Throat-Lite Inovasi Tempatan | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» BERITA » Throat-Lite inovasi tempatan

Throat-Lite inovasi tempatan

Nurul Husna Mahmud
_______________________________

Teknologi asing iaitu ‘Throat Scope’ iaitu alat khas bagi membantu pengamal perubatan melakukan pemeriksaan kerongkong atau mulut sangat mahal untuk dimiliki.

Pilihan lebih mudah dan murah diperkenalkan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Inovasi pemeriksaan kerongkong, ‘Throat-Lite’ yang menggabungkan penggunaan ‘wooden tongue depressor’ atau sudip kayu dengan lampu LED mini.

Idea berkenaan dicetuskan Pakar Patologi (Hematologi) (Pengkhususan Kaji Penyakit Bahagian Darah), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Sabariah Md Noor apabila mencari jalan mengatasi isu pencahayaan ketika memeriksa bahagian mulut dan kerongkong.


 
“Idea menghasilkan ‘Throat-Lite’ tercetus ketika saya berbincang dengan Pakar Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Dr Shazreen @ Fatihah Shaari pada penghujung 2018, sebaik menyedari kesulitan yang dihadapi pengamal perubatan ketika pemeriksaan kerongkong kanak-kanak.
 

“Sebelum ini doktor menggunakan pelbagai jenis lampu dan ada kala sukar untuk tumpukan cahaya ke bahagian tekak. Malah ia menjadi gangguan bukan saja kepada doktor malah pesakit.

“Berdasarkan penggunaan sudip kayu pakai buang sedia ada, kami tambah baik dengan pemasangan lampu LED mini yang membantu pemeriksaan pesakit lebih cepat dan cekap ke arah pendiagnosan penyakit yang tepat.

“Lampu LED yang kecil, ringan dan boleh dipusing 360 darjah hanya perlu diklip pada sudip terbabit dan terus boleh diguna. Ia tidak menjadi bebanan kerana sudip itu sudah sedia ada, doktor hanya perlu dapatkan lampu LED berkenaan pada kos serendah 70 sen menerusi pembelian dalam talian,” katanya.


 

Tambahnya, konsep rekaan ‘Throat-Lite’ mudah itu nyata banyak memberi kebaikan termasuk meningkatkan kecekapan pengamal perubatan. Ini termasuk mereka tidak memerlukan kakitangan sokongan atau ibu bapa pesakit untuk memegang, meriba atau menstabilkan kedudukan kepala pesakit dan menenangkan kanak-kanak yang mungkin meragam sewaktu pemeriksaan dilakukan.

Justeru, katanya, ‘Throat-Lite’ yang bersaiz kecil, mudah alih dan praktikal, memberi impak besar dalam tugas harian pengamal perubatan yang membolehkan mereka memberi rawatan segera dan bersesuaian daripada pendiagnosan penyakit.

Katanya, idea asal itu diketengahkan sebagai projek inovasi dalam Program Global I-Lead STEM Camp & International STEM Olympiad (GISC & ISTEMO) 2018 di UPM oleh dua pelajar tingkatan satu Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya - Muhammad Danish Imtiaz Syamul Kamal dan Aiman Harun Norashid.


 
‘Throat-Lite’ berjaya memenangi anugerah pingat perak pada ISTEMO 2018 apabila dilihat menjadi penyelesaian bagi kaji selidik dijalankan iaitu mengenai masalah dan keperluan pencahayaan yang baik sewaktu pemeriksaan kerongkong dalam kalangan pengamal perubatan.

Sebanyak 90 peratus responden bersetuju pemeriksaan kaviti oral dalam kalangan kanak-kanak rumit berbanding orang dewasa, dan mereka sebulat suara bersetuju sumber cahaya adalah keperluan amat penting dalam pemeriksaan kerongkong dengan baik.

Kajian pasca intervensi penggunaan ‘Throat-Lite’ juga dilakukan sepanjang program GISC itu membabitkan 24 pengamal perubatan. Sebanyak 63 peratus responden amat berpuas hati, 21 peratus responden berpuas hati dan selebihnya bersetuju dengan intervensi berkenaan.

Maklum balas mengenai tiga aspek utama yang paling membantu mereka sama ada reka bentuk, alat yang senang digunakan, faktor mobiliti (mudah alih) dan praktikaliti atau semua ciri-ciri berkenaan dikumpul.

Hasilnya mendapati 46 peratus menyatakan mereka menyukainya kerana faktor mobiliti dan praktikaliti, 42 peratus menghargai intervensi pemasangan lampu LED mini itu dan berpuas hati dengan ketiga-tiga aspek yang disenaraikan.

Dr Sabariah berharap penggunaan ‘Throat-Lite’ dapat merealisasikan sebahagian misi dan visi Kementerian Kesihatan iaitu pemeriksaan pesakit dapat dilakukan dengan lebih cepat dan cekap ke arah pendiagnosan penyakit yang tepat, seterusnya rawatan segera dan bersesuaian dapat dijalankan.

 
Sumber: METROTV

Tarikh Input: 04/03/2019 | Kemaskini: 04/03/2019 | h_khairi

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXDdXAl~