Keperluan Psikologi, Biologi Anak Autisme Normal | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» NEWS » Keperluan psikologi, biologi anak autisme normal

Keperluan psikologi, biologi anak autisme normal

KUALA LUMPUR: Kemahiran pengurusan emosi dalam kalangan ibu bapa, menjadi sebahagian elemen penting bagi mengurus anak autisme memandangkan keperluan mereka berbeza mengikut usia. Walaupun berhadapan ketidakseimbangan perasaan, gagal berfikir secara sempurna, namun keperluan psikologi dan biologi kanak-kanak ini seperti individu normal.

Bersifat kompleks

Pakar Psikiatrik Kanak-Kanak, Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Hamidin Awang, berkata anak autisme bersifat kompleks, menjadi tanggungjawab ibu bapa memahami situasi mereka bermula pada peringkat kanak-kanak hingga dewasa.

Beliau berkata, keperluan itu menuntut mereka sentiasa lebih peka terhadap persekitaran dan keperluan anak, melengkapkan diri dengan pengetahuan serta kemahiran pengurusan emosi.

Faktor pengurusan emosi yang lemah, katanya menyebabkan anak autisme tidak tahu bagaimana patut berperangai serta menunjukkan kelakuan mereka yang sebenar.

“Anak ini mengalami kebutaan minda (mind blindness), berhadapan masalah memahami fikiran orang lain termasuk emosi, perasaan dan kepercayaan.

“Situasi ini menyaksikan mereka berhadapan kelemahan dalam bersosial dan berkomunikasi, selain tingkah laku berulang-ulang.

“Memahami kekurangan antara perkara perlu diberi perhatian khusus terhadap anak ini menerusi program intervensi dan pemulihan, selain sokongan berterusan ibu bapa sebagai sebahagian latihan kemahiran sosial mereka,” katanya.

 

PAKAR Psikiatrik Kanak-Kanak, Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Hamidin Awang.

 

Ketidakupayaan intelektual

Mengulas isu sama, Pakar Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dr Shazreen @ Fatihah Shaari, berkata selain berhadapan ketidakstabilan emosi, anak istimewa ini juga mengalami ketidakupayaan intelektual. Anak ini mengalami kesukaran memberi perhatian, selain masalah tingkah laku seperti hiperaktif.

Katanya, masalah lain termasuk gagal mengurus diri, masalah tidur serta perubatan lain seperti epilepsi, gangguan sistem penghadaman dan penyakit psikiatri lain.

“Paling nyata, anak ini lewat bertutur yang memerlukan rujukan perubatan bertujuan diagnosis. Penilaian awal bagi mengoptimumkan potensi kanak-kanak ini secara holistik,” katanya.

Justeru, Dr Shazreen menyarankan ibu bapa memberi sokongan dan komitmen membantu anak autisme bagi membolehkan mereka membesar menjadi seorang dewasa berdikari dan tingkat kemahiran sosial, berkomunikasi lebih baik, selain mengoptimumkan tingkah laku.

 

Didik jiwa terima amanah

Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, UPM, Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata tidak dinafikan segelintir ibu bapa sukar menerima hakikat dikurniakan anak autisme menyebabkan segelintir anak tadi tidak mendapat kehidupan dan pendidikan sempurna.

Beliau berkata, berhadapan situasi ini, ibu bapa perlu lebih bermaklumat mengenai keperluan psikologi dan biologi mereka, walaupun perkembangan berbeza berbanding anak normal.

Anak autisme kurang tertarik dengan rakan sebaya, selain kurang perasaan empati dan tidak mampu berinteraksi disebabkan keadaan perkembangan mental agak lemah. Kesulitan ini disebabkan gangguan perilaku yang pelbagai.

“Sebagai contoh, anak autisme melalui kesulitan menterjemahkan perasaan kerana kurang faham dalam hal malu berbanding anak normal seawal usia dua tahun.

“Dari segi rangsangan seks atau berpasangan, ia juga berkait rapat dengan sistem sokongan serta persekitaran sosial yang wujud dalam kalangan anak autisme,” katanya.

Beliau berkata, jika persekitarannya membenarkan mereka merasai rasa kasih sayang dan diajarkan nilai penyatuan serta berpasangan, maka ini boleh berlaku.

“Namun, agak sukar bagi mereka menguruskan hal berkaitan perasaan secara mutlak atau sah,” katanya.

Oleh itu, antara cabaran memiliki anak autisme adalah penyesuaian diri sebagai ibu bapa, komunikasi, interaksi dengan anak serta pengurusan emosi diri, anak, orang sekitar, penerimaan hakikat dan semangat.

Beliau menyarankan ibu bapa ini terbabit secara langsung atau tidak dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan autisme dan mempelajari ilmu keibubapaan yang memiliki anak berkeperluan khas.

 

PEGAWAI Psikologi Kanan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, UPM, Siti Fatimah Abdul Ghani.

 

Info

 

 

Rawatan pelbagai disiplin anak autisme

 

* Pakar Perubatan Keluarga

* Pakar Pediatrik

* Pakar Psikiatri Kanak-Kanak

* Pakar Psikologi

* Jurupulih Cara Kerja (Occupational Therapist)

* Ahli Terapi Pertuturan (Speech therapist)

* Pegawai Pendidikan

* Pegawai Kerja Sosial

* Kaunselor Klinikal dan Pendidikan.

 

Info Autisme

 

* Autistic spectrum disorder (ASD) atau kecacatan spektrum autistik disenaraikan sebagai salah satu penyakit psikiatri yang kerap didiagnosa dalam kalangan kanak-kanak seawal usia dua hingga tahun.

* Mental Health Computerized Adaptive Testing (MHCAT) melaporkan kekerapan 1.6 dalam 1,000 kes ASD dalam kalangan kanak-kanak berusia 18 hingga 36 bulan.

* Antara amaran perkembangan kanak-kanak yang tidak normal, termasuk tiada tindak balas kepada ibu bapa dan persekitaran selewat-lewatnya ketika usia 12 bulan.

* Tidak dapat menyebut perkataan yang boleh difahami dalam tempoh 18 bulan, tidak dapat menggabung dua perkataan selewat-lewatnya ketika berusia dua tahun dan tidak berinteraksi ketika berusia tiga tahun.

 

 Sumber: Berita Harian

 

Date of Input: 10/04/2019 | Updated: 10/04/2019 | h_khairi

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXDdGA2~