SERDANG, 23 Jun - Pelajar Tahun Akhir Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian, dari Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang dan AEON Big Alamanda, Putrajaya telah menjayakan Program ‘Terapi Pemakanan Perubatan dalam Amalan Membeli-Belah Pintar Bersama Dietitian’ di AEON Big Alamanda, Putrajaya. Penganjuran aktiviti bersama komuniti setempat ini adalah susulan kesinambungan program Komuniti: Niaga 3S: Sihat, Sedap dan Selamat! dan 'Healthy Eating and Active Living' (HEAL) pada Mei 15 yang lalu.

Program ini telah melibatkan 30 warga emas dan 30 pengusaha makanan dewasa berasaskan rumah yang berkeperluan di Taman Sri Serdang, Selangor. Tujuan program ini adalah untuk memberikan intervensi kesihatan pemakanan melalui aktiviti membeli belah pintar kepada komuniti di Taman Sri Serdang, khususnya kepada peniaga makanan yang bertujuan untuk menangani obesiti yang menyumbang kepada risiko mendapat penyakit kronik, dan warga emas yang mempunyai hipertensi dan dislipidemia.

Penyelia program Dr Noraida Omar dan Profesor Madya Dr Siti Nur'Asyura Adznam daripada Jabatan Dietetik, Faulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM merupakan penerima Geran 'Knowledge Transfer Grant Scheme@PTJ, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM. Pengarah program iaitu Cik Amira Natasha binti Mohamed Mubasheer, Cik Nur Huda binti Mohd Rafee merupakan tulang belakang dalam menjayakan program ini. Kaedah pembelian sihat yang menarik diterapkan melalui simulasi membeli-belah secara berkumpulan. Peserta didedahkan dengan terapi pemakanan perubatan dan tips membeli belah sihat yang disampaikan oleh pelajar Dietetik tahun akhir dengan kerjasama daripada sukarelawan Kelab Foodnatic UPM.

Program ini juga menerima sokongan penajaan daripada beberapa syarikat seperti Aeon Big, Oatlife, Super, OEL Distribution (KL) Sdn Bhd, MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd FFM Berhad, Meadow Fresh, V-Soy, IW Studio, Wira Food Services dan JR Rajin.

Pengarah program, Cik Amira Natasha berkata “Program ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada komuniti dewasa dan warga emas yang menyertai, malah memberi peluang kepada para peserta untuk membawa pulang mesej penting dan berkongsikannya kepada ahli keluarga mereka agar gaya hidup sihat ini akan terus tetap dipupuk dalam setiap lapisan masyarakat”.

Date of Input: 26/06/2024 | Updated: 26/06/2024 | qayyumalemilhadie

Dean's Office, Level 4, Administration Building,
Faculty of Medicine and Health Sciences,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Undergraduate 0397692608 (MD) / 0397692606 (ALSc)
Postgraduate 0397692604/2506