PKP Diperlukan Untuk Kawal Pandemik, Pemulihan Ekonomi | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» BERITA » PKP diperlukan untuk kawal pandemik, pemulihan ekonomi

PKP diperlukan untuk kawal pandemik, pemulihan ekonomi

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak pada hari ke-3 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri selama 14 hari bermula 13 Januari seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjadi buah mulut rakyat, malah sebelum pengumumannya lagi.


Berikutan keputusan kerajaan itu, orang ramai melahirkan kebimbangan mereka bagaimana PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah akan menjejaskan mereka dalam industri perniagaan khususnya usahawan kecil.

Rata-rata pakar bagaimanapun, percaya pelaksanaan perintah itu yang bertujuan melandaikan lengkuk Covid-19 adalah penting untuk kedua-dua sektor; kesihatan dan ekonomi.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Kulanthayan K.C. Mani berkata sistem penjagaan kesihatan pada masa ini berada pada tahap maksimum untuk menangani jumlah pesakit yang ramai, justeru PKP adalah sangat diperlukan.

“Kita semua tahu PKP akan menjejaskan sektor ekonomi dengan teruk, tetapi kesihatan lebih penting, oleh itu ia diutamakan. Apabila kita dapat mengurus dan mengawal jangkitan Covid-19, maka tumpuan akan beralih kepada sektor ekonomi semula.

“Bagaimanapun, adalah sangat penting untuk menyeimbangkan keperluan kesihatan dan ekonomi. Kita perlukan kedua-duanya untuk terus bertahan. Kita harap tempoh PKP tidak akan lama dan ini akan dicapai dengan disiplin ketat dalam kalangan penduduk untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Dengan cara ini, kita dapat melandaikan lengkuk dengan cepat dan ekonomi dapat mereda tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Kulanthayan menekankan bahawa kerajaan perlu membantu kumpulan B40 dan tidak lupa juga kepada kumpulan M40 yang turut terjejas teruk oleh PKP.

Sebagai contoh katanya, kerajaan boleh menyediakan bantuan dari segi sewaan, subsidi upah dan bil utiliti seperti bil elektrik dan air, pinjaman tanpa faedah, pelepasan cukai dan penangguhan pembayaran.



Sementara itu, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) berkata disebabkan PKP, kerajaan harus memperkenalkan inisiatif drastik bagi membantu perniagaan kecil dan menggalakkan orang ramai memulakan perniagaan dari rumah.

“Pada masa sama, kami menjangkakan perniagaan mikro juga akan terjejas teruk. Oleh itu, kumpulan ini, isi rumah yang terjejas dan perusahaan mikro perlu dibantu. Inilah masanya kerajaan mewujudkan satu belanjawan untuk membantu isi rumah terjejas memulakan perniagaan dari rumah.

“Kerajaan perlu membantu mereka bukan sahaja dari segi pemberian (tunai) tetapi bantuan bagi memastikan mereka dapat terus bertahan dalam perniagaan. Di sinilah kerajaan memerlukan usaha tambahan,” katanya.



Barjoyai berkata dengan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos, ekonomi Malaysia kini bebas dari segi dalaman.

Justeru, beliau menyimpulkan bahawa terdapat peluang dalam membangunkan pasaran tempatan kerana beliau menjangkakan tidak akan ada perniagaan baharu dimulakan oleh orang asing di negara ini, semasa tempoh darurat.


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/119489/BERITA/Nasional/PKP-diperlukan-untuk-kawal-pandemik-pemulihan-ekonomi
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

 

Sumber berita lain:

1. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/mco-needed-to-control-pandemic-for-economic-recovery-experts-278242

2. https://www.theedgemarkets.com/article/mco-needed-control-pandemic-economic-recovery-%E2%80%94-experts

3. https://www.klsescreener.com/v2/news/view/779247/mco-needed-to-control-pandemic-for-economic-recovery-experts

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 18/01/2021 | Kemaskini: 18/01/2021 | ahmadmustafa

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
BVMQQcH:16:28