USIM, UPM Anjur Program Keselamatan Jalan Raya Untuk Beri Kesedaran Kepada Pelajar | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» BERITA » USIM, UPM anjur program keselamatan jalan raya untuk beri kesedaran kepada pelajar

USIM, UPM anjur program keselamatan jalan raya untuk beri kesedaran kepada pelajar

Penulis:Roshlawaty Md Raieh

November 30, 2021

Program Keselamatan Jalan Raya di institusi pengajian tinggi (IPT) wajar diteruskan bagi memberi kesedaran dan pengetahuan kepada mahasiswa tentang pentingnya keselamatan jalan raya.

Ini kerana, hampir 80 peratus pelajar di kebanyakan IPT menggunakan kenderaan bagi memudahkan pergerakan di dalam atau luar kampus.

Bagaimanapun, sejak penularan wabak Covid-19 tahun lepas, Program Keselamatan Jalan Raya tidak dapat diadakan kerana pelajar perlu mengikuti pengajian secara Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) sehinggalah baru-baru ini, sebahagiannya mula kembali ke universiti secara berperingkat.

Ketua Bahagian Operasi Jabatan Keselamatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mejar Rozaimi Kamarudin berkata, pihak universiti perlu bersedia dan mencari kaedah pencegahan atau kawalan terbaik bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang melibatkan warga universiti apabila 100 peratus kampus di buka semula.

“Diakui, kempen keselamatan jalan raya perlu diadakan secara bersemuka bagi memberi kesedaran tentang bahaya di jalan raya.

“Tetapi, dengan situasi semasa, kita perlu fikirkan sesuatu bagi meneruskan kempen tersebut. Mungkin setiap IPT boleh menganjurkan kempen keselamatan jalan raya secara dalam talian yang melibatkan komponen pendidikan, kejuruteraan dan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata, setiap hari kita didedahkan dengan pelbagai berita kemalangan jalan raya dan masalah tersebut dilihat semakin serius. Keadaan semakin meruncing dan akan meningkat sekiranya tidak ditangani dengan bijak serta berkesan oleh pihak universiti juga negara.

“Saya nasihatkan agar warga universiti mempunyai sifat  bertolak ansur, memandu secara berhemah dan saling menghormati hak pengguna jalan raya yang lain, tidak kira sama ada mereka memandu kenderaan berat, berkereta, penunggang motosikal, berbasikal atau berjalan kaki kerana perkara yang amat penting ialah menghargai nyawa orang lain,” jelasnya dengan menambah pihak universiti juga boleh memberi tumpuan lain, menggalakkan pihak korporat dan syarikat swasta mengambil bahagian dan mengadaptasi keselamatan jalan raya sebagai salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Program intervensi UPM

Sementara itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut tidak ketinggalan menganjurkan program keselamatan jalan raya untuk pelajarnya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) ketika itu, Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, program intervensi untuk menghakupayakan pelajar dengan maklumat keselamatan jalan raya telah dijalankan buat kali pertama secara besar-besaran pada 4 September 2019.

Program yang berlangsung selama tiga jam itu turut melibatkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Mereka telah mengadakan beberapa siri pameran berkaitan keselamatan pejalan kaki, pengguna motosikal dan kereta. Malah, peralatan dan bahan keselamatan turut dipamerkan sebagai maklumat sampingan kepada pelajar.

Menurut Dr Nurrul Hafezah Sahak dari Safe Kids Malaysia UPM selaku penganjur bersama, program tersebut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Setiausaha Agung PBB Duta Khas Keselamatan Jalan Raya, Jean Todt melahirkan penghargaan kepada UPM dalam menganjurkan program penghakupayaan keselamatan jalan raya bagi kumpulan belia IPT.

Dalam pada itu, program intervensi berkenaan turut menyarankan agar pelajar UPM menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan oleh universiti di samping menggunakan pengangkutan awam, sistem pengangkutan yang sangat selamat.

“Bagi pelajar yang mengunakan motosikal di dalam kampus, mereka dinasihati untuk mengurangkan kelajuan kenderaan dan berpakaian cerah pada waktu malam agar mudah dilihat oleh pemandu lain.

“Malah, elemen pengurangan kecederaan semasa penggunaan motosikal turut dititikberatkan iaitu penggunaan dengan kemas topi keledar motosikal berpiawaian SIRIM untuk mendapatkan perlindungan yang terbaik,” ujarnya.

Seterusnya, pelajar diberi penekanan bahawa topi keledar motosikal perlu digunakan sepanjang masa supaya sentiasa mendapat perlindungan ketika dalam perjalanan.
Program ini berakhir dengan pelajar diminta menyertai kajian keselamatan jalan raya bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai keselamatan jalan raya.

Kemudian ia disusuli dengan Webinar Keselamatan Jalan Raya yang dianjurkan Majlis Perwakilan Mahasiswa pada 14 November 2019 secara dalam talian untuk manfaat warga kampus UPM.

Tarikh Input: 01/12/2021 | Kemaskini: 01/12/2021 | ahmadmustafa

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2300
03 9769 2585
WVMGRA:17:52