UPM Anjur Inspiration Forum: Medicine, Leadership & Nation Building 2026, Fokus Kepimpinan Perubatan Pacu Transformasi Sistem Kesihatan Negara | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES medic
» NEWS » UPM anjur Inspiration Forum: Medicine, Leadership & Nation Building 2026, fokus kepimpinan perubatan pacu transformasi sistem kesihatan negara

UPM anjur Inspiration Forum: Medicine, Leadership & Nation Building 2026, fokus kepimpinan perubatan pacu transformasi sistem kesihatan negara

SERDANG, 12 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi kelab pelajar Muslim Medical Team (MMT), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), menganjurkan Inspiration Forum: Medicine, Leadership & Nation Building 2026 bagi membincangkan peranan kepimpinan perubatan dalam memperkukuh serta mentransformasi sistem kesihatan negara.

Forum berprestij ini bertujuan mengetengahkan kepentingan kepimpinan dalam bidang perubatan serta memperkasa peranan generasi muda sebagai agen perubahan dalam pembangunan negara. Penganjurannya selari dengan aspirasi UPM dalam melahirkan bakat kepimpinan mahasiswa berteraskan nilai Jiwa Putra, iaitu “Berilmu, Berbakti”.

Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Dato’ Sri Jailani Johari berkata, kefahaman mendalam terhadap kepimpinan dalam bidang perubatan mampu memacu perubahan positif dalam sistem kesihatan negara.

“Peranan kepimpinan dalam sektor kesihatan bukan sahaja penting untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, malah berupaya merapatkan jurang cabaran serta memperkukuh fungsi universiti sebagai agen perubahan dalam masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Zamberi Sekawi menegaskan bahawa landskap kesihatan global kini semakin kompleks dan memerlukan pendekatan lebih strategik serta menyeluruh.

“Cabaran kesihatan global, perubahan sosial dan tekanan terhadap sistem kesihatan menuntut peranan doktor yang lebih luas. Seorang doktor bukan sekadar penyedia rawatan, tetapi juga pemimpin komuniti, agen perubahan dan penyumbang kepada pembangunan negara.

“Bidang perubatan hari ini menuntut lebih daripada kecemerlangan akademik. Ia memerlukan kepimpinan, integriti, empati serta keberanian dalam membuat keputusan yang memberi impak kepada masyarakat,” katanya.

Forum ini turut menampilkan dua tokoh terkemuka negara sebagai panel jemputan, iaitu Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN) dan Canselor University of Cyberjaya, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah serta Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CareClinics, Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo.

Perkongsian kedua-dua panel memberi fokus kepada kepimpinan berkesan dalam sektor kesihatan, cabaran semasa serta peranan profesional perubatan dalam membentuk masa depan negara.

Pengarah Program, Rasyidin Muhammad Luqman yang juga pelajar Tahun Dua Program Doktor Perubatan, berkata forum ini menjadi platform penting dalam membina jati diri dan daya kepimpinan mahasiswa.

“Program ini diharap dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk memperkukuh kemahiran kepimpinan serta memperluas pemikiran kritikal dalam menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran forum seumpama ini mencerminkan komitmen fakulti dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki nilai kepimpinan tinggi dan semangat kesukarelawanan.

“Forum ini juga menjadi medium penting untuk mahasiswa memahami peranan mereka sebagai bakal pemimpin dalam sistem kesihatan negara,” katanya.

Sumber: https://upm.edu.my/news/upm_anjur_inspiration_forum_medicine_leadership_nation_building_2026_bincang_kepimpinan_perubatan_untuk_perubahan_sistem_kesihatan_negara-92714 

Date of Input: 04/05/2026 | Updated: 04/05/2026 | nadia_rahman

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (10:51:29am-10:56:29am, 14 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]