Disediakan oleh: Nurul Najihah Binti Zulkifli, 216691@student.upm.edu.my
3 Mei 2026, SERI KEMBANGAN– Isu terhadap amalan pemakanan sihat dalam kalangan kanak-kanak autism terus menjadi keutamaan apabila sekumpulan pelajar tahun akhir Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program PUTRA CILIK: Celik Pemakanan, Celik Kesihatan sebagai inisiatif pendidikan komuniti yang berimpak tinggi.
Program anjuran Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) – Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM ini telah berlangsung di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permata Hati, Seri Kembangan. Program ini turut melibatkan pelajar tahun akhir Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian, UPM sebagai penganjur utama bersama sokongan tenaga pengajar dan sukarelawan. Peserta program terdiri daripada ibu bapa, kanak-kanak autism serta wakil daripada beberapa buah PDK jemputan seperti PDK Al-Mawaddah, PDK Sentosa, Putra-PDK dan Pusat Jagaan Autisme CSEAT.
Gambar 1: Sesi perasmian dan penyertaan ibu bapa serta wakil PDK dalam Program PUTRA CILIK di PDK Permata Hati, Seri Kembangan.
Selain itu, program ini turut mendapat sokongan penuh daripada 18 syarikat industri yang telah menyumbang penajaan in-kind anggaran bernilai sebanyak RM 30,337.40, sekali gus membantu melancarkan pelaksanaan program dan memperkukuh kerjasama antara universiti, komuniti dan pihak industri.
Program yang berlangsung di kawasan komuniti setempat ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan berkaitan pemakanan sihat dalam kalangan ibu bapa serta memberi pendedahan mengenai pengurusan pemakanan kanak-kanak autism.
Antara pengisian utama program termasuk sesi pendidikan pemakanan, aktiviti interaktif bersama peserta serta perkongsian pendekatan praktikal yang boleh diaplikasikan di rumah. Keunikan program ini terletak pada pendekatan santai tetapi berinformasi yang membolehkan peserta terlibat secara aktif dalam setiap aktiviti, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian mesej kesihatan kepada komuniti.
Gambar 2: Pelajar Dietetik UPM menjalankan sesi pendidikan pemakanan secara interaktif bersama ibu bapa dan peserta program.
Gambar 3: Aktiviti santai dan interaktif bersama peserta bagi meningkatkan kefahaman mengenai amalan pemakanan sihat.
Menurut Pengarah Program, Nurul Najihah Binti Zulkifli, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah menjadi platform kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu dietetik dalam situasi sebenar serta memahami keperluan masyarakat dengan lebih mendalam. Wakil peserta yang hadir turut menyatakan bahawa program seperti ini sangat membantu ibu bapa untuk memahami cara mengurus pemakanan anak-anak dengan lebih baik melalui aktiviti yang mudah difahami dan menarik.
Gambar 4: Perkongsian pendekatan praktikal pengurusan pemakanan kanak-kanak autisme kepada ibu bapa dan penjaga.
Secara keseluruhannya, Program PUTRA CILIK: Celik Pemakanan, Celik Kesihatan berjaya mencapai objektifnya dalam menyampaikan kesedaran pemakanan sihat kepada masyarakat serta memperkukuh hubungan antara universiti, komuniti dan pihak industri. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap kepentingan kesihatan dan pemakanan seimbang.
Gambar 5: Sesi bergambar bersama ahli jawatankuasa dan penilai Program PUTRA CILIK
Date of Input: 13/05/2026 | Updated: 13/05/2026 | qayyumalemilhadie

Dean's Office, Level 4, Administration Building,
Faculty of Medicine and Health Sciences,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Undergraduate 0397692608 (MD) / 0397692606 (ALSc)
Postgraduate 0397692604/2506