Oleh: Nurul Nabilah Jamat
SERDANG, 6 Jun - Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO) dengan kerjasama Akademi Sukan dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia melalui Program Let’s Go Green 3.0 with EKSA telah menganjurkan satu progam larian yang berlangsung di Stadium Akademi Sukan, Universiti Putra Malaysia.
Seramai 350 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur telah menyertai larian ini. Selari dengan nama program iaitu Move with MASO 2026: “Small Steps for A Healthier Tomorrow”, program ini merupakan acara larian santai sejauh 5 kilometer yang menggabungkan elemen kecergasan, promosi kesihatan dan suasana kehijauan yang nyaman di sekitar universiti.
Acara bermula seawal jam 7.15 pagi dengan aktiviti senamrobik yang diketuai oleh pelajar Tahun Dua Program Bacelor (Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti dengan Kepujian). Program diteruskan dengan pelepasan atau “flag-off” yang disempurnakan oleh Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, YBhg. Prof. Dr. Normala Ibrahim, mantan Presiden MASO, Prof. Emeritus Dr Ismail Mohamed Noor, dan Pengarah Akademi Sukan UPM, YBhg. Prof. Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban bersama Prof. Madya Dr. Hazizi Abu Saad, Pensyarah Jabatan Pemakanan yang juga Presiden MASO. Turut memeriahkan majlis adalah Ketua Jabatan Pemakanan, Prof. Dr. Loh Su Peng dan Pengerusi Program Let’s Go Green 3.0 with Eksa, Prof. Madya Dr. Suhaili Abu Bakar @ Jamaludin.
Acara senamrobik bersama peserta larian.
Peserta memulakan larian setelah acara pelepasan dilaksanakan.
Dari kiri: Prof. Madya Dr. Suhaili Abu Bakar @ Jamaludin, Prof. Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban, Prof. Madya Dr. Hazizi Abu Saad, Prof. Dr. Normala Ibrahim, Prof. Dr. Loh Su Peng dan Prof. Emeritus Dr. Ismail Mohamed Noor.
Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan seusai larian tamat. Antaranya ialah Saringan Komposisi Badan (Body Composition Screening), Konsultasi Pemakanan (Nutrition Consultation) dan Pameran Kesihatan (Health Exhibitions). Peserta diberi peluang untuk melaksanakan saringan yang dikendalikan secara professional oleh pelajar Master (Sains Kesihatan Pemakanan) dan konsultasi “one-on-one” yang memberi ruang kepada warga fakulti untuk bertanyakan soalan kepada pelajar. Program juga dimeriahkan dengan pelbagai pameran interaktif dengan bertujuan menyampai mesej kesihatan secara santai namun penuh bermaklumat.
Penganjuran ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peseta, malah ia menjadi platform terbaik kepada pelajar Master (Sains Kesihatan Pemakanan) untuk mengaplikasikan ilmu mereka terus kepada komuniti. Profesionalisme yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang mengendalikan saringan dan konsultasi ini wajar dipuji dan membuktikan kualiti graduan yang dilahirkan oleh universiti.
Aktiviti yang dilaksanakan setelah peserta menamatkan larian.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sekadar aktiviti santai, malah ia dapat melahirkan warga kampus yang seimbang dari segi akademik dan kesihatan fizikal. Semoga impak positif dan semangat yang ditunjukkan menjadi pemangkin kepada gaya hidup yang lebih berkualiti pada masa hadapan.
Date of Input: 09/06/2026 | Updated: 19/06/2026 | nurul.nabilah

Dean's Office, Level 4, Administration Building,
Faculty of Medicine and Health Sciences,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Undergraduate 0397692608 (MD) / 0397692606 (ALSc)
Postgraduate 0397692604/2506