Oleh: Nurfaizah Saibul
SERDANG, 10 September 2024– Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM dengan kerjasama Unit Penyelidikan Klinikal, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) telah menganjurkan Majlis Pertukaran MoA Penyelidikan Klinikal antara UPM bersama pihak Biotenova Sdn. Bhd. dan Pharm-D Health Science Sdn Bhd.
Majlis yang bertempat di Mini Theatre, HSAAS ini bertujuan untuk meraikan kerjasama antara UPM dan dua rakan industri iaitu Biotenova Sdn. Bhd. dan Pharm-D Health Science Sdn. Bhd bagi projek penyelidikan klinikal bertajuk “The role of postbiotic (Lassica K014 TM ) in inflammatory skin disorders”. Projek penyelidikan ini diketuai oleh Dr. How Kang Nien, dari Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.
Universiti Putra Malaysia telah diwakili oleh YBhg. Prof. Dr. Normala Ibrahim, Dekan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, YBhg. Prof. Dr. Rukman Awang Hamat, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Antarabangsa), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, YBhg. Tuan Hj. Mohd Aris Fadzilah Abdullah, Timbalan Pendaftar Kanan, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah dan Dr. How Kang Nien dari Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan. Pihak Biotenova Sdn. Bhd. diwakili oleh dua orang Pengarah iaitu Encik Ho Rhu Yann dan Encik Tan Joo Shun manakala, Pharm-D Health Science Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Encik Wong Chin Cheang selaku Pengarah Urusan.
Kerjasama dalam penyelidikan klinikal ini melambangkan komitmen semua pihak dalam usaha menerajui inovasi penyelidikan sains dermatologi dan meningkatkan kualiti hidup pesakit melalui penggunaan postbiotik dalam rawatan masalah kulit seperti ekzema dan psoriasis. Projek penyelidikan ini membuka lebih ruang dan peluang bagi kerjasama mapan antara semua pihak pada masa akan datang. Kelestarian kerjasama bukan sahaja berpotensi menghasilkan inovasi penyelidikan sains dermatologi berimpak tinggi malah membantu mempercepatkan proses translasi hasil penyelidikan kepada amalan klinikal yang memberi manfaat khusus kepada pesakit dan kemajuan perubatan di Malaysia secara amnya. Penyelidikan translasi ini merupakan langkah penting untuk memahami peranan postbiotik, khususnya Lassica K014 TM , dalam menangani masalah gangguan dan keradangan kulit seperti ekzema.
Lassica K014 TM ialah bahan postbiotik yang telah dipatenkan dan diekstrak daripada strain Lactobacillus plantarum K014 milik IP Biotenova Sdn. Bhd. Berbeza dengan probiotik yang terdiri daripada bakteria hidup, postbiotik adalah sel-sel probiotik yang dinyahaktifkan serta merupakan hasil sampingan atau metabolit bakteria ini yang diperolehi melalui proses penapaian. Postbiotik menawarkan pelbagai manfaat kesihatan termasuk menyokong kesihatan kulit, usus, sistem imun, dan mengurangkan keradangan. Kebolehupayaan tahan habanya memberikan ia kelebihan berbanding probiotik, seperti kaedah penyimpanan yang mudah serta boleh diformulasikan dalam pelbagai bentuk produk.





Date of Input: 11/09/2024 | Updated: 11/09/2024 | nadia_rahman

Dean's Office, Level 4, Administration Building,
Faculty of Medicine and Health Sciences,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Undergraduate 0397692608 (MD) / 0397692606 (ALSc)
Postgraduate 0397692604/2506