Amal Kebersihan, Ubah Tingkah Laku Sosial Bendung Jangkitan Mpox | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» NEWS » Amal kebersihan, ubah tingkah laku sosial bendung jangkitan Mpox

Amal kebersihan, ubah tingkah laku sosial bendung jangkitan Mpox

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengisytiharkan deklarasi Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa untuk jangkitan cacar monyet atau (Mpox) pada 14 Ogos lalu. Ia kali kedua dibuat WHO dalam tempoh dua tahun.

Kali pertama pada 2022, yang mana wabak cacar monyet didapati merebak di beberapa negara Afrika turut menjangkiti negara Eropah dan dilaporkan di 116 negara lain. Bagaimanapun, kesnya menurun serta menunjukkan tiada petanda berterusan mengancam kesihatan global.

Bagaimanapun baru-baru ini, terdapat pertambahan kes jangkitan Mpox luar biasa sekali lagi diikuti kematian mendadak dalam jumlah begitu besar akibat jangkitan cacar itu di negara Afrika Tengah.

Republik Demokratik Congo khasnya mencatatkan pola jangkitan tertinggi dengan sejumlah 14,151 kes disyaki dengan 2,638 kes disahkan sebagai Mpox, manakala 511 kematian dicatatkan.

Sejumlah kes juga dicatatkan di negara bersempadan Republik Demokratik Congo iaitu Burundi, Rwanda, Uganda serta beberapa negara jiran lain.

Kajian molekul mendapati taburan strain Mpox untuk deklarasi kali kedua ini agak berbeza berbanding ketika wabak pada 2022 dahulu. Pada 2022, strain dominan ialah 'clade 2'. Jangkitan akibat 'clade 2' biasanya tidak serius, manakala pesakit berpotensi pulih seperti biasa.

Kesan klinikal akibat jangkitan Mpox bergantung kepada jenis starin menjangkiti serta keadaan kesihatan seseorang iaitu tahap sistem imun kompeten dan faktor penyakit kronik tertentu.

Ia biasanya pulih sepenuhnya dalam kebanyakan kes kecuali mereka berisiko mendapat jangkitan teruk seperti kanak-kanak, wanita hamil, kurang daya tahan serta warga emas.

Ketika ini didapati strain utama sedang merebak adalah campuran 'strain clade 1' dan 'clade 2'. Bagi jangkitan 'clade 1', ia dibahagikan lagi kepada dua jenis iaitu 1a dan 1b, yang mana dalam kawasan jangkitan 'strain clade 1a dominan', majoriti dijangkiti adalah kanak-kanak, manakala di zon mempunyai tularan 'strain 1b', majoritinya adalah dewasa.

Jangkitan akibat 'clade 1' lebih serius serta menyebabkan jangkitan agak teruk sehingga berupaya menyebabkan kematian. Daripada sejumlah kematian direkodkan di negara Afrika berkenaan, dua pertiga kematian adalah kanak-kanak berusia kurang 15 tahun dan kebanyakannya lelaki.

Kajian wabak Mpox pada awal tahun ini di zon terpilih Republik Demokratik Congo mendapati cara penularan utama adalah melalui jangkitan hubungan jenis (seks), jangkitan sesama isi rumah dan jangkitan haiwan (zoonotik).

Sepertiga daripada jangkitan berlaku adalah dalam kalangan pekerja menawarkan khidmat seks, manakala 88 peratus mereka yang perlu dimasukkan ke wad adalah mempunyai sejarah terbabit dalam urus niaga perkhidmatan seks.

Sistem prasarana kesihatan awam tidak begitu memuaskan turut dikaitkan dengan angka jangkitan Mpox serta kematian tinggi. Tiada bekalan air bersih memuaskan serta keadaan sanitasi sekitaran buruk menyebabkan penularan di Republik Demokratik Congo itu sukar dibendung.

 

Pilih cara hidup berkeluarga sihat

Daripada analisis semasa, penyelesaian utama kepada masalah wabak Mpox ialah mengubah tingkah laku sosial masyarakat berisiko kepada memilih cara hidup berkeluarga sihat.

Hubungan seks rambang dan bertentangan nilai budaya serta agama perlu dielakkan serta dihentikan serta-merta. Mengamalkan kebersihan tangan, diri, memakai pelitup muka serta mengelakkan berada dengan mereka diketahui berisiko juga penting untuk diamalkan.

Pada masa ini, konteks penularan boleh menjangkiti kalangan mereka tidak terbabit dalam aktiviti seks rambang sehingga menyebabkan kematian adalah suatu perkara serius.

Meskipun sebahagian kita terlindung daripada mendapat jangkitan hasil daripada antibodi pernah diperoleh dari vaksin cacar air satu ketika dahulu, namun sebahagian besar anak-anak kita yang tidak pernah menerima vaksin, terdedah kepada bahaya penularan. Anggota barisan hadapan terutama dalam sektor perkhidmatan kesihatan juga terdedah kepada bahaya risiko penularan.

Dari sudut kesihatan awam serta potensi berlakunya wabak, sudah pasti vaksin adalah senjata paling ampuh dalam mengekang penularan Mpox.

Vaksin cacar monyet yang boleh diperoleh di sebahagian negara seperti Amerika Syarikat (AS), masih belum tersedia di negara kita buat masa ini. Tinjauan di lapangan iaitu klinik dalam kalangan pengamal swasta, mendapati ia masih belum sedia diperoleh.

Bagi mengelak potensi ledakan wabak Mpox, gaya hidup seluruh masyarakat perlu berubah dan mengamalkan cara hidup sihat. Aktiviti berisiko melalui hubungan seks rambang dan amalan hubungan seks berisiko lain perlu dihentikan.

Pengalaman kita ketika berdepan pandemik COVID-19 memberikan pengajaran 'keras' bahawa bergantung dan mengharapkan semata-mata kepada perubahan tingkah laku adalah agak sukar untuk membendung penularan wabak apabila ia mula memuncak.

Justeru, sebelum jangkitan berlaku, pendekatan tingkah laku dan amalan kesihatan positif untuk mengekang jangkitan dan melindungi individu rentan adalah tanggungjawab kita bersama.

 

Date of Input: 30/08/2024 | Updated: 30/08/2024 | nadia_rahman

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (11:48:27am-11:53:27am, 18 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]