KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) melantik tiga individu sebagai ahli gabungannya, berkuat kuasa Selasa lalu hingga 4 Mei 2022.
Lantikan berbentuk pengiktirafan secara rasmi kepada individu dari luar MIROS itu membabitkan pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Kulanthayan KC Mani; Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya UPM, Prof Madya Dr Law Teik Hua dan ahli merangkap Bendahari Kehormat Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Ahmed Ismail Amin.
Unit Korporat dan Pengurusan Ilmu MIROS menjelaskan, individu yang dilantik berkenaan bukan sekadar memiliki kepakaran, malah mempunyai kesungguhan untuk dikongsi dan digunakan dalam usaha menangani isu keselamatan jalan raya demi kepentingan umum.
"Individu yang dilantik dibenarkan menggunakan gelaran Ahli Gabungan Keselamatan Jalan Raya MIROS dalam urusan rasmi.
"Pelantikan ini bertujuan menambahkan lagi kerjasama dan kesepakatan di antara MIROS dengan pihak universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam bidang keselamatan jalan raya.
"MIROS merakamkan setinggi tahniah kepada mereka atas pelantikan berkenaan," katanya.
sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/711959/miros-lantik-tiga-ahli-gabungan