Pengaliran Udara Tidak Baik Tingkat Risiko Penyebaran Covid-19 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» BERITA » Pengaliran udara tidak baik tingkat risiko penyebaran Covid-19

Pengaliran udara tidak baik tingkat risiko penyebaran Covid-19

Pengaliran udara tidak baik tingkat risiko penyebaran Covid-19

 

Kuala Lumpur: Kualiti udara dalaman (IAQ) di bangunan atau pejabat boleh mempengaruhi kesihatan pekerja selain berisiko meningkatkan penyebaran wabak Covid-19.

Tidak hanya sekadar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan membasuh tangan, golongan pekerja sebenarnya masih berisiko dijangkiti virus itu jika terdedah dalam ruangan tiada pengaliran udara yang baik.

Profesor Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Juliana Jalaluddin berkata, virus Covid-19 boleh berada lama dalam udara menyebabkan pekerja yang berada dalam ruang yang sempit terdedah dengan risiko jangkitan.

"Pencemaran kualiti udara berlaku apabila bangunan itu kedap udara, alat penyaman udara tidak diselenggara dengan baik dan sumber pengudaraan luaran tidak masuk ke dalam ruangan pejabat.

"Kita sebenarnya banyak menghabiskan masa di ruangan dalaman dan kualiti udara memainkan peranan penting terhadap kesihatan kita.

"Ruangan dalaman bermakna suatu tempat tertutup yang mana kita menghabiskan masa kira-kira sejam atau lebih. Ia boleh jadi dalam kereta, pantri pejabat, kafe, bilik darjah, dewan kuliah, atau pusat membeli-belah," katanya dalam sesi webinar anjuran Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM bertajuk 'Cabaran dan iktibar dari penularan Covid-19 di tempat kerja'.

Panel lain pada sesi webinar itu ialah Profesor FPSK, Prof Dr Zailina Hashim, perunding latihan keselamatan syarikat, Abdul Mutalib Mohd Ali dan ahli jawatankuasa Selangor Covid-19 Task Force, Dr Mohammad Farhan Rusli.

Dr Juliana berkata, terdapat banyak kes kajian menunjukkan kualiti udara dalaman boleh menyebabkan penyebaran kerana virus di dalam rembesan halus (aerosol) akan berada pada tahap yang lama dan mungkin boleh bertahan sehingga beberapa jam.

"Umpamanya kes di sebuah restoran di Guangzhou, China, terdapat 10 individu daripada tiga keluarga yang makan di situ dijangkiti sedangkan mereka duduk pada jarak sekurang-kurangnya dua meter.

"Mekanisme jangkitan di restoran itu tidak boleh diterangkan hanya dengan penyebaran melalui titisan udara. Jika dilihat pada situasi berkenaan, apa yang boleh disimpulkan adalah pengudaraan daripada alat penyaman udara boleh membantu penyebaran Covid-19 di ruangan yang tertutup dan sirkulasi udara yang minimum dengan kipas ekzos tidak dibuka.

"Jika ada pengaliran udara, virus ini akan keluar tetapi jika tiada pengaliran udara yang baik, virus dalam bentuk aerosol terperangkap dan menyebabkan jangkitan kerana individu yang berada dalam ruangan berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, majikan perlu memastikan aliran pengudaraan yang baik dalam pejabat, mengatur meja kerja pada jarak dua meter atau lebih, bekerja dari rumah, elakkan perkongsian ruang sempit seperti pantri atau bilik mesyuarat serta meningkatkan kesedaran kebersihan diri dalam kalangan kakitangan.

Sementara itu, Dr Mohammad Farhan berkata, program vaksinasi bukan pengakhiran kepada wabak Covid-19 kerana ia hanyalah sebahagian daripada penyelesaian kepada pandemik berkenaan.

"Walaupun kita sudah mengambil vaksin, kita tetap perlu mematuhi SOP ditetapkan. Vaksinasi hanya langkah pencegahan dan seseorang itu masih boleh dijangkiti Covid-19 malah menjadi ejen penyebar virus.

"Kita perlu mendapatkan imuniti secara berkelompok dan menjadi tanggungjawab menerima vaksin dan memastikan ahli keluarga mereka juga mendaftar bagi mendapatkan vaksin," katanya.

 

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/689818/pengaliran-udara-tidak-baik-tingkat-risiko-penyebaran-covid-19

Tarikh Input: 06/04/2021 | Kemaskini: 06/04/2021 | yubin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
BVMBR6X:17:58