Pakar Gesa Ibu Bapa Bertanggungjawab | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» NEWS » Pakar gesa ibu bapa bertanggungjawab

Pakar gesa ibu bapa bertanggungjawab

Mahaizura Abd Malik

mahaizura@hmetro.com.my

Disiarkan pada: November 22, 2021 @ 12:00pm

Kuala Lumpur: Insiden kanak-kanak maut atau cedera akibat terjatuh dari bangunan mahupun kediaman tinggi bukan perkara baharu.

Berdasarkan pemerhatian Harian Metro terdapat 8 kes dilaporkan sejak setahun lalu termasuk insiden sama yang meragut nyawa dua kanak-kanak dalam tempoh 24 jam, 2 minggu lalu, yang menunjukkan perkara ini perlu diberi perhatian serius dan diatasi segera oleh pihak berkaitan.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Kulanthayan KC Mani berkata, satu daripada intervensi berkesan bagi melindungi kanak-kanak daripada insiden kecederaan tanpa niat sama ada terjatuh dari bangunan, lemas dalam air, kebakaran dan kemalangan jalan raya ialah pemantauan individu dewasa dan tingkatkan aspek keselamatan di sekeliling golongan itu.

"Golongan kanak-kanak seharusnya sentiasa ditemani dan diawasi orang dewasa pada setiap masa.

"Dengan cara ini kita akan dapat mengelakkan dan mengurangkan risiko serta kebarangkalian berlaku insiden tidak diingini termasuk kecederaan tanpa niat seperti terjatuh dari kediaman atau bangunan tinggi.

"Kita perlu terima hakikat orang dewasa pun buat aktiviti lain dalam rumah seperti memasak, mandi, tidur atau bercakap dalam telefon yang akan menghilangkan tumpuan mereka kepada anak-anak seketika, jadi jika intervensi kejuruteraan juga dapat dilaksanakan dengan baik seperti memasang jeriji tingkap dan balkoni, risiko golongan kecil ini jatuh dari tempat tinggi sudah pasti dapat dielakkan," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan insiden jatuh di tempat tinggi akan berakhir dengan kematian kerana setiap tubuh badan individu dewasa mempunyai had toleransi kecederaan sehingga 30 kilometer sejam (kmj) manakala kanak-kanak kurang daripada itu.

"Bayangkan apabila kita jatuh dari bangunan 10 tingkat, pemindahan tenaga yang berlaku ke atas badan kita adalah sebanyak 90kmj atau anggaran 30kmj itu bersamaan dengan tingkat satu.

"Justeru, bukan sahaja kanak-kanak, individu dewasa pun jika jatuh dari tempat tinggi, ia kemungkinan besar akan berakhir dengan maut kerana badan kita tidak mampu menerima pemindahan tenaga yang tinggi melebihi dari had toleransi kita iaitu sehingga 30kmj sahaja," katanya.

Menurutnya, semua pihak termasuk pemilik, pemaju, persatuan penduduk serta pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan dalam memastikan persekitaran kanak-kanak selamat terutama dalam memastikan tingkap atau balkoni kediaman tinggi dipasang dengan jeriji besi.

"Insiden seperti ini berlaku kepada kanak-kanak mungkin disebabkan mereka berada di tepi balkoni atau mana-mana tingkap (sumber jalan keluar) dalam rumah sebelum cuba memanjat atau berdiri menggunakan kerusi, bangku, pasu bunga, katil atau alat permainan.

"Tindakan ini biasanya untuk pelbagai tujuan sama ada melihat permandangan luar, mencari seseorang, ada tarikan atau ingin memberi tindak balas kepada sesiapa di luar akhirnya menyebabkan mereka mungkin terjatuh ke bawah.

"Jadi, masalah seperti ini dapat kita atasi dengan pemasangan jeriji pada tingkap atau balkoni kediaman tinggi yang dapat menjadi penahan ketika golongan ini berada dalam mana-mana situasi yang disebutkan tadi," katanya.

 

Sumber berita:

https://www.hmetro.com.my/utama/2021/11/780129/pakar-gesa-ibu-bapa-bertanggungjawab

Date of Input: 23/11/2021 | Updated: 23/11/2021 | ahmadmustafa

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
CUMFAAo:00:02