Teliti Semula Perisian Keselamatan LRT | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» NEWS » Teliti semula perisian keselamatan LRT

Teliti semula perisian keselamatan LRT

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA | 26 Mei 2021

SELEPAS 23 tahun transit aliran ringan (LRT) menabur bakti dengan memberi kemudahan kepada warga kota, pakar pengangkutan berpandangan pihak berwajib perlu melihat semula perisian (software) keselamatan yang diguna pakai untuk mengemudi pengangkutan awam berkenaan.


Perisian keselamatan pemanduan merupakan sistem yang perlu diambil kira memandangkan terdapat kes yang pernah berlaku di Singapura membabitkan sebuah kereta api transit aliran massa (MRT) bertembung dengan kereta api yang tidak bergerak berhampiran sebuah stesen di kawasan barat negara itu pada 15 November 2017.

“LRT dari KLCC guna komputer dan tiada pemandu. Sepatutnya komputer yang guna perisian, ada faktor-faktor keselamatan yang tinggi. Cuma dalam kes ini, ia berlanggar dengan kereta api yang rosak. Mungkin ada masalah di situ.

“Mungkin boleh buat kemas kini terhadap perisian yang sedia ada supaya faktor keselamatan itu lebihkan lagi. Pernah dahulu berlaku di Singapura, MRT sepatutnya mengambil masa dua minit sekali pertukaran tetapi dipendekkan kepada 1 minit 30 saat. Kalau lambat, yang belakang akan sampai. Jadi itu yang berlaku di sana.

“Jadi faktor-faktor seperti ini perlu dilihat kembali supaya faktor keselamatan dapat diperbaiki,” kata pakar dalam strategi pengangkutan mampan, Profesor Datuk Ir Dr Riza Atiq Orang Kaya Rahmat kepada Sinar Harian pada Selasa.

Insiden dikenali ‘Kemalangan kereta api Joo Koon’ berlaku ketika C151A dari Stesen Tuas Link bergerak dengan kelajuan 16 kilometer sejam sebelum merempuh C151A yang rosak di Stesen Joo Koon.

Pertembungan itu disebabkan oleh masalah perisian, kata Lembaga Pengangkutan Darat (LTA).

Bagaimanapun, Riza Atiq yang juga pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia tidak melihat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru yang berlaku pada Isnin menjejaskan reputasi pengangkutan awam terbaik negara pada hari ini.

“Pemeriksaan rutin juga perlu kerap dijalankan. Kemalangan ini boleh berlaku sebab kadang-kadang kita tidak jangka apa yang bakal berlaku walaupun semua langkah yang perlu sudah dibuat.

“Kalau berlaku kemalangan seperti ini, sudah tentu mangsa-mangsa akan trauma. Jadi pihak berwajib perlu ada penjelasan bahawa kejadian ini telah dikaji dan perisian telah dikemas kini serta prosedur operasi standard (SOP) sudah dibaiki supaya kejadian yang sama tidak akan berulang,” katanya.

Terbukti selamatPakar pengangkutan yang juga Pengarah Perunding Teknikal dan Pembangunan MAG, Goh Bok Yen pula berkata, sistem LRT Malaysia sudah terbukti selamat di peringkat antarabangsa kerana lebih 20 tahun tidak berdepan dengan kemalangan.

Jadi katanya, orang ramai tidak perlu risau atau hilang keyakinan dengan sistem LRT negara.

“Sebenarnya kalau kata sistem yang kita guna sekarang ini memang paling selamat dan terbukti di peringkat antarabangsa. Jadi teknikal dan sistem operasi memang tidak boleh dinafikan tentang soal keselamatan.

“Persoalannya sekarang ini, mengapa ada operasi manual ketika operasi automatik sedang dijalankan. Kalau nak operasi secara manual, perlu dilakukan ketika operasi berakhir,” katanya.

Bagi Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM),Profesor Madya Dr Kulanthayan KC Mani berpendapat, kemalangan itu perlu disiasat sepenuhnya kerana kemalangan rel adalah satu insiden yang jarang berlaku di Malaysia dan juga di peringkat global.

Menurut beliau, kemalangan jarang berlaku kerana sistem pengangkutan rel ini juga turut dikawal laluannya dari bilik kawalan penyedia perkhidmatan sistem rel dan mereka mempunyai sistem isyarat dan komunikasi yang baik untuk memastikan perjalanan setiap tren diatur dengan baik dan lancar.

“Memang sesuatu yang mengejutkan bagaimana boleh berlaku kemalangan sistem rel bandar yang bergerak dengan kelajuan yang jauh lebih rendah berbanding dengan pergerakan tren antara bandar serta mempunyai perhentian yang banyak untuk jarak yang singkat.

“Penyiasatan penuh insiden ini perlu dijalankan untuk memahami di mana kesilapan berlaku dan bagaimana ia boleh dielakkan pada masa akan datang. Pengangkutan rel masih merupakan mod pengangkutan yang paling selamat dan pilihan utama pengguna,” katanya.


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/140551/BERITA/Nasional/Teliti-semula-perisian-keselamatan-LRT
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Date of Input: 27/05/2021 | Updated: 27/05/2021 | ahmadmustafa

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXERAA5~