CABARAN DAN PERANAN JURURAWAT DALAM PASCA PANDEMIK COVID-19 | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» ARTICLE » CABARAN DAN PERANAN JURURAWAT DALAM PASCA PANDEMIK COVID-19

CABARAN DAN PERANAN JURURAWAT DALAM PASCA PANDEMIK COVID-19

Sejak pandemik COVID-19 melanda di negara ini, banyak penekanan diberikan kepada peningkatan kapasiti hospital. Pendekatan ini terbukti sesuai dalam menangani peningkatan pesakit khususnya pesakit COVID-19 di hospital. Di samping itu, kejayaan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan juga menyebabkan penurunan ketara bagi kes yang memerlukan kemasukan ke hospital. Pandemik COVID-19 telah membuktikan kepentingan profesyen kejururawatan dalam sektor kesihatan di mana jururawat merupakan antara petugas barisan hadapan yang penting dalam kejayaan negara dalam memerangi krisis COVID-19. 

 

Namun peranan jururawat bukan hanya terserlah semasa era pandemik COVID-19, jururawat juga memainkan peranan yang setara cabarannya semasa era pasca pandemik COVID-19. Ini kerana tanggungjawab jururawat bukan hanya memberikan penekanan kepada penjagaan pesakit di hospital malah di era pasca pandemik COVID-19 pendekatan jururawat lebih menuju ke arah penjagaan primer iaitu dengan memberi pendedahan kepada komuniti tentang pentingnya penjagaan kesihatan.

 

Penjagaan kesihatan primer ialah penjagaan peringkat pertama yang diterima oleh seseorang individu dan ia memberi tumpuan kepada kesejahteraan, kesihatan dan pencegahan penyakit. Ini bermaksud jururawat yang terlibat dalam penjagaan primer akan memfokuskan kepada penilaian kesihatan bagi menentukan potensi risiko bagi seseorang individu untuk mendapat sesuatu penyakit. Maklumat daripada penilaian risiko ini dapat membantu jururawat merangka promosi kesihatan kepada komuniti tentang langkah-langkah pencegahan penyakit dan strategi bagi membantu seseorang individu mendapat kesejahteraan yang optimal.

 

Krisis COVID‑19 menunjukkan kepentingan meletakkan penjagaan kesihatan primer sebagai teras sistem kesihatan untuk mengelakkan peningkatan kes yang tidak dijangka dan untuk mengekalkan kesinambungan penjagaan kesihatan komuniti. Dalam konteks penjagaan kesihatan primer, jururawat merupakan medium dalam penyampaian pendidikan kesihatan mengenai langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19 dan pengesanan awal jangkitan bagi mengelakkan komplikasi yang mengancam nyawa.

 

Selain itu, jururawat merupakan sayap penting dalam jalinan kerjasama bersama komuniti bagi membina kekuatan dalam menangani ketidaksamaan persepsi kesihatan secara mampan semasa pasca pandemik COVID-19. Usaha ini termasuklah memberi kesedaran tentang kepentingan vaksinasi kepada komuniti yang memilih untuk tidak divaksinasi. Ini kerana COVID-19 bukan hanya mengakibatkan komplikasi dan kematian bagi yang dijangkiti, namun ianya juga memberi kesan kepada orang awam yang tidak dijangkiti virus itu terutama sekali pada penghidap penyakit kronik.

 

Pesakit kronik bukan sahaja lebih terdedah kepada jangkitan COVID‑19, dalam masa yang sama ianya menjejaskan rutin rawatan susulan mereka. Hal ini mungkin disebabkan oleh kegusaran untuk ke hospital atau klinik, seterusnya menyebabkan tiada rawatan susulan atau sumber yang mencukupi seperti ubatan serta nasihat bagi pengurusan penyakit mereka.

 

Kaedah yang efektif untuk mengatasi isu ini adalah dengan menggunakan aplikasi teknologi dengan mentransformasikan temujanji fizikal kepada temujanji secara virtual, sebagai contohnya melalui panggilan telefon dan panggilan video. Pendekatan ini dapat meminimakan kehadiran fizikal pesakit ke klinik maka dapat menghalang penyebaran virus COVID-19.

 

Disamping itu penggunaan teknologi juga harus dimanfaatkan dalam pengemaskinian data pesakit termasuklah tarikh temujanji dan ketidakhadiran bulanan agar pengesanan ketidakhadiran pesakit menjadi lebih efektif. Ini dapat membantu mengekalkan kesinambungan penjagaan bagi komuniti yang menghidap penyakit  kronik serta dapat memberi sokongan dan rawatan secara remote.

 

Secara jelasnya teknologi dapat meningkatkan penyampaian kesihatan dan interaksi antara jururawat dan pesakit. Jika sebelum ini teknologi dilihat sebagai cabaran untuk membentuk komunikasi secara efektif, tambahan pulai dengan keperluan untuk penjarakan sosial dan peralatan pelindung diri (PPE) semasa pandemik COVID-19 mempengaruhi cara jururawat dalam menggunakan sentuhan untuk menunjukkan empati dan sifat penyayang.

 

Namun ironinya dalam pasca pandemik COVID-19, usaha alternatif jururawat untuk menunjukkan keprihatinan jururawat terhadap pesakit adalah dengan menggunakan teknologi untuk meminimakan kehadiran pesakit ke hospital. Ini terbukti dalam situasi yang memerlukan penjarakan sosial, jururawat telah memanfaatkan komunikasi secara digital.

 

Kesimpulannya, tugas dan peranan jururawat bukan hanya mencabar dikala negara berhadapan dengan krisis COVID-19, malah ianya berterusan sehingga tempoh pasca pandemik. Secara jelasnya, situasi COVID-19 telah memacu profesyen jururawat ke arah yang lebih dinamik dan responsif terhadap perubahan lanskap kesihatan yang tidak dijangka.

 

Nama: Norafisyah Makhdzir1

Jawatan: Pensyarah

Jabatan: Kejururawatan,

Fakulti: Perubatan dan Sains Kesihatan,

Kepakaran: Jagaan Kritikal,

No HP:  012-6693032

Alamat emel: norafisyah@upm.edu.my

 

Nama: Siti Aishah binti Hamzah2

Jawatan: Pensyarah

Jabatan: Kejururawatan,

Fakulti: Perubatan dan Sains Kesihatan,

Kepakaran: Kejururawatan, koronari

No HP:  019-330 9751

Alamat emel: aishahs.hamzah@upm.edu.my

Date of Input: 27/04/2022 | Updated: 27/04/2022 | mukhriz

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXEaOAx~