Program Akademik | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» JABATAN » Jabatan Perubatan Keluarga » Program Akademik

Program Akademik

PENGENALAN KEPADA PROGRAM SARJANA MUDA DI JABATAN PERUBATAN KELUARGA

Jabatan Perubatan Keluarga memainkan peranan penting bersama jabatan jabatan lain di Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia di dalam menjayakan Program Perubatan Sarjana Muda.Pelajar didedahkan dengan modul perkembangan profesional semasa di tahun dua pengajian. Modul Pengenalan Kepada Perubatan Keluarga di laksanakan semasa pelajar berada tahun 3 selama dua minggu . Modul Perubatan Keluarga lanjutan dijalankan selama sebulan semasa di tahun empat. 
Berikut adalah sinopsis modul modul yang ditawarkan oleh Jabatan Perubatan Keluarga.


PERKEMBANGAN PROFESIONAL (SPP 3111)

Modul ini meningkatkan pemahaman pelajar terhadap tugas-tugas profesional dan sosial seorang doktor. Ia merangkumi aspek penting dalam mempunyai kemahiran profesional seperti perhubungan di antara doktor dan pesakit, sikap dan perhubungan profesional dengan rakan sekerja yang lain. Perolehan kemahiran pembelajaran adalah melalui aktiviti pembelajaran dan penilaian kendiri secara kritis. Selain daripada itu, aktiviti lain yang dijalankan adalah mengenai penyelesaian masalah secara berpasukan menggunakan amalan budaya korporat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, pengalaman bekerja berlainan jantina, penilaian perubatan menyeluruh, penjagaan paliatif, isu-isu etika dan budaya di dalam perubatan.

OBJEKTIF MODUL

  • Melengkapkan pelajar dengan sikap profesional terutama semasa berinteraksi dengan pesakit, rakan sekerja dan mereka yang lain.
  • Menanam sikap dan kemahiran pembelajaran kendiri yang berkesan ke dalam pelajar perubatan.
  • Memberi pemahaman tentang isu-isu budaya, perundangan dan etika di dalam bidang perubatan.

HASIL PEMBELAJARAN

Di akhir penempatan, pelajar dapat:

  • Menerangkan peranan doktor dan pesakit serta persefahaman yang perlu di antara mereka.
  • Berbincang tentang pelbagai faktor kebudayaan di Malaysia dan bagaimana ia mempengaruhi perlakuan pesakit, penyakit dan perubatan.
  • Berbincang tentang pendekatan berpasukan dalam penjagaan pesakit dan amalan budaya korporat.
  • Menggariskan isu-isu etika perubatan.

 


PERUBATAN KELUARGA LANJUTAN (SPK3972)

Kursus ini merangkumi amalan perubatan di peringkat rawatan primer melalui pembelajaran bersama anggota-anggota kesihatan berpengalaman di klinik kesihatan kerajaan , klinik swasta serta organisasi bukan kerajaan.

  • OBJEKTIF DAN HASIL PEMBELAJARAN

Di akhir penempatan pelajar dapat:

  • Merumus masalah perubatan yang dialami oleh pesakit di peringkat rawatan primer.
  • Mengendalikan konsultasi pesakit dengan menggunakan kemahiran komunikasi yang baik berlandaskan prinsip-prinsip etika perubatan.
  • Mengendalikan projek audit klinikal secara berpasukan.

 

PERUBATAN KELUARGA PENGENALAN (MDR3207)

Kursus ini memperkenalkan amalan serta spektrum penyakit dan pesakit di peringkat rawatan primer serta prinsip perubatan keluarga. Ia memberi penekanan terhadap hubung kait proses manifestasi klinikal pesakit dan penyelesaian pelbagai masalah klinikal di peringkat primer.

 OBJEKTIF DAN HASIL PEMBELAJARAN

  • Memberi justifikasi bagi diagnosis sementara dan diagnosis banding berkaitan masalah perubatan lazim di peringkat primer.
  • Menerang sejarah perubatan pesakit yang lengkap, pengendalian pemeriksaan klinikal dan prosedur asas di peringkat primer.
  • Melaksana konsultasi berpusatkan pesakit dengan menggunakan kemahiran klinikal dan komunikasi yang berkesan.
  • Menunjuk pemahaman asas dalam prinsip audit klinikal.

 


MASTER PERUBATAN(PERUBATAN KELUARGA)

Program Master Perubatan Keluarga telah ditawarkan di Universiti Putra Malaysia bermula pada tahun 2011 setelah mendapat akreditasi daripada  Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Program ini melibatkan jalingan kerjasama di antara 6 universiti terkemuka di Malaysia iaitu Universiti Malaya(UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan Universiti Teknologi Mara Malaysia (UITM). Ianya  adalah program pascasiswazah, latihan dalam pekerjaan selama 4 tahun minima dan 7 tahun maksima. Ianya bertujuan untuk melahirkan Pakar Perubatan Keluarga yang kompeten. Program ini dilaksanakan dalam 3 fasa : Fasa I (tahun 1), Fasa II (tahun 2 &3) dan Fasa III (tahun 4), dan dilaksanakan secara sistem terbuka (open system).

Fasa I dijalankan selama satu (1) tahun merangkumi 3 penempatan utama: Perubatan, Obstetrik& Ginekologi dan Pediatrik. Calon akan mengikuti latihan fasa I dan II (tahun 2) di hospital-hospital yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Peperiksaan professional bahagian 1 akan diadakan di akhir tahun 1. Calon mesti lulus semua bahagian untuk meneruskan ke program Fasa II.

Fasa II dijalankan selama dua (2) tahun. Pada tahun 2, calon akan menjalani latihan di 10 penempatan klinikal minor yang wajib, 1 penempatan elektif dan 1 kursus metodologi penyelidikan. Calon akan mengikuti latihan tahun 2 di hospital-hospital yang diiktiraf oleh UPM dan Kementerian Kesihatan. Pada tahun ketiga, calon akan menjalani latihan klinikal perubatan keluarga di klinik kesihatan, KKM dan Pusat Kesihatan universiti secara giliran. Peperiksaan Profesional bahagian II akan dijalankan pada hujung tahun 3. Calon mesti lulus semua bahagian untuk meneruskan ke program Fasa III.

Pada tahun 4 (tahun akhir) calon akan meneruskan pengajian di klinik kesihatan, KKM. Calon juga dikehendaki menjalankan projek penyelidikan dan menghantar laporan projek tersebut. Pada akhir fasa III, calon diwajibkan menduduki dan lulus Peperiksaan Professional bahagian III sebelum dianugerahkan Master Perubatan (Perubatan Keluarga).

 

 

Kemaskini:: 15/03/2024 [roslan_y]

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXDdGAX~