''Kita berganding bahu berkongsi kepakaran, amalan terbaik dan berkongsi maklumat terkini dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang terbaik,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Persidangan ASAIHL 2022 itu.
Peserta adalah dari negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Brazil, Filipina, Indonesia, Thailand, India, Bangladesh, Taiwan, Jepun, Brunei, Vietnam, Iran, Mesir, Iraq, Arab Saudi, Hungary, Nigeria, Somalia dan Afrika Selatan.
Turut hadir Presiden ASAIHL, Professor Dr Yoshihisa Baba; Setiausaha Agung ASAIHL, Profesor Madya Dr Ninnat Olanvoravuth; Penasihat Persidangan ASAIHL 2022, Professor Dr Syafinaz Amin Nordin; dan Penaung Persidangan ASAIHL Conference 2022, Profesor Dr Zamberi Sekawi.
UPM menganjurkan Persidangan ASAIHL 2022 Malaysia (MyASAIHL), persidangan ASAIHL pertama tahun ini dan dihadiri kira-kira 700 peserta dari 21 negara, sekali gus meneraju usaha secara antarabangsa untuk terus bergerak ke hadapan selepas pandemik COVID-19. Tema persidangan kali ini ialah “Emerging Infectious Diseases: A Recurrent Threat to Human Society”, yang dijalankan secara webinar.
ASAIHL atau Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara adalah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan di Bangkok, pada Januari 1955. Pada masa ini, ia dianggotai 234 institusi dari 28 negara termasuk Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, India, Taiwan dan Jepun.
Profesor Dr Mohd Roslan berkata, COVID-19 telah menjadi pemangkin kepada peralihan besar ke arah penyampaian kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian, dan bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam sejarah dan perkembangan pendidikan di UPM tetapi juga meningkatkan kemahiran staf akademik serta memperhalusi peranan infrastruktur universiti untuk memenuhi keperluan yang mendesak.
Katanya, pandemik itu telah mengubah setiap aspek sistem pendidikan, menukar kaedah pembelajraan secara bersemuka kepada pembelajaran jarak jauh melalui pelbagai platform digital.
Meskipun berdepan banyak cabaran dan halangan katanya, peranan yang dimainkan pendidik dan pentadbir dalam memberikan pengalaman pendidikan yang efektif semasa pandemik harus dihargai dan diiktiraf.
Katanya, kerajaan Malaysia berusaha keras memberikan vaksin kepada rakyatnya, dan sehingga kini hampir 80% daripada penduduk telah menerima vaksinasi COVID-19.
Sementara itu, Pengerusi Persidangan ASAIHL 2022, Profesor Madya Dr Chee Hui Yee berkata, UPM berterima kasih kerana diberi kepercayaan menganjurkan persidangan itu, dan terkejut menerima hampir 700 penyertaan, jauh melebihi daripada perancangan awal untuk menarik hanya 300 peserta. -
DagangNews.com
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/upm-terajui-usaha-antarabangsa-bergerak-ke-hadapan-dalam-pendidikan-selepas-covid19-352196