Kerusi Keselamatan Kanak – Kanak Dalam Kereta Bantu Kurangkan Kematian Kemalangan | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Kerusi keselamatan kanak – kanak dalam kereta bantu kurangkan kematian kemalangan

Kerusi keselamatan kanak – kanak dalam kereta bantu kurangkan kematian kemalangan

By Muqri Aziz #bm Berita Sarawak 
 

KUCHING, 13 April: Pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam kenderaan sangat penting bagi mengurangkan jumlah kematian kumpulan itu akibat kemalangan.

Pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Kulanthayan KC Mani berkata, ia juga bagi mencapai sasaran ditetapkan dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030.

Selain itu beliau memberitahu, langkah tambahan diambil berhubung aspek keselamatan jalan raya juga selaras dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengisytiharkan tempoh 2021 hingga 2030 sebagai Sedekad Kedua Tindakan Keselamatan Jalan Raya.

“Menerusi sasaran kelapan, pihak berkuasa mahu meningkatkan jumlah penumpang kenderaan bermotor yang menggunakan tali pinggang keselamatan atau mematuhi standard CRS kepada 100 peratus menjelang 2030.

“Pemasangan CRS dengan betul boleh mengurangkan kematian dalam kalangan bayi sebanyak 70 peratus, kanak-kanak berumur setahun hingga empat tahun sebanyak 54 peratus.

“Ia juga dapat mengurangkan kecederaan klinikal bagi kanak-kanak berumur empat hingga tujuh tahun sebanyak 59 peratus,” katanya kepada TVS.

Tambah Kulanthayan, usaha berkenaan perlu diiringi dengan penguatkuasaan kerana kebarangkalian kemalangan berlaku adalah rendah.

Jelasnya, pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak juga perlu mematuhi garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Peraturan 44 dan 129 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebelum ini, undang-undang pemasangan CRS telah diwartakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Akta Pengangkutan Jalan 1978 – Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan) 2019.

Pada 1 Januari 2020, undang-undang pemakaian kerusi keselamatan kanak-kanak telah dilaksanakan ke atas kenderaan persendirian.

Mengulas lanjut, Kulanthayan mengingatkan bahawa penyelenggaraan kenderaan juga penting selain pengguna perlu berada dalam keadaan sihat dan cukup tidur sebelum memulakan perjalanan jauh.

“Apabila kenderaan sudah diselenggara, tidak akan berlaku breakdown yang mana kos untuk membaiki pasti lebih mahal terutama jika berada di luar kawasan,” katanya.

Beliau menambah kemudahan disediakan termasuk kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya juga boleh dimanfaatkan.

“Ini akan membantu usaha mengurangkan kemalangan, risiko diri sendiri serta pemandu yang lain,” jelasnya lagi. -TVS

Tarikh Input: 18/04/2023 | Kemaskini: 18/04/2023 | ahmadmustafa

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
WXEZWA5~