MANFAAT PENGHIJAUAN BANDAR KEPADA WARGANYA | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » MANFAAT PENGHIJAUAN BANDAR KEPADA WARGANYA

MANFAAT PENGHIJAUAN BANDAR KEPADA WARGANYA

MANFAAT PENGHIJAUAN BANDAR KEPADA WARGANYA

  

Dijangkakan pada tahun 2025, kira-kira 65 peratus kawasan tanah dunia akan berubah menjadi bandar. Namun, antara perkara yang paling terkesan dalam kehidupan harian manusia yang tinggal di bandar adalah peningkatan suhu kesan daripada pelbagai aktiviti manusia seperti pelepasan gas rumah hijau dari aktiviti industri mahupun kenderaan bermotor. Kesan peningkatan suhu ini telah menimbulkan keresahan berterusan di kalangan penghuni bandar. Pembangunan tidak lestari telah mengorbankan banyak kawasan hutan sekitar sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang meletakkan pusat bandar ini di bawah tekanan kemungkinan berlakunya bencana alam melampau. Kuala Lumpur misalnya sudah bertukar menjadi pulau haba di mana penduduknya berdepan kepanasan melampau di luar dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada alat pendingin hawa di dalam bangunan.

 

Hakikatnya, pokok dan kawasan hijau berupaya membantu pengurusan fenomena pulau haba di kawasan bandar. Lantaran, kawasan hijau merupakan salah strategi dalam pembangunan bandar abad ini. Malah, Dasar Landskap Negara telah menetapkan sekurang-kurangnya 30% daripada keseluruhan kawasan perancangan pembangunan perbandaran tempatan perlu dikekalkan hijau. Lantas, penduduk bandar harus menunaikan tanggungjawab mereka dalam menghijaukan bandar yang mereka diami dengan pokok-pokok kerana ia membawa lebih banyak faedah seperti mengurangkan suhu dan pencemaran bunyi, mengurangkan bahan pencemar berbahaya di udara dan menyimpan karbon yang membantu mengurangkan kesan perubahan iklim

 

Ternyata, alam semula jadi atau kehijauan memberikan manfaat cukup besar terhadap penduduk bandar dan memainkan peranan penting ke arah perancangan bandar yang sihat dan berdaya huni. Kesihatan adalah salah satu angkubah dalam bandar yang berdaya huni yang akhirnya membawa kepada bandar yang lestari.

 

Perkara ini perlu diberi perhatian kerana lebih 70% daripada penduduk Malaysia tinggal di bandar sama ada besar mahupun kecil. Malahan kawasan rekreasi hutan bandar memberi peluang untuk warganya beriadah dan berinteraksi di kalangan mereka. Contohilah Shah Alam yang merupakan antara habitat bandar yang berjaya mengekalkan kehijauan dengan zon pembangunan secara lestari di mana penduduknya masih dapat menikmati kehijauan dan masa sama membangun dengan sangat baik.

 

Di bandar, pokok biasanya ditanam di kawasan pinggiran jalan, perumahan, komersil, taman awam dan perindustrian, bangunan pejabat dan sekolah.Antara pokok teduhan yang biasa ditanam di bandar negara kita bagi tujuan landskap dan teduhan termasuklah pokok hujan-hujan (Albizia saman), semarak api (Delonix regia), jemerlang laut (Peltophorum pterocarpum), angsana (Pterocarpus indicus), tekoma (Tabebuaia rosea), rajah kayu (Cassia fistula), asam jawa (Tamarindus indica), kasai (Pometia pinnata) dan tembusu (Fagraea fragrans).

 

MENGAPA KOMUNITI BANDAR MEMERLUKAN KAWASAN HIJAU

Kawasan hijau bandar didefinisikan sebagai kawasan yang ditumbuhi dengan sejumlah tumbuh-tumbuhan yang wujud secara semula jadi atau ditanam. Kawasan hijau bandar adalah antara elemen penting dalam menentukan kelestarian persekitaran sesebuah bandar. Ini kerana, kelestarian sesebuah bandar juga bersandar kepada persekitaran yang berkualiti dari segi kepadatan kawasan hijau bandar yang tinggi bagi membantu meningkatkan kesihatan persekitaran bandar dan kesejahteraan penduduknya. Selain itu, kawasan hijau juga berfungsi memelihara kualiti dan lanskap persekitaran bandar, ruang untuk peluang-peluang rekreasi sekaligus meningkatkan potensi tarikan pelancongan.

Kawasan hijau bandar memainkan peranan yang hampir sama dengan hutan semula jadi dari segi ekologi dan fungsi dalam membina suasana alam sekitar yang bersih dan selesa untuk kesejahteraan manusia dan hidupan lain di bandar. Hasil kajian menunjukkan bahawa suhu akan berkurangan di kawasan yang diliputi pokok atau kawasan berhutan seterusnya memberi kesan ketara terhadap penduduk bandar. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), penempatan strategik pokok di kawasan bandar dapat menyejukkan udara sehingga lapan darjah celsius dan mengurangkan keperluan pendingin hawa sebanyak 30 peratus. Selanjutnya, penyelidikan oleh Suruhanjaya Perhutanan United Kingdom menunjukkan bahawa, pokok dan infrastruktur hijau dapat mengurangkan kesan pulau haba bandar (UHI), dan boleh menyejukkan udara antara 2ºC dan 8ºC. Hal ini kerana, pokok mampu menyerap lebihan karbon dioksida (CO2) yang berada di atmosfera. Malahan, pokok yang matang di kawasan seluas 0.4 hektar mampu menyerap CO2 yang dikeluarkan oleh 26,000 buah kereta secara puratanya. Kajian oleh ahli klimatologi bandar juga mendapati, berlakunya pengurangan suhu pada waktu tengah hari antara dua hingga tiga darjah Celsius di bawah pokok berbanding kawasan yang terbuka. Tambahan pula, pokok mampu menyerap bau dan gas pencemaran (nitrogen oksida, ammonia, sulfur dioksida dan ozon) dan menapis partikel terampai yang melekat di daun dan batang pokok. Satu ekar kawasan yang dilitupi pokok matang mampu menghasilkan oksigen yang cukup untuk 18 orang setahun.

 

Umumnya, kepelbagaian fungsi dan manfaat pokok dan hutan bandar dapat dibahagikan kepada lima kategori utama iaitu sebagai penyumbang bagi integriti ekologi; teater sosial, budaya dan nilai sejarah; keampuhan ekonomi; pembangunan prasarana minda yang membentuk nilai estetika dan arkitektur; dan fizikal serta pengikliman. Sebagai contoh, daripada aspek teater sosial, hutan dan kawasan hijau dengan kombinasi pokok yang ditanam dan tasik semula jadi atau buatan  dapat mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di negara ini dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan secara berterusan. Di sini juga masyarakat berinteraksi dengan penuh rasa gembira di samping menghirup udara segar yang datangnya daripada pokok yang ditanam dan tersusun rapi. Pembinaan hubungan antara manusia dan alam turut mendorong kepada peningkatan kesejahteraan manusia dalam konteks spiritual, emosi dan mental.

 

Tuntasnya, hutan bandar amat penting dalam memastikan kualiti alam sekitar dan kesejahteraan manusia terpelihara. Kita boleh mengambil teladan bagaimana Singapura telah mengorak langkah membawa pokok-pokok hutan ke dalam kawasan bandar untuk menjadikannya bandar raya hutan. Justeru, disarankan agar pembangunan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu berkonsepkan 'hijau' khususnya PBT yang terletak di bandar melalui penghasilan pelan pembangunan landskap berkonsepkan hijau demi kelestarian warganya.

 

Disediakan oleh,

Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman

Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

 

 

Tarikh Input: 15/07/2021 | Kemaskini: 15/07/2021 | yubin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXDcXAq~