KOTA KINABALU, 1 Ogos – Seramai 34 orang peserta dalam kalangan Ahli Lembaga dan Jawatankuasa Pelaksana telah menyertai Bengkel Strategik Editorial dan Pentadbiran Penerbitan Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences (MJMHS) 2025 yang berlangsung dari 1 hingga 4 Ogos 2025 di Le Meridien, Kota Kinabalu dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Bengkel ini dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Normala Ibrahim, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM yang turut mengetuai lawatan penanda aras ke Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UMS. Lawatan ini memberi ruang pertukaran pandangan mengenai pengurusan pentadbiran jurnal di antara MJMHS dan jurnal terbitan fakulti UMS, selain menjadi sebahagian daripada Pelan Strategik MJMHS untuk memperluas keanggotaan Lembaga Editorial daripada pelbagai institusi pengajian.
Antara sesi utama bengkel, satu pembentangan disampaikan oleh YBrs. Dr. Tan Kit Aun selaku Penyelaras MJMHS yang merumuskan pelan tindakan strategik hasil dapatan setiap Ahli Lembaga Editorial, selari dengan aspirasi pemantapan hala tuju jurnal untuk tahun 2024 - 2028.
Menurut YBhg. Prof. Dr. Rukman Awang Hamat, Ketua Pengarang MJMHS, “Pelan Strategik MJMHS 2024–2028 memberi fokus kepada perluasan jaringan editorial, pemerkasaan proses semakan artikel dan peningkatan kualiti penerbitan secara menyeluruh. Bengkel ini menjadi pemangkin kepada penyusunan semula hala tuju kami agar lebih responsif terhadap cabaran penerbitan akademik masa kini” ujarnya.
Date of Input: 12/08/2025 |
Updated: 12/08/2025 | qayyumalemilhadie
MEDIA SHARING