Jangka 85 Peratus Rakyat Dapat Dos Penggalak Hujung Mac Ini | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» BERITA » Jangka 85 peratus rakyat dapat dos penggalak hujung Mac ini

Jangka 85 peratus rakyat dapat dos penggalak hujung Mac ini

ORANG awam menunggu giliran bagi mendapatkan suntikan dos penggalak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - UTUSAN/AMIR KHALID

Oleh ARIF AIMAN ASROL; 5 Mac 2022, 7:00 am

PETALING JAYA: Pengambilan dos penggalak Covid-19 dijangka mencapai 85 peratus pada hujung bulan ini berikutan masyarakat semakin faham kepentingan suntikan tersebut bagi mencapai imuniti dalam negara.

Bercakap pada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (​UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pengambilan suntikan itu menunjukkan kemajuan yang positif apabila mencatat 62.9 peratus kelmarin.

Menurutnya, masyarakat diminta tidak keliru dengan informasi kematian akibat jangkitan Covid-19 kerana walaupun sudah mendapatkan vaksin ia tidak akan melindungi daripada jenis sakit lain seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Jika kita tengok kadar melalui gelombang terdahulu dengan sekarang, masa kini, kita lebih terlindung daripada jangkitan wabak tersebut apabila kes kematian menurun, ia menunjukkan kepentingan vaksin.

“Selain itu, majikan perlu memberi sokongan kepada program ini kerana ada majikan tidak beri pelepasan walaupun pekerja mereka mendapat kesan sampingan daripada pengambilan dos penggalak. Majikan patut benarkan pekerjanya berehat satu hari tanpa pemotongan gaji.

“Ada individu yang tidak mengambil dos penggalak kerana risau mendapat kesan sampingan daripada suntikan tersebut hingga membuatkan mereka tidak boleh bekerja. Sekarang pun rakyat sedang susah jadi kita tidak mahu mereka kena potong gaji disebabkan kesan itu,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, kementeriannya tidak akan melanjutkan tempoh pemberian dos penggalak ditetapkan sehingga 31 Mac kepada penerima vaksin Sinovac dan bagi yang enggan dan masih berdegil status vaksinasi mereka akan bertukar tidak lengkap.

Dalam pada itu, Pengerusi Pasukan Sukarelawan Komuniti (Penglibatan dan Pemerkasaan) Melawan Covid-19 (VCEE19), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berpendapat, individu yang masih berdegil tidak mahu mendapatlkan vaksin penggalak adalah rendah.

“Ramai akan ambil dos penggalak mengikut penilaian dan rentak mereka sendiri. Mereka akan tunggu serta lihat dahulu. Malah, akan lihat kesan vaksin kepada penerima lain. Sama ada kesan suntikan tersebut baik atau tidak,” katanya.

 

Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Aisah Mokhtar turut mengesyorkan pengambilan dos penggalak.

“Pada awal vaksin Covid-19 ini dihasilkan, ia adalah merujuk kepada varian atau genetik virus yang ada pada ketika itu. Apabila virus ini bermutasi, keberkesanan vaksin terdahulu akan dilihat kembali, bagi memastikan badan kita benar-benar dilindungi oleh antibodi yang dihasilkan daripada rangsangan vaksin diberikan.

“Dengan adanya varian baru seperti Omicron, menunjukkan virus ini sangat mudah menjangkiti. Kajian terkini mendapati, vaksin penggalak didapati berkesan mengurangkan keterukan jangkitan wabak ini, seterusnya mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian, terutamanya kepada mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka mempunyai penyakit kesihatan kronik,” katanya. – UTUSAN

*sumber berita:

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/03/jangka-85-peratus-rakyat-dapat-dos-penggalak-hujung-mac-ini/

Tarikh Input: 08/03/2022 | Kemaskini: 08/03/2022 | ahmadmustafa

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2300
03 9769 2585
WVMGTAR:19:51