Oleh: Dr. Muhammad Hibatullah bin Romli
SERDANG, 6 Disember 2024 – Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Universiti Putra Malaysia (Putra-PDK), Jabatan Perubatan Rehabilitasi, telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Pendidikan Bandar Almaty (Department of Education of Almaty City), Kazakhstan, yang terdiri daripada 35 ahli rombongan. Delegasi tersebut diketuai oleh Malgazhdarova Bibigul, dengan penyelaras lawatan dan penterjemah, Zhuldyz (Julie) Amangeldi.
Lawatan ini bertujuan untuk mempelajari amalan terbaik dalam pembelajaran dan rehabilitasi kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia, di samping meneroka peluang kerjasama antara kedua-dua pihak.
Majlis dimulakan dengan ucapan wakil Ketua Jabatan Perubatan Rehabilitasi, Dr. Thanalacthumy a/p Chandrabose, diikuti oleh ucapan penghargaan daripada ketua delegasi, Puan Bibigul, dan kemudian disusuli dengan pertukaran cenderamata oleh kedua-dua pihak.
Seterusnya, sesi diteruskan dengan syarahan oleh Dr. Muhammad Hibatullah bin Romli mengenai peranan pusat pemulihan komuniti, pendekatan rehabilitasi, serta kerjasama multidisiplin dalam menyokong kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas.
Delegasi turut dibawa melawat fasiliti Putra-PDK, termasuk bilik Snoezelen, bilik terapi integrasi sensori, bilik aktiviti, bilik latihan keberdikarian dalam pengurusan diri, serta ruang latihan untuk aktiviti kehidupan harian. Mereka juga diperkenalkan kepada kereta yang dimodifikasi khas untuk kemudahan individu berkeperluan khas.
Lawatan diakhiri dengan sesi bergambar bersama delegasi dan warga Putra-PDK, menandakan detik bersejarah untuk kedua-dua pihak.
Menurut Timbalan Penyelaras Putra-PDK, Dr. Siti Noraini binti Asmuri, “Kami amat berbesar hati menerima lawatan ini. Putra-PDK mendapat perhatian sebagai entiti yang mampu memberi impak kepada komuniti individu berkeperluan khas di peringkat antarabangsa.”
Beliau menambah, “Delegasi juga menunjukkan minat terhadap modul-modul yang dihasilkan serta fasiliti Putra-PDK, yang berpotensi untuk dikembangkan melalui kerjasama lebih lanjut.”
Ketua delegasi, Puan Bibigul, turut melahirkan rasa penghargaan terhadap pengalaman berharga ini. “Lawatan ini amat bermakna bagi kami. Kami amat menghargai peluang ini dan memperoleh pelbagai ilmu baharu yang boleh kami terapkan di Kazakhstan.”
“Kami juga melihat peluang besar untuk meneroka kolaborasi berterusan antara kedua-dua pihak.”, tambah beliau.
Bandar Almaty ialah hab utama kebudayaan dan komersial di Kazakhstan. Dengan populasi kira-kira 20 juta orang, Kazakhstan merupakan salah satu negara yang paling pesat membangun di rantau Asia Tengah.
Sebagai rekod, Universiti Putra Malaysia sebelum ini telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan tiga institusi di Kazakhstan. Lawatan ini memperkukuh lagi hubungan strategik antara kedua-dua negara.

Date of Input: 09/12/2024 | Updated: 09/12/2024 | nadia_rahman

Dean's Office, Level 4, Administration Building,
Faculty of Medicine and Health Sciences,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Undergraduate 0397692608 (MD) / 0397692606 (ALSc)
Postgraduate 0397692604/2506