Filipina Hampir Pintas Malaysia Kes Terbanyak Di Asia Tenggara | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» BERITA » Filipina hampir pintas Malaysia kes terbanyak di Asia Tenggara

Filipina hampir pintas Malaysia kes terbanyak di Asia Tenggara

SHAH ALAM - Pelaksanaan ujian saringan koronavirus (Covid-19) rendah selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menyeluruh menjadi faktor utama Filipina hampir memintas Malaysia sebagai negara paling banyak kes jangkitan pandemik itu di Asia Tenggara.

Berdasarkan statistik Johns Hopkins University setakat jam 7 petang semalam, Filipina kini memiliki jumlah kes dijangkiti Covid-19 sebanyak 4,428 iaitu hanya sedikit ketinggalan berbanding Malaysia yang mencatatkan angka kes 4,530.

Berbeza dengan peringkat awal penularan Covid-19 pada tarikh 18 Mac lalu, Malaysia mencatatkan angka kes jangkitan Covid-19 sebanyak 790 kes, lebih tiga kali ganda berbanding Filipina yang mencatatkan 202 kes sahaja.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, walaupun Filipina menggunakan teknologi pengesanan kontak jangkitan Covid-19 lebih canggih daripada Malaysia, negara itu dilihat melaksanakan ujian saringan pandemik itu jauh lebih rendah berbanding Malaysia.

“Dari segi ujian saringan Covid-19, Filipina didapati hanya melaksanakan 24,500 ujian berbanding Malaysia yang berjaya melaksanakan 71,897 kes iaitu tiga kali ganda lebih banyak.

“Keupayaan dan komitmen Malaysia melaksanakan lebih banyak ujian saringan menyebabkan keadaan kesihatan negara pada saat diancam Covid-19 jauh lebih baik,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Dr Malina berkata, peningkatan mendadak kes Covid-19 di Filipina juga disebabkan kegagalan kerajaan negara itu melaksanakan PKP secara menyeluruh ke seluruh negara.

Menurutnya, kegagalan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat membendung Covid-19 hanya disebabkan PKP tidak dilaksanakan sepenuhnya di negara berkenaan.

Menurutnya, perbezaan kadar kematian amat ketara antara Malaysia dan Filipina turut memberi gambaran tahap perkhidmatan rawatan dan pengurusan kes Covid-19 oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah jauh lebih baik berbanding Filipina.

“Malaysia turut mencatatkan kadar penyembuhan pesakit antara terbaik di dunia apabila sejumlah 1,995 pesakit Covid-19 berjaya dipulihkan sehingga kini berbanding Filipina yang sekadar mencatatkan 195 pesakit pulih,” katanya.

https://www.sinarharian.com.my/article/78515/KHAS/Koronavirus/Filipina-hampir-pintas-Malaysia-kes-terbanyak-di-Asia-Tenggara

Tarikh Input: 12/04/2020 | Kemaskini: 12/04/2020 | norashiqin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXDcWA6~