UPM Timbulkan Kesedaran Pelajar Mengenai Kepentingan Air Melalui Sambutan Hari Air Sedunia 2019 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» BERITA » UPM timbulkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan air melalui sambutan Hari Air Sedunia 2019

UPM timbulkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan air melalui sambutan Hari Air Sedunia 2019

JASIN - Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyambut sambutan Hari Air Sedunia 2019 di Sekolah Kebangsaan Air Baruk (SKAB), tuan rumah bagi sambutan Hari Air Sedunia, peringkat negeri Melaka baru-baru ini.

Sambutan ini telah dirasmikan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap ADUN Bemban, YB Datuk Dr Wong Fort Pin.

Sambutan seumpama ini pertama kali dianjurkan oleh UPM dengan tema 'Air untuk Semua' melibatkan kerjasama dari Green Growth Asia Foundation (GGAF) dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

 

Lebih 300 orang pelajar dengan penyertaan daripada 13 buah sekolah rendah telah menyertai sambutan ini bagi mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan air di kalangan kanak-kanak sekolah rendah yang boleh diterapkan dalam kehidupan harian mereka.

Semasa perasmian YB Datuk Dr Wong Fort Pin berkata sambutan seperti ini akan dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan air dan pengurusan air lestari di kalangan kanak-kanak sekolah.

Malah beliau berkata selain agensi kerajaan yang terlibat di dalam pendidikan alam sekitar, sekolah juga mampu memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran, pembinaan kapasiti melibatkan pelajar mengenai pemuliharaan, dan pengurusan air selari dengan matlamat pembangunan lestari.

Hari Air Sedunia yang diadakan setiap tahun pada 22 Mac merupakan salah satu cara untuk menumpukan perhatian terhadap kepentingan air tawar dan pengurusan sumber air tawar yang mampan.

Tema bagi Hari Air Sedunia 2019 ialah 'Air untuk Semua'. Tema ini diwujudkan dalam menangani krisis air, kerana terdapat banyak orang masih belum mendapatkan bekalan sumber air yang bersih bagi aktiviti harian mereka.

Aktiviti yang dijalankan semasa sambutan ini adalah perasmian sistem penuaian air hujan di SKAB sebagai satu inisiatif dalam penjimatan penggunaan air bersih di kawasan sekolah, projek kerjasama UPM, WWF (Malaysia) dan GGAF dalam proses pemindahan ilmu dari projek penyelidikan ke arah kesejahteraan komuniti terutamanya komuniti sekolah.

Di samping itu selepas perasmian tersebut, pertandingan Eco Code juga diadakan. Pertandingan Eco Code ini merupakan pertandingan mengenai aktiviti pembelajaran pelajar bagi mempelajari mengenai isu serta jalan penyelesaian mengenai sumber air di Malaysia dan luar negara. Juara pertandingan Eco Code ini dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Dato Demang Hussin, diikuti oleh Sekolah Kebangsaan Air Baruk, dan Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang.

Menurut Guru Besar SKAB, Cikgu Nizam Aziz dan Guru Penyelaras sambutan ini, cikgu Gobindaran berkata melalui program seperti ini akan dapat memberikan pengetahuan masyarakat mengenai isu-isu air serta kesedaran kepentingan air bukan saja kepada pelajar malah kepada semua.

Sebagai Sekolah ‘Eco-School’ yang mendapat Anugerah ’Green Flag’ dari The Foundation of Environment Education (Denmark) pada tahun lalu, sambutan seumpama ini akan dapat dijadikan sebagai usaha dalam meningkatkan kesedaran melalui Pembelajaran Luar Bilik Darjah (PLBD) dalam membentuk generasi celik alam sekitar.

“Kajian kami mendapati bahawa tahap kesedaran mengenai sumber air masih rendah di kalangan rakyat Malaysia.

"Tambahan lagi, kadar penggunaan air yang tinggi oleh rakyat Malaysia berbanding negara lain di dunia dilihat sebagai satu isu yang harus dipandang berat oleh pelbagai pihak.

"Pihak kami (UPM) melihat sambutan serta pertandingan berasaskan air dapat dijadikan sebagai salah satu medium bagi menaikkan tahap kesedaran pelbagai pihak.

"Kami juga berharap ia akan berupaya membawa perubahan terhadap tahap kesedaran pelajar bukan sahaja di sekolah malah di rumah mereka,” kata penyelaras sambutan ini, Prof Madya Dr Sarva Mangala Praveena dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.

 

Sambutan ini juga merupakan hasil kerjasama UPM bersama pihak GGAF, badan bukan kerajaan yang bergiat aktif di dalam pendidikan alam sekitar di Melaka.

Menurut Pengarah Eksekutif, Dato Dr Dionysius Sharma dan Pengarah Projek, Sri Themudu, GGAF menggunakan pendekatan berasaskan kerjasama di antara pihak berkepentingan seperti Universiti sebagai cara yang paling berkesan di dalam proses pemindahan ilmu dari projek penyelidikan ke arah kesejahteraan komuniti.

UPM melihat kerjasama berterusan di antara pihak Universiti, masyarakat seperti komuniti sekolah, serta hubungan erat bersama badan bukan kerajaan.

 

Perkara ini dilihat mampu membantu dalam memberikan impak yang berkesan secara langsung dan tidak langsung dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar bukan sahaja di kalangan murid-murid sekolah malah masyarakat secara umumnya.

Sumber: KampusOULS

Tarikh Input: 05/04/2019 | Kemaskini: 05/04/2019 | h_khairi

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
B1566308798