Masihkan 'selamat' Pengangkutan Tren? | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» NEWS » Masihkan 'selamat' pengangkutan tren?

Masihkan 'selamat' pengangkutan tren?

27 May 2021

KUALA LUMPUR - Perkhidmatannya yang sistematik, cekap dan laju serta sangat efisien dalam membantu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di dalam bandar, menjadikan Transit Aliran Ringan (LRT) sebagai pilihan utama pengangkutan awam dalam kalangan warga kota di Lembah Klang sejak lebih dua dekad lepas.

Sangat diyakini pengguna atas khidmat terbaik yang diberikan selama 23 tahun beroperasi, menyebabkan ramai yang terkejut sebaik mengetahui kemalangan membabitkan dua tren LRT laluan Kelana Jaya pada Isnin, 24 Mei lepas.

Daripada 213 penumpang di dalam tren itu, 47 mengalami cedera parah manakala 166 lagi cedera ringan dalam insiden di laluan terowong berdekatan Stesen LRT KLCC dan Kampung Baru yang secara tidak langsung mencalarkan rekod sifar kemalangan selama ini.

Ternyata, insiden itu telah membuka mata orang ramai bahawa perkhidmatan LRT yang dianggap paling selamat itu sebenarnya turut tidak terkecuali daripada berlakunya kemalangan.

Meskipun begitu, jika melihat kepada statistik kemalangan antara sistem pengangkutan darat dengan pengangkutan rel, tiada siapa yang boleh menafikan bahawa perkhidmatan rel seperti LRT jauh lebih selamat.

Ini boleh dilihat berdasarkan statistik kemalangan jalan raya pada 2019, apabila sebanyak 567,516 kes kemalangan dilaporkan yang telah meragut nyawa seramai 6,167 orang dengan kadar kehilangan nyawa adalah setiap 85 minit.

Keadaan tersebut berlaku kerana sistem pengangkutan jalan darat dikongsi bersama dengan pelbagai jenis kenderaan yang mempunyai kelajuan berbeza sehingga mengundang risiko kemalangan yang tinggi, menurut Profesor Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Kulanthayan KC Mani.

Berbeza dengan sistem rel, ia hanya dilalui tren yang menggunakan sistem landasan rel dengan kelajuan yang hampir sama dengan jenis tren lain.

“Jika kita lihat dari segi statistik kemalangan jalan raya dan dibandingkan pula dengan kemalangan rel, amat jelas dan nyata, angkanya (kemalangan rel) sangat kurang, bukan sahaja di negara kita, malah seluruh dunia.

“Kerana itu, sistem pengangkutan rel tetap menjadi medium pengangkutan paling selamat bukan sahaja di Malaysia malah juga di peringkat global,” katanya kepada Bernama.

Kulanthayan yang juga pakar keselamatan jalan raya, menjelaskan sistem pengangkutan rel yang mempunyai beberapa lapisan keselamatan, menjadikan sistem yang digunakan itu sangat selamat terutama untuk membawa sejumlah besar penumpang pada satu-satu masa.

"Contoh lapisan sistem keselamatan yang ada, antaranya sistem kawalan trafik dan isyarat dari pusat kawalan sistem rel dan komunikasi untuk memastikan perjalanan setiap tren diatur dengan baik dan lancar.

“Kemalangan jarang berlaku kerana sistem pengangkutan rel ini juga turut dikawal laluannya dari bilik kawalan penyedia perkhidmatan sistem rel tersebut. Disebabkan sistem yang ada, agak mengejutkan apabila kemalangan tren berlaku baru-baru ini.

“Kerana itu, siasatan penuh insiden ini perlu dilakukan untuk memahami di mana kesilapan yang berlaku dan bagaimana ia boleh dielakkan pada masa akan datang supaya pengangkutan rel masih diyakini sebagai mod pengangkutan paling selamat dan kekal pilihan utama pengguna,” katanya.

Pandangan senada turut disuarakan Ketua Jaringan Industri dan Komunikasi Korporat Institut Pengangkutan Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Irwan Ibrahim yang menyatakan, pelbagai faktor boleh mendorong berlakunya kemalangan tren dengan kajian menunjukkan 90 peratus adalah berpunca daripada kecuaian pengendali pengangkutan yang kurang cekap, kepenatan ataupun sengaja mengingkari peraturan dan arahan.

Justeru, dalam usaha mengurangkan kemalangan tren, teknologi keselamatan tren dan prosedur keselamatan pelanggan harus dipertingkatkan dan ini merangkumi teknologi keselamatan baharu seperti kawalan pintu platform untuk pencegahan ‘kemalangan jiwa manusia’.

Beliau berkata, pihak pengurusan juga perlu meneroka teknologi baharu tren seperti pengubah geseran bagi mengurangkan geseran tren sekiranya berlaku kemalangan yang sekali gus dapat meminimumkan impak kemalangan.

“Banyak teknologi baharu yang boleh diteroka bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan yang akan membantu menurunkan kadar kemalangan melibatkan tren antaranya pemantauan ‘koefisien derail’ dan pengendalian keseimbangan penggantungan udara, struktur ‘bogie’ baharu, suspensi aktif dan pemacu VVVF.

“Teknologi lain yang boleh dipertimbangkan ialah sistem trek dan teknologi penyelenggaraan seperti landasan ‘slab’ dan teknologi penyelenggaraan yang lebih terkini,” katanya.

Dalam situasi yang berlaku ini, mahu atau tidak, amalan yang dipraktikkan di negara Jepun akan tetap dijadikan contoh terbaik dalam pengurusan tren yang cepat dan selamat. - Bernama

 

*sumber berita:

1. https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/140722

2. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/masihkah-selamat-pengangkutan-tren-analisis-300049?amp=1

3. https://www.thesundaily.my/home/masihkah-selamat-pengangkutan-tren-EI7903251

4. https://harakahdaily.net/index.php/2021/05/27/is-train-service-still-safe/

5. https://selangorkini.my/2021/05/lrt-bertembung-masihkah-selamat-pengangkutan-tren/

 

Date of Input: 08/06/2021 | Updated: 08/06/2021 | ahmadmustafa

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXDdFAe~