Dalam masa sama, Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Juliana Jalaludin turut meminta masyarakat mengurangkan aktiviti luar yang boleh meningkatkan risiko penyakit.

Walaupun menasihatkan orang ramai untuk tidak berada terlalu lama di luar bangunan, namun Juliana turut mengingatkan masyarakat supaya menjaga kualiti udara ketika berada di dalam rumah.

“Kualiti udara di dalam rumah juga perlu dipantau dengan tidak menghisap rokok atau melakukan aktiviti barbeku di persekitaran dalaman rumah. Kita perlu sentiasa peka apatah lagi masalah jerebu melangkaui sempadan ini kerap kali berlaku, hampir setiap tahun.

“Jadi, golongan yang terdedah kepada risiko penyakit seperti kanak-kanak, ibu mengandung dan warga tua serta orang ramai yang menghidap penyakit termasuk sakit jantung, asma dan hipertensi disarankan supaya tidak melakukan aktiviti luar untuk tempoh yang lama,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

 

Kebakaran hutan di enam wilayah iaitu Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan telah mengakibatkan negara mula dilanda masalah jerebu sejak semalam.

Menurut laporan Bernama yang memetik Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Jailan Simon, masalah cuaca kering dan jerebu dijangka berterusan hingga lima hari.

Dalam keadaan jerebu ketika ini, Juliana yang juga Timbalan Presiden Persatuan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) turut menyarankan supaya orang ramai memastikan pengambilan makanan segar dan meminum air bersih sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

“Pengambilan makanan segar khususnya mengandungi vitamin C, E dan asid Omega-3 menguatkan sistem imuniti badan manakala meminum air boleh mengelakkan masalah dehidrasi,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Sumber: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/jerebu-elakkan-pembakaran-terbuka-kurang-aktiviti-luar-1.948441?fbclid=IwAR3KA2PiLxn0eDEtDbtYX-KNs-rT8nGobIeUSfrJm0oi2q9Std9avVnyppw