Keluarga Malaysia Pupuk Budi Pekerti Mulia! Terima Kasih FPSK UPM! Aktif Kerja Amal Kebajikan! | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» BERITA » Keluarga Malaysia pupuk budi pekerti mulia! Terima kasih FPSK UPM! Aktif kerja amal kebajikan!

Keluarga Malaysia pupuk budi pekerti mulia! Terima kasih FPSK UPM! Aktif kerja amal kebajikan!

30 Jun 2022

 

FAKULTI Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus gigih dan aktif dalam melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menghulurkan bantuan serta khidmat bakti sukarela kepada pusat jagaan warga emas, keluarga asnaf dan rumah anak yatim khusus sekitar Lembah Kelang.

Pensyarah Kanan FPSK, Dr Shaharuddin Mohd Sham, berkata dengan cara itu juga secara langsung dapat menyemaikan budi pekerti mulia dalam kalangan pelajar dan kakitangan fakulti berkenaan supaya dapat turut serta menyantuni mereka yang kurang bernasib baik.

 

Pensyarah Kanan FPSK, Dr Shaharuddin Mohd Sham (dua dari kiri) bersama-sama barangan kering yang disumbangkan untuk PJMM sambil diperhatikan Sazali (kanan) dan Mohiadin (kiri) pada 23 Jun 2022 lalu.

 

Menurutnya, selain menimba ilmu di bilik kuliah, pelajar juga perlu berada di lapangan dengan membabitkan diri dengan kerja kebajikan dan sukarela kerana mampu membantu mereka membentuk jati diri yang cemerlang.

Jelasnya, dalam beberapa program sosial sebelum ini seperti di rumah anak yatim, pelajar turut terbabit secara langsung seperti memberi motivasi serta nasihat dan bimbingan kesihatan kepada anak-anak yatim di rumah kebajikan terbabit. 

“Begitulah juga apabila mengunjungi pusat jagaan, pelajar bersama-sama tenaga pengajar dan kakitangan fakulti akan menjadi pendengar setia keluhan warga emas terbabit yang boleh dijadikan kajian dalam memahami emosi seseorang terutama yang dibebani pelbagai penyakit.

“Dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik itu bukan setakat menghulurkan sumbangan kewangan atau barangan, malah duduk berbual serta melayani mereka juga satu bentuk pertolongan bagi menenangkan perasaan,” katanya selepas menyerahkan sumbangan barangan kering di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 23 Jun 2022.

Turut hadir pada majlis itu Pengurus PJMM, Sazali Mohiden dan Penasihat 2 PJMM, Mohiadin Bahado bagi menerima sumbangan barangan kering daripada FPSK.

 

Mohiadin menerima sumbangan biskut daripada Dr Shaharuddin.

 

Shaharuddin berkata, sumbangan barangan itu adalah infak daripada tenaga pengajar, kakitangan dan pelajar FPSK bagi menzahirkan keprihatinan membantu pusat jagaan berkenaan apabila dimaklumkan mereka memerlukan barangan makanan dan keperluan asas untuk warga emas di PJMM.

Menurutnya, selain itu mereka turut berperanan sebagai pihak pengantaraan untuk mengagihkan barangan makanan dan keperluan asas ke rumah keluarga asnaf atau anak yatim apabila diinfak oleh pelbagai pihak. 

“PJMM dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) di Beranang, Selangor beroperasi hasil daripada infak orang ramai dan pelbagai pihak kerana mereka tidak mengenakan sebarang bayaran kepada warga emas yang menghuni di situ.

“Oleh yang demikian pusat jagaan berkenaan sentiasa mengharapkan bantuan dan sumbangan orang ramai, korporat dan sebagainya bagi menampung kos operasi termasuklah bekalan makanan untuk warga emas yang rata-ratanya berusia lanjut dan menghidap pelbagai penyakit,” katanya.

 

 

Sementara itu, Sazali berkata, PJMM mengharap pelbagai pihak dapat menghulurkan bantuan barangan kering seperti gula, gandum, bihun, biskut, minyak masak, beras, pampers pakai buang  dan sebagainya untuk keperluan warga emas.

“Apabila keadaan terlalu terdesak kami akan menguar-uarkan dalam media sosial, kumpulan group WhatsApp dan pelbagai saluran hebahan lain dengan harapan ada pihak yang sudi menginfakkan barangan berkenaan,” katanya.

Mereka yang ingin membantu termasuk untuk mengeluarkan zakat boleh menghubungi nombor telefon Azman Rasman 019-977 7419, Ruslan Saidin (019- 212 3757) dan Sazali Mohiden (019-368 8142) sementara sumbangan wang boleh disalur ke Akaun CIMB Islamic -8603160021 (Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia) atau ke Akaun Maybank Islamic -562384521053 (Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia)- KitaReporters 

Dr Shaharuddin berharap aktiviti CSR dapat menyemaikan budi pekerti mulia dalam kalangan pelajar dan kakitangan FPSK.

 

Sumber: https://kitareporters.com/menara/pmbkR9lEaz

 

 

Tarikh Input: 01/07/2022 | Kemaskini: 01/07/2022 | yubin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
BVKBOAl:14:05