Jangkitan Cacing Jejaskan Emosi, Rencatkan Pertumbuhan Kanak-kanak | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Jangkitan cacing jejaskan emosi, rencatkan pertumbuhan kanak-kanak

Jangkitan cacing jejaskan emosi, rencatkan pertumbuhan kanak-kanak

Jangkitan cacing antara jenis jangkitan yang kerap ditemui dalam kalangan kanak-kanak

 

Oleh Prof Madya Dr Malina Osman - Februari 17, 2023 @ 3:37pm

 

SEMPENA Hari Penyakit Tropika Terabai Dunia baru-baru ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan jangkitan cacing (helminthes) adalah salah satu daripada pada tujuh kategori jangkitan dalam kategori berkenaan.

Jangkitan cacing antara jenis jangkitan yang kerap ditemui dalam kalangan kanak-kanak.

Meskipun jangkitan dalam kalangan dewasa juga boleh berlaku, namun impak akibat jangkitan didapati lebih ketara berlaku di kalangan kanak-kanak.

Terdapat enam jenis cacing helminthes, iaitu sejenis parasit.

Parasit berkenaan menyebabkan jangkitan cacing seperti Ascaris lumbricoides (cacing gelang), Trichuris trichiura (cacing rambu), Ancylostoma duodenale dan Necator americanus (cacing kait), Strongyloides stecoralis (cacing benang) dan Enterobius vermicularis (cacing kerawit).

Sebahagian daripada cacing ini memasuki tubuh manusia melalui makanan yang tercemar atau disebabkan tangan yang tidak bersih yang mengandungi telur cacing.

Cacing kait dan cacing benang pula berupaya memasuki tubuh melalui penetrasi kulit oleh larva cacing berkenaan tanpa disedari.

Ini berlaku terutama apabila terdapat kontak anggota tubuh dengan tanah, terutama apabila seseorang tidak memakai kasut.

Dalam konteks perubahan landskap gaya hidup terutama dalam kalangan masyarakat yang mengamalkan hubungan seks sesama jantina, jangkitan cacing helminthes juga dilaporkan agak prevalen, iaitu risikonya lebih tinggi dari populasi masyarakat umum.

Gejala jangkitan cacing

Gejala akibat jangkitan cacing adalah sakit perut yang memulas, loya, muntah dan cirit birit. Bergantung pada jenis spesis cacing, sebahagian individu turut mengalami gejala anemia (kurang darah merah) dan juga terdapat pendarahan dalam najis.

Terdapat juga individu yang mengalami kegatalan pada bahagian kulit tempat di mana penetrasi kulit berlaku oleh larva cacing; atau di bahagian dubur seperti jangkitan oleh cacing kerawit .

Cacing ini melalui sifat biologinya keluar bertelur di bahagian berkenaan serta mengakibatkan radang kulit yang mengakibatkan gatal di bahagian kulit sekitar dubur individu yang dijangkiti.

Sebahagian kecil dari individu yang dijangkiti cacing helminthes ini terdedah kepada risiko komplikasi teruk seperti penyumbatan usus (akibat cacing terlalu banyak sehingga menjejaskan pergerakan usus) memerlukan pembedahan kecemasan, bahagian dubur yang prolaps serta renjatan septik berpotensi membawa maut.

Implikasi ketara akibat jangkitan cacing adalah kesan negatif terhadap pertumbuhan kanak-kanak terutama mereka dalam kelompok kurang lima tahun.

Jangkitan cacing boleh menjejaskan pertumbuhan fizikal, emosi dan juga terhadap kemampuan kognitif (pembelajaran).

Anemia turut menjejaskan keadaan keseluruhan dan memberikan impak terutama sekiranya berlaku dalam kalangan ibu mengandung dan golongan rentan yang lain.

Untuk ibu mengandung terutamanya, anemia menyebabkan mereka sangat berisiko mendapat komplikasi pendarahan (tumpah darah).

Peratusan jangkitan cacing di negara kita berbeza mengikut tempat dan corak amalan tingkah laku sesuatu kelompok komuniti.

Ia turut di pengaruhi cara pemakanan, penyediaan makanan, tahap kebersihan diri, amalan kebersihan dan tahap pendidikan serta status ekonomi (tahap pendapatan keluarga) keluarga berkenaan.

Dalam kelompok masyarakat Orang Asli yang berada di pedalaman dan pinggiran desa, julat peratusan jangkitan cacing adalah sekitar 50 hingga 95 peratus; bagi masyarakat desa pula merekodkan prevalen sekitar 35 hingga 40 peratus.

Prevalen jangkitan dalam kalangan mereka yang berada di bandar pula, ia bergantung pada kelompok komuniti.

Kelompok masyarakat pelarian Rohingnya, peratusan dalam kalangan kanak-kanak adalah sekitar 40 peratus manakala masyarakat warganegara Malaysia dalam kajian terkini mencatatkan prevalen sekitar 1.8 peratus.

Jangkitan cacing memberikan impak yang besar terhadap kanak-kanak kerana ia menjejaskan tumbesaran fizikal dan kemampuan pembelajaran.

Melalui kajian semasa, majoriti merumuskan jangkitan cacing berkaitan dengan tahap pendapatan keluarga yang rendah.

Ketidakmampuan keluarga menyediakan makanan berzat, seterusnya mendedahkan kanak-kanak dalam keluarga berdepan dengan kesan berganda, iaitu menyebabkan kanak-kanak terkesan bukan sahaja sukar mendapat sumber makanan berzat, namun terpaksa bersaing dengan cacing parasit untuk nutrisi diperlukan.

Di sebabkan julat beban jangkitan masih berlaku berbeza mengikut strata lokasi, komuniti dan amalan cara hidup, fokus untuk mengurangkan kadar jangkitan perlu disesuaikan mengikut latar belakang budaya, amalan sosial serta cara hidup sesuatu masyarakat.

Penyelesaian melalui pemberian ubat cacing seperti Zentel boleh mengurangkan jangkitan untuk jangka masa pendek, namun penyelesaian jangka panjang melalui komitmen pendidikan dan advokasi mampan perlu diketengahkan.

Pembabitan wakil masyarakat untuk menggandakan usaha pendidikan keluarga serta menambahbaik pengurusan dalam pemilihan dan penyediaan makanan adalah langkah proaktif yang perlu dilaksanakan.

Menyedari kalangan mereka yang terkesan biasanya berdepan dengan pelbagai masalah unik di peringkat keluarga mahupun individu, bantuan melalui inisiatif nasihat dan kaunseling dari individu dalam masyarakat dianggap individu yang dihormati dan dipercayai adalah sesuatu yang turut wajar diutamakan.

Fokus aktiviti seperti menyediakan makanan secara higenik, amalan membasuh tangan yang sempurna, amalan penggunaan tandas dan kebersihan diri yang memenuhi piawai kesihatan perlu diterapkan.

Pembabitan tokoh masyarakat dan ikon agamawan seperti imam masjid, surau atau wakil agama juga turut digalakkan.

Melalui perkhidmatan kesihatan, Kementerian Kesihatan suatu ketika dahulu pernah memperuntukkan ubat cacing secara rutin kepada semua kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun; namun preskripsi itu tidak lagi dilaksanakan akibat perubahan dasar dan polisi semasa.

Data terkini, disyorkan preskripsi terhadap kanak-kanak di kawasan dan kelompok berisiko disyorkan disambung semula secara rutin namun disokong oleh data penyelidikan dari masa ke semasa.

Jangkitan cacing helminthes masih menjadi isu utama ke atas mereka masih terikat dengan sosiobudaya dan amalan hidup berisiko serta tahap pendapatan rendah.

Kombinasi perubahan amalan pemakanan dan kebersihan diri yang konsisten serta pemberian ubat anti-helmint terhadap kelompok berisiko adalah dua strategi penting perlu diketengahkan bagi menurunkan prevalen jangkitan dan mengelakkan kemungkinan berlaku implikasi negatif tidak diingini.

Penulis adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM)

sumber: Berita Harian, 17 Februari 2023

Tarikh Input: 20/02/2023 | Kemaskini: 07/04/2023 | ahmadmustafa

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXDdAAo~