Persepsi Masyarakat Terhadap Profesion Kejururawatan Di Malaysia - Meningkatkan Martabat Profesion Kejururawatan Di Mata Masyarakat | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Persepsi masyarakat terhadap profesion kejururawatan di Malaysia - Meningkatkan martabat profesion kejururawatan di mata masyarakat

Persepsi masyarakat terhadap profesion kejururawatan di Malaysia - Meningkatkan martabat profesion kejururawatan di mata masyarakat

Profesion kejururawatan mula dikenali sejak abad ke-18, era Florence Nightingale. Hari ini, kerjaya yang lazimnya dimonopoli oleh kaum wanita telah mengalami perubahan yang ketara  dengan peningkatan bilangan kaum lelaki menceburi bidang ini. Peningkatan tahap akademik juga telah berkembang sehingga ke peringkat doktor falsafah kejururawatan. Jururawat yang dilengkapi dengan pelbagai ilmu pengetahuan termasuk ilmu penyelidikan dan  teknologi maklumat berupaya merancang dan menguruskan penjagaan pesakit yang berkualiti. Namun begitu kerjaya kejururawatan masih kurang dan hampir tidak ketara akan kepentingannya di kalangan masyarakat.

 

Pandemik Covid-19 telah membuktikan kepentingan profession kejururawatan dalam sektor kesihatan negara. Kegigihan jururawat menggalas tugas di barisan hadapan, kesanggupan berdepan segala kemungkinan dan bahaya demi menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19  dan negara dari ancaman wabak berbahaya ini sedikit sebanyak boleh memberi nilai tambah terhadap persepsi masyarakat mengenai profesion kejururawatan.  Sumbangan jururawat dalam memerangi pandemik di negara adalah salah satu bukti bahawa profesion ini diakui sangat penting. Setiap jururawat telah menggunakan kepakaran serta kemahiran kejururawatan sebagai penyokong dalam melindungi dan meningkatkan kesihatan pesakit di bawah jagaan mereka serta orang awam semasa wabak ini. Jururawat kekal professional dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan ikhlas dan sepenuh hati dalam merancang dan melaksanakan penjagaan pesakit. Jururawat yang berpendidikan dan berkemahiran ini mempunyai kebijaksanaan kognitif, rohani dan emosi sentiasa melihat tugas dari sudut yang positif menghasilkan perawatan berkesan dalam proses penyembuhan pesakit.

 

Jururawat perlu sentiasa memperkasakan peranan mereka supaya masyarakat boleh menilai kepentingan profession ini dalam penjagaan kesihatan.  Persepsi terhadap jururawat di Malaysia dapat ditingkatkan lagi sekiranya semua jururawat dapat melengkapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka dengan cara meneruskan pengajian ke peringkat ijazah seterusnya doktor falsafah. Pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi disertai dengan sikap  mementingkan pembelajaran sepanjang hayat dapat meningkatkan daya pemikiran dalam perancangan  penjagaan pesakit yang berkualiti. Jururawat berpendidikan tinggi juga dapat melibatkan diri dengan penyelidikan kejururawatan dalam dan luar negara. Aktiviti penyelidikan adalah amat penting supaya masalah dalam penjagaan kejururawatan dapat dikenalpasti dan diambil tindakan yang sewajarnya untuk ditangani. Selain dari penyelidikan, setiap jururawat juga perlu menyediakan makalah penerbitan supaya hasil kajian mereka dapat disebarkan dan seterusnya diaplikasikan untuk meningkatkan lagi kualiti jagarawatan pesakit. Selain dari itu, penerbitan juga adalah amat penting dalam kejururawatan kerana ia boleh digunakan sebagai panduan kepada jururawat dari negara lain untuk mengaplikasikan hasil penerbitan di negara mereka sendiri. Kajian kejururawatan yang telah diterbitkan  sebelum ini  telah mengenalpasti bahawa kadar morbiditi dan mortaliti pesakit dapat dikurangkan sekiranya lebih ramai ramai jururawat berijazah yang memberikan perawatan kepada pesakit di fasiliti kesihatan. Jururawat berpengetahuan dan kompeten berupaya memimpin serta bekerjasama dengan profesion lain.

 

Sebagai kakitangan perkhidmatan awam dalam bidang kesihatan, jururawat bukan sahaja menjadi role model tetapi perlu mempamerkan kepatuhan kepada polisi di mana-mana sahaja bukan hanya ”untuk ditunjukkan” kerana ada seseorang yang memerhatikan tindakan mereka. Apabila seorang jururawat sentiasa mengekalkan cara kerja mereka dengan betul mereka akan sentiasa membawa sikap positif di mana sahaja mereka berada, justeru ini akan dapat mengekalkan kredibiliti jururawat pada pandangan masyarakat.  

 

Setiap jururawat perlu mengutamakan perkembangan dalam profesion kejururawatan berbanding dengan kepentingan kendiri. Sebaiknya setiap jururawat dapat mempamerkan kebolehan untuk berkongsi idea dan cadangan untuk penambahbaikan berterusan dalam profesion ini. Mereka perlu sentiasa bersedia bekerja dalam kumpulan dan menerima cadangan yang munasabah berasaskan bukti dalam pengurusan kesihatan serta penjagaan pesakit terutamanya dalam menangani masalah pandemik COVID-19 dalam negara yang semakin meruncing.  

 

Kesimpulannya,   kecemerlangan    profession kejururawatan     boleh ditingkatkan sekiranya setiap jururawat memahami keperluan profession ini. Setiap jururawat disarankan supaya sentiasa menerapkan dan mempraktikkan nilai-nilai murni dalam amalan harian dengan sikap yang produktif supaya profession ini akan terus berkembang sejajar dengan pencapaian pendidikan dan penyelidikan. Setakat ini persepsi masyarakat terhadap profesion kejururawatan di Malaysia  boleh dianggap selektif dan mengikut keadaan semasa. Kepentingan profesion ini akan lebih ketara dan dihargai sekiranya profesion ini dapat melalui arus transformasi  yang menyeluruh mengikut  halatuju yang jelas. Perkara ini amat  berkait rapat dengan kemampuan kepimpinan kejururawatan yang dinamik (berfikir secara terbuka, progresif dan berdaya saing). Pendidikan tinggi kejururawatan mampu menyumbang dalam membentuk jururawat dengan kriteria kepimpinan yang dinamik. 

 

 

Disediakan oleh :

Profesor Dr Soh Kim Lam, Ketua Jabatan Kejururawatan 

Rosna binti Abdul Raman, Pensyarah, Jabatan Kejururawatan

Paramesevary A/P L.Subramaniam, Pensyarah, Jabatan Kejururawatan

 

Tarikh Input: 08/06/2021 | Kemaskini: 10/06/2021 | mukhriz

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXDdQAE~