PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI DI KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI RAMBAI, PULAU CAREY: MENGUKUHKAN JARINGAN INDUSTRI DAN KOMUNITI | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES medic
» NEWS » PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI DI KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI RAMBAI, PULAU CAREY: MENGUKUHKAN JARINGAN INDUSTRI DAN KOMUNITI

PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI DI KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI RAMBAI, PULAU CAREY: MENGUKUHKAN JARINGAN INDUSTRI DAN KOMUNITI

Pulau Carey, Selangor, 1–3 November 2025 – Pejabat Timbalan Dekan (Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Program Khidmat Komuniti di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Rambai, Pulau Carey dengan kerjasama Beacon Hospital dan Global Precision Diagnostic. Program ini bertujuan memperkukuh hubungan antara universiti, industri dan komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti berteraskan kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan sosial.

Program dimulakan dengan sambutan mesra daripada komuniti Orang Asli Sungai Rambai, yang menampilkan demonstrasi anyaman daun nipah, simbol warisan dan keunikan budaya masyarakat setempat. Aktiviti ini bukan sahaja memperlihatkan semangat perpaduan, tetapi turut membuka ruang kepada peserta untuk mengenali keindahan seni tangan komuniti Orang Asli.

Antara pengisian utama program ialah:

  • Saringan Kesihatan Percuma yang dijalankan oleh pasukan perubatan dari Beacon Hospital dan Global Precision Diagnostic, melibatkan pemeriksaan tekanan darah, tahap glukosa, kolesterol serta indeks jisim badan.
  • Ceramah Kesihatan yang menekankan kepentingan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang dan kesedaran tentang penyakit tidak berjangkit.
  • Sukaneka Komuniti yang menceriakan suasana dengan penglibatan aktif kanak-kanak dan dewasa, sekali gus mengeratkan hubungan antara warga fakulti, rakan industri dan komuniti setempat.
  • Kuiz dan Cabutan Bertuah yang menambah keceriaan serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti kesihatan.

Turut memeriahkan program ini ialah Prof. Dr. Cheah Yoke Kqueen, Timbalan Dekan (Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat), , serta Prof. Dr. Rukman Awang Hamat, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Antarabangsa), yang berpeluang beramah mesra bersama penduduk setempat. Kehadiran kedua-dua Timbalan Dekan ini mencerminkan komitmen tinggi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dalam memperkukuh hubungan stategik antara universiti, industri dan komuniti selaras dengan aspirasi universiti untuk memacu pembangunan lestari dan berimpak sosial secara holistik.

Menurut Prof. Dr. Cheah Yoke Kqueen, program ini merupakan salah satu inisiatif fakulti dalam mendukung Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG), khususnya:

  • SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik, melalui aktiviti kesedaran dan pemeriksaan kesihatan.
  • SDG 4: Pendidikan Berkualiti, melalui perkongsian ilmu kesihatan dan gaya hidup sihat kepada masyarakat.
  • SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat, dengan penglibatan aktif rakan industri dan komuniti dalam pelaksanaan program.

Program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh hubungan universiti, industri dan komuniti serta membina semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga fakulti. Inisiatif seperti ini akan terus diperluas bagi memastikan peranan universiti dalam pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara berterusan dan inklusif.

Date of Input: 10/11/2025 | Updated: 10/11/2025 | nadia_rahman

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
X, (10:36:41am-10:41:41am, 11 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]