SERDANG, 8 Ogos – Pelancaran Bulan Kemerdekaan sempena Program Semarak Merdeka 2025 peringkat Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia telah berlangsung meriah dengan penyertaan hampir 300 warga kerja dari kedua-dua institusi.

Majlis dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku yang diiringi dengan acara menaikkan bendera, disusuli bacaan ikrar Rukun Negara yang dipimpin oleh Encik Abdul Hadi Abdul Rahman, sebagai simbol kesetiaan dan perpaduan dalam kalangan warga kampus.

Dekan FPSK-HSAAS, Prof. Dr. Normala Ibrahim dalam ucapan aluannya menyeru seluruh warga agar terus memelihara nilai kebersamaan, saling menghormati dan cinta kepada negara. Beliau turut menekankan pentingnya peranan institusi pendidikan dalam menyemai semangat kenegaraan dalam kalangan warganya.
Acara diteruskan dengan senaman regangansebelum peserta memulakan aktiviti Brisk Walk dari Foyer FPSK ke Lobi Utama HSAAS, menyusuri laluan yang menghubungkan dua institusi penting ini. Aktiviti ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan, malah mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan staf.

Setibanya di HSAAS, para peserta turut menyaksikan acara penyerahan Jalur Gemilang kepada pelawat di sekitar Lobi Utama serta penyerahan bendera kepada kenderaan di pekarangan pintu masuk utama hospital mencerminkan penyebaran semangat cintakan negara di setiap penjuru.

Acara turut diserikan dengan lawatan ke tapak mural seni kemerdekaan yang terletak di antara Blok Makmal C dan D, menghadap Rumah Haiwan, memaparkan hasil kreativiti warga FPSK yang menggambarkan sinergi antara fakulti dan hospital dalam bidang perubatan dan sains kesihatan. Melalui paparan imej petugas kesihatan, persekitaran makmal, serta elemen berkaitan rawatan dan penjagaan, mural ini mengangkat perjuangan barisan hadapan semasa pandemik COVID-19.

Program diteruskan dengan sesi mewarna yang dianjurkan dengan kerjasama Taska Cahaya Mata, yang beroperasi di dalam bangunan fakulti. Inisiatif ini bukan sahaja memupuk semangat patriotisme dalam kalangan kanak-kanak, malah turut mempererat hubungan positif antara fakulti dan komuniti setempat. Majlis berakhir sepenuhnya pada jam 11.00 pagi.

Oleh: Nor Idayu Othman
Date of Input: 14/08/2025 | Updated: 14/08/2025 | qayyumalemilhadie

Dean's Office, Level 4, Administration Building,
Faculty of Medicine and Health Sciences,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Undergraduate 0397692608 (MD) / 0397692606 (ALSc)
Postgraduate 0397692604/2506