Kanser Serviks | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Kanser Serviks

Kanser Serviks

Kanser Serviks

Kanser serviks merupakan antara masalah kesihatan utama wanita di Malaysia. Pelbagai program kesihatan di tawarkan di klinik-klinik dan hospital untuk penyaringan awal penyakit kanser serviks seperti ujian pap smear dan ujian HPV (Human Papillomavirus).

Di Malaysia, kanser serviks merupakan kanser ketiga yang biasa berlaku di kalangan wanita selepas kanser payudara dan ovari. Risiko untuk wanita didiagnosa dengan kanser serviks meningkat selepas umur 30 tahun. Pada tahun 2020 World Health Organization (WHO) melaporkan sebanyak 1740 kes baru wanita telah didiagnosa dengan kanser serviks di Malaysia dan 991 wanita meninggal dunia akibat penyakit itu.

Kanser serviks terjadi apabila berlaku mutasi (perubahan pada struktur DNA) sel pada tisu-tisu yang sihat menyebabkan sel-sel tersebut membiak dengan tidak terkawal lalu menyebabkan pertumbuhan tumor. Jangkitan virus HPV meningkatkan lagi kecenderungan seseorang wanita itu untuk medapat kanser serviks. Jangkitan virus HPV boleh didapati melalui hubungan seksual. Selain itu, bertukar-tukar atau mempunyai pasangan seksual yang ramai juga boleh menjadi penyumbang kepada kanser serviks. Antara faktor risiko lain kanser serviks adalah seperti:-

  • Jangkitan HIV (Human Immunodeficiency Virus)
  • Penyakit kelamin/jangkitan seksual
  • Merokok
  • Sejarah dalam ahli keluarga mempunyai kanser serviks

 

Pada peringkat awal, kanser serviks tidak menunjukkan tanda-tanda yang serius dan sering terlepas pandang oleh wanita. Tanda dan gejala mula dapat dilihat apabila kanser serviks mula membesar atau masuk ke peringkat seterusnya. Antara tanda dan gelaja kanser serviks adalah seperti:-

  • Tompokan darah atau pendarahan ringan dari faraj di antara haid atau selepas haid
  • Pendarahan dari faraj iaitu haid yang lebih lama dan lebih panjang daripada kebiasaannya
  • Sakit semasa melakukan hubungan seksual
  • Pendarahan selepas melakukan hubungan seksual
  • Keputihan menjadi bertambah banyak
  • Berlaku pendarahan dari faraj selepas putus haid (menopause)
  • Sakit pada bahagian pelvis atau belakang secara berterusan tanpa ada penjelasan yang menjadi punca kepada kesakitan tersebut

 

Walaubagaimanapun, kanser serviks boleh dicegah dan dirawat jika diketahui pada peringkat awal. Ketika ini, Malaysia menawarkan suntikan vaksin HPV terutamanya kepada remaja perempuan. Suntikan ini dapat mencegah terjadinya kanser serviks yang disebabkan oleh jangkitan virus HPV. Tindakan lain yang boleh diambil untuk mencegah kanser serviks adalah seperti:-

  • Elakkan dari melakukan hubungan seksual pertama pada usia yang sangat muda (awal remaja)
  • Mengamalkan hubungan seksual yang lebih selamat seperti menggunakan kondom
  • Tidak bertukar-tukar pasangan seksual
  • Elakkan pasangan yang mempunyai jangkitan kelamin atau mempunyai pasangan seksual yang ramai
  • Berhenti merokok

 

Selepas seorang wanita melakukan ujian saringan serta pemeriksaan kesihatan fizikal secara menyeluruh dan doktor mendapati ada keputusan yang mencurigakan. Seterusnya, doktor akan melakukan beberapa ujian lain sebelum mengesahkan wanita tersebut menghidap kanser serviks. Antara ujian lain yang akan dilakukan adalah seperti:-

  • Kolposkopi – pemeriksaan ke atas serviks secara terperinci
  • Biopsy – sampel tisu serviks diambil sedikit dan dihantar ke makmal untuk penilaian
  • Ujian radiology seperti X-ray, imbasan tomografi berkomputer (CT) dan pengimejan resonans magnetic (MRI)
  • Ujian darah seperti biomarker CA125

 

Apabila seorang wanita disahkan menghidap kanser serviks rawatan harus dimulakan untuk mengelakkan kanser serviks menjadi lebih besar atau merebak ke tempat lain. Rawatan awal dapat memulihkan kesihatan dan meningkatkan kualiti kehidupan. Antara rawatan yang ada ditawarkan di hospital-hospital adalah seperti:-

  • Pembedahan – pembedahan dilakukan untuk membuang sel-sel kanser tersebut
  • Radioterapi – bertujuan untuk mengecutkan tumor (ketumbuhan) dan memusnahkan sel-sel kanser dengan menggunakan sinaran tenaga tinggi
  • Kemoterapi – rawatan ubat sitotoksik yang digunakan untuk membunuh sel-sel kanser. Ia boleh didapati dalam bentuk cecair yang diberikan secara suntikan atau biji yang diambil secara oral

 

Justeru itu, kesedaran di kalangan wanita untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan melakukan pemeriksaan awal bagi mengesan kanser serviks adalah amat penting. Ini dapat meningkatkan kadar kesihatan dan mengurangkan kadar kematian yang disebabkan oleh kanser serviks.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rujukan:

Malaysia - International Agency for Research on Cancer. (n.d.). https://gco.iarc.fr/today/data/factsheets/populations/458-malaysia-fact-sheets.pdf

Professional, C. C. M. (n.d.). Cervical cancer. Cleveland Clinic. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/12216-cervical-cancer

 

Cervical Cancer Overview | Guide To Cervical Cancer. (n.d.). American Cancer Society. https://www.cancer.org/cancer/types/cervical-cancer.html

 

 

Disediakan oleh:

Nor Wahida Binti Rahmat

Penunjuk Ajar Klinikal Jururawat

Jabatan Kejururawatan, FPSK, UPM

Tarikh Input: 07/09/2023 | Kemaskini: 07/09/2023 | mukhriz

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXEdHAu~