Pengangkutan Awam Lebih Selamat | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» NEWS » Pengangkutan awam lebih selamat

Pengangkutan awam lebih selamat

Kulanthayan (atas, kiri) ketika memberi pandangan berkenaan kes kemalangan jalan raya di negara pada program hari ini

 

SHAH ALAM - Perkhidmatan pengangkutan awam dilihat jauh lebih selamat berbanding mana-mana pengangkutan persendirian yang ada di negara ini.

Pakar Keselamatan Jalan Raya, Profesor Dr Kulanthayan KC Mani berkata, ia susulan pengangkutan awam dikenal pasti menyumbang paling sedikit kes kematian akibat kemalangan jalan raya.

Beliau berkata, bagi tahun lalu, kemalangan jalan raya yang dilaporkan di negara ini adalah sebanyak 567,516 kes dan tidak menolak jumlah tersebut jika dicampurkan dengan kes kemalangan jalan raya yang tidak dilaporkan mungkin mencatatkan angka lebih tinggi.

"Kalau dipecahkan mengikut saat, satu kes kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku setiap 55 saat di negara ini dan itu adalah magnitud kepada masalah ini.

"Kesan daripada angka kemalangan itu pula menyebabkan seramai 6,167 nyawa terkorban pada tahun lalu dengan kadar kehilangan satu nyawa dicatatkan setiap 85 minit.

"Kumpulan pengguna jalan raya yang terlibat menyumbang kepada kes kematian itu, 90 peratusnya datang daripada kumpulan pengangkutan persendirian iaitu motosikal, kereta dan pejalan kaki," katanya pada program bual bicara langsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) bertajuk Sindrom Pemandu Mabuk hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah peratusan itu, 64 peratus terdiri daripada kumpulan motosikal, 18 peratus kumpulan pemandu dan penumpang kereta, sementara enam peratus ialah pejalan kaki.

"Baki 10 peratus lagi dikongsi kumpulan pengguna jalan raya seperti penunggang basikal, van dan lori.

"Yang paling sedikit menyumbang kematian adalah pemandu dan penumpang bas, jadi boleh dibuat kesimpulan bahawa pengangkutan awam jauh lebih selamat berbanding mana-mana pengangkutan persendirian," katanya.

Tegasnya, pengangkutan persendirian iaitu motosikal umpamanya mempunyai lebih 17 kali risiko berbanding kenderaan lain.

Program turut disertai Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya UPM, Profesor Madya Dr Law Teik Hua dan dimoderatorkan oleh Timbalan Pengarah Pusat Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), Husalshah Rizal Hussian

Dalam pada itu, Kulanthayan berkata, bagaimanapun terdapat beberapa klasifikasi dalam mod pengangkutan awam iaitu yang berasaskan jalan serta rel.

Menurutnya, jika dibuat perbandingan, pengangkutan awam berasaskan jalan lebih berisiko terlibat kemalangan kerana berkongsi jalan dengan kenderaan lain tetapi pengangkutan awam rel lebih selamat kerana tidak berkongsi trek laluan dengan kenderaan lain.

"Tetapi melihat ke depan, negara yang ada pengangkutan awam berasaskan sistem rel ini, rekod kemalangan mereka adalah kurang berbanding mana-mana negara lain.

"Justeru, kita juga perlu bergerak ke arah ini dalam usaha menangani kemalangan jalan raya di negara ini," katanya.

 


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/88220/BERITA/Nasional/Pengangkutan-awam-lebih-selamat
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Date of Input: 07/07/2020 | Updated: 07/07/2020 | ahmadmustafa

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXDdQAN~