Kanak-kanak Berusia 8 Tahun Ke Bawah Wajar Diiringi Orang Dewasa | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» ARTICLE » Kanak-kanak berusia 8 tahun ke bawah wajar diiringi orang dewasa

Kanak-kanak berusia 8 tahun ke bawah wajar diiringi orang dewasa

Suraya Roslan

suraya@hmetro.com.my

 

Kuala Lumpur: Kanak-kanak tidak boleh dibiarkan bersendirian atas jalan raya termasuk melintas jalan kerana mempunyai pelbagai limitasi.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Dr Kulanthayan KC Mani berkata, saiz badan kanak-kanak yang kecil menyebabkan pemandu van atau bas mudah terlepas pandang kewujudan mereka.

"Kebiasaannya pemandu duduk dalam van dan di depan cermin hadapan mereka banyak perkara memerlukan perhatian.

"Berikutan kanak-kanak bersaiz kecil, peluang untuk terlepas pandang kewujudan mereka agak tinggi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, disebabkan itu setiap kanak-kanak perlu diiringi seorang dewasa yang agak tinggi supaya peluang untuk dilihat lebih cerah.

"Limitasi kedua adalah kanak-kanak tidak boleh membuat keputusan yang tepat dan selamat. Kita harus melihat mereka sebagai kanak-kanak dan bukan orang dewasa yang 'kecil'.

"Pemandangan seorang kanak-kanak hanya satu pertiga daripada orang dewasa, ini bermaksud jika ada kenderaan yang datang dan masuk dalam sudut 60 peratus, baru kanak-kanak akan nampak berbanding orang dewasa sudut pandangan 180 darjah sudah boleh nampak," katanya.

Menurutnya, selain itu, berhubung kait dengan pendengaran, kanak-kanak boleh dengar bunyi kenderaan tetapi tidak tahu arah mana bunyi kenderaan itu sama ada kanan atau kiri.

"Apabila sumber bunyi sudah hampir dengan kanak-kanak, baru mereka bertindak balas.

"Selain itu, kanak-kanak beranggapan kenderaan adalah satu objek yang baik dan bukan boleh membunuh mereka disebabkan sejak kecil lagi, ibu bapa memberikan kenderaan sebagai alat permainan.

"Kanak-kanak tidak boleh jangka kenderaan ini mampu membunuh mereka, apatah lagi kita ada kenderaan di rumah dan menggunakannya untuk keluar bersama keluarga ke semua tempat, objek yang membantu mereka tidak mungkin membunuh mereka, ini anggapan kanak-kanak," katanya.

Dr Kulanthayan berkata, disebabkan itu, pihaknya mengesyorkan supaya kanak-kanak tidak boleh bersendirian atas jalan raya termasuk melintas jalan berseorangan kerana mereka tiada kemampuan untuk membuat keputusan yang tepat.

"Kita tidak boleh salahkan kanak-kanak kerana itu limitasi mereka, kanak-kanak di bawah usia lapan tahun perlu sentiasa diiringi orang dewasa bagi mengelak kejadian murid sekolah dilanggar bas atau van berulang lagi," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan van sekolah dinaiki seorang murid Tahun Satu meragut nyawa kanak-kanak terbabit dalam kemalangan di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah hari, kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu cedera di kepala dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

Hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, van sekolah berkenaan menghantar murid dari Sekolah Kebangsaan Taman Seroja ke sebuah tadika yang dijadikan transit kepada murid terbabit sebelum ke Kelas Fardu Ain (Kafa).

Selepas selesai menurunkan kesemua murid di tadika berkenaan, pemandu van yang juga seorang wanita berusia 31 tahun terus bergerak ke hadapan dan pada masa sama mangsa yang terakhir turun dari van melintas di bahagian hadapan van yang sedang bergerak itu lalu dilanggar kenderaan terbabit.

 

Disiarkan pada: November 15, 2021 @ 2:22pm

Sumber berital: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/11/777609/kanak-kanak-berusia-8-tahun-ke-bawah-wajar-diiringi-orang-dewasa

Date of Input: 16/11/2021 | Updated: 16/11/2021 | ahmadmustafa

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
CUMFAAX:00:23