Peningkatan Kluster Pendidikan: Elak Hantar Anak Bergejala Ke Sekolah - Pakar | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» BERITA » Peningkatan kluster pendidikan: Elak hantar anak bergejala ke sekolah - pakar

Peningkatan kluster pendidikan: Elak hantar anak bergejala ke sekolah - pakar

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi - April 5, 2023 @ 1:29pm

KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan pengurusan sekolah perlu bersama-sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan meningkatkan penjagaan kebersihan termasuk tidak menghantar anak bergejala ke sekolah.

Pengurusan sekolah pula wajar berterusan mengingatkan murid mengenai kepentingan menjaga kebersihan diri terutama sentiasa membasuh tangan dan menggunakan pembasmi kuman berikutan kes COVID-19 yang meningkat mendadak terutama bagi kluster pendidikan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Aisah Mokhtar, berkata selain itu pihak sekolah juga perlu terus mengingatkan murid mengenai adab batuk yang betul supaya mereka tidak lupa terutama jika tidak memakai pelitup muka.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memastikan anak-anak mereka yang tidak sihat, mendapatkan rawatan segera.

"Jika anak-anak tidak sihat pastikan mereka berehat sahaja di rumah dan elakkan menghantar anak yang bergejala ke sekolah.

"Bagi murid yang sakit di sekolah, pihak sekolah perlu asingkan segera mereka di bilik rehat dengan pemantauan guru sementara menunggu ibu bapa datang untuk mendapatkan rawatan.

"Paling penting ketika ini adalah mengelakkan membawa anak-anak ke tempat padat dan sesak yang boleh mendedahkan mereka kepada dijangkiti virus COVID-19," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, BH melaporkan kes COVID-19 meningkat mendadak, dengan 11 kluster pendidikan dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi ketiga belas 2023 (ME13/2023), dari 26 Mac hingga 1 April lalu.

Peningkatan kes dan kluster COVID-19 itu berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac lalu, serta pergerakan masyarakat yang banyak ketika musim cuti sekolah yang lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata daripada 11 kluster pendidikan yang dilaporkan, enam kluster membabitkan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu tiga kolej dan masing-masing satu sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah.

Lima lagi, katanya, adalah kluster pendidikan lain iaitu empat maktab dan satu TASKA.

Mengulas lanjut, Dr Siti Aisah berkata, langkah kawalan itu bukan perkara baharu dan sudah pernah dijalani sebelum ini iaitu ketika bermulanya pandemik COVID-19.

"Namun mungkin kini kesedaran di kalangan masyarakat umum terutamanya di kalangan kanak-kanak sekolah semakin berkurangan.

"Oleh itu perlu selalu ingatkan murid dan anak-anak kita tentang kepentingan menjadi kebersihan diri dan persekitaran bagi mengelakkan berlaku penularan virus seperti COVID-19," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata antara punca COVID-19 meningkat adalah kerana campur gaul dan tidak lagi memakai pelitup muka di sekolah atau tempat awam.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan perkara yang perlu dibimbangkan memandangkan negara memasuki fasa endemik dan virus itu akan berada di mana mana sahaja.

"Namun dalam keadaan sekarang, dijangka kes akan terus bertambah tetapi tahap kes selalunya adalah rendah iaitu kategori 1 atau 2 sahaja.

"Ini memandangkan kebanyakan remaja juga sudah mendapatkan suntikan vaksin dan mereka yang muda ini selalunya sihat dan sistem imun mereka kukuh lagi," katanya.

Beliau berkata, bagi kes berisiko tinggi di kalangan pelajar seperti mempunyai penyakit diabetis, asma, sakit jantung, tahap imun diri rosak dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), mereka perlu diberi lebih perhatian.

Katanya, ini kerana mereka lebih mudah dijangkiti dan jika dijangkiti akan terus berada di kategori yang lebih parah.

"Oleh itu amat penting pihak sekolah atau asrama memantau keadaan pelajar jika ada kes sebegini," katanya.

Berkenaan mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di sekolah atau fasiliti pendidikan, Prof Dr Sharifa Ezat, berkata buat masa ini tidak perlu diwajibkan lagi.

Namun katanya, bagi pelajar yang mempunyai masalah kesihatan mereka diwajibkan pakai di kawasan sekolah dan fasiliti kesihatan.

 

*sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/04/1086321/peningkatan-kluster-pendidikan-elak-hantar-anak-bergejala-ke-sekolah

Tarikh Input: 06/04/2023 | Kemaskini: 06/04/2023 | ahmadmustafa

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXEUUAl~