaan juga dikatakan akan dibentang dalam sidang Parlimen seterusnya.

"Cuma usaha kerajaan ini perlu diiringi peranan pihak lain bagi memberi kesan lebih ketara misalnya pemilik premis yang membekalkan minuman beralkohol (seperti kelab malam) mengawal kuantiti jualan kepada setiap pelanggan.

"Pihak industri juga boleh mengambil langkah seperti negara luar dimana pemilik premis (kelab malam) menyediakan perkhidmatan teksi secara percuma kepada pelanggan yang didapati tidak dapat memandu disebabkan berada dibawah pengaruh alkohol," katanya.

Mengambil contoh pengambilan suhu sewaktu memasuki premis bagi mengawal penularan Covid-19 ketika ini, Dr Kulanthayan berkata, perkara sama juga boleh dilakukan sewaktu pelanggan meninggalkan premis dengan melakukan pemeriksaan pernafasan untuk melihat tahap kandungan alkohol pelanggan.

Selain itu, Dr Kulanthayan yang juga Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Jabatan Kesihatan Komuniti UPM turut menyentuh peranan majikan yang disifatkan lebih berkesan dalam mengawal pekerja daripada terbabit dengan pemanduan dibawah pengaruh alkohol.

"Kadang-kala, kita lebih bimbang dengan tindakan yang akan diambil oleh majikan kita jika kita melanggar mana-mana peraturan jalan raya berbanding perundangan sedia ada.

"Contohnya, ada sesetengah majikan meletakkan syarat jika kakitangan mereka ditangkap atau didenda disebabkan penggunaan telefon bimbit dan kes itu berulang, kemungkinan mereka akan dibuang kerja.

"Tindakan ini lebih drastik berbanding perundangan sedia ada berkait dengan penggunaan telefon bimbit. Majikan mempunyai peranannya sendiri, impaknya lebih kuat, jadi sekiranya majikan ambil peduli isu ini, saya rasa ia boleh ditangani dengan lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel bagi Program Bicara Pengembangan Pemanduan Berhemah Jalan Raya Sindrom Pemandu Mabuk yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi University Community Transformation Centre UPM, hari ini.

Pada program bicara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof Madya Dr Law Teik Hua turut diundang menjadi panel dan tidak menolak keperluan untuk melihat semula kandungan alkohol yang dibenarkan dalam pemanduan.

"Jika kita lihat di negara lain, angkanya pelbagai dimana Sweden dan Norway menetapkan 0.02 gram, Jepun 0.03 gram, Kanada 0.04 gram manakala Australia, Belgium, Denmark, Finland dan Switzerland 0.05 gram sebagai had kandungan alkohol yang dibenarkan untuk memandu.

"Namun itu bukan bermakna semua negara berkenaan mempunyai rekod kemalangan jalan raya yang rendah membabitkan pemandu mabuk tetapi ia juga bukan bermakna perkara ini tidak penting.

"Namun saya juga bersetuju dengan Prof (Dr Kulanthayan) untuk pihak lain turut sama mengambil bahagian dalam usaha mengekang masalah ini termasuklah masyarakat khususnya keluarga," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 7:21 PM

Tarikh Input: 07/07/2020 | Kemaskini: 07/07/2020 | ahmadmustafa

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXESQAk~