
"Menyoroti Autisme: Menghayati Pemahaman dan Penerimaan Individu Autisme pada Hari Kesedaran Autisme Sedunia"
Sejak tahun 2007 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah melancarkan tarikh 2 April setiap tahun sebagai Hari Kesedaran Autisme Sedunia. Tujuan hari ini disambut tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meningkatkan kesedaran dunia berkenaan gangguan perkembangan ini serta memperjuangkan hak-hak individu dengan Autisme.
Autisme atau lebih lengkap dikenali sebagai "Gangguan Spektrum Autisme” merupakan satu keadaan gangguan perkembangan seseorang individu yang boleh menjejaskan tingkah laku sosial, komunikasi dan bahasa, serta kecenderungan terhadap minat dan aktiviti yang terhad dan unik kepada seseorang individu yang dilakukan secara berulang-ulang. Gangguan ini dilihat sebagai suatu spektrum kerana kepelbagaian ciri yang ditunjukkan oleh individu autisme yang mungkin berbeza dari individu autisme yang lain. Autisme lazimnya mula dikesan di peringkat awal usia kanak-kanak khususnya sebelum mereka memasuki alam persekolahan kerana berlakunya kelewatan dalam perkembangan pertuturan dan komunikasi. Sebilangan besar akan mengalami isu-isu kesihatan dan perkembangan yang lain seperti masalah pembelajaran serta isu kesihatan mental.
Data dari satu kajian sistematik pada tahun 2022 menunjukkan seramai 1 dalam setiap 100 orang kanak-kanak di seluruh dunia mengalami Autisme, dengan kekerapan yang lebih tinggi di kalangan kanak-kanak lelaki sebanyak 4 kali ganda berbanding kanak-kanak perempuan. Data di Malaysia menujukkan bilangan kanak-kanak Autisme yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat telah meningkat sebanyak 663% dari tahun 2013 dengan jumlah 6,991 kepada 53,323 orang kanak-kanak pada tahun 2023..
Bukti saintifik menunjukkan bahawa terdapat banyak faktor yang menjadikan kanak-kanak berisiko untuk mengalami autisme, termasuk faktor persekitaran dan genetik. Di samping itu, peningkatan kadar kes yang dilaporkan juga berkait rapat dengan kesedaran komuniti yang semakin baik dan peningkatan kualiti penjagaan kesihatan awam di seluruh dunia, kemajuan dalam pengenalpastian dan definisi kes, dan peningkatan kapasiti komuniti dalam menangani isu ini. Sehingga kini, rawatan untuk individu dengan autisme memfokus kepada terapi agar mereka dapat mencapai tahap kefungsian yang optima di samping penggunaan pengubatan untuk kes-kes tertentu. Pada masa yang sama, terdapat penyelidikan klinikal yang masih berjalan di luar negara yang menyasarkan kepada rawatan yang khusus untuk keadaan yang berkaitan dengan autisme, yang diharapkan dapat memberikan impak yang lebih berkesan.
Tema sambutan Hari Kesedaran Autisme pada tahun ini ialah “Advancing Neurodiversity and the United Nation Sustainable Development Goals (SDGs)” atau Memajukan Neurodiversiti dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB", dengan sasaran agar dasar dan amalan inklusif dapat terus menyokong individu dengan autisme seterusnya agar dapat menyumbang kepada pencapaian SDG.
Berikut adalah bagaimana anda boleh berperanan di dalam komuniti bagi menujukkan sokongan anda kepada individu dengan autisme:
Setiap insan di dunia ini berhak untuk menjalani kehidupan yang menggembirakan dan selesa. Oleh itu, adalah diharapkan agar semua pihak termasuk penggubal polisi, golongan profesional seterusnya ahli komuniti dapat berganding bahu dalam memberikan sokongan yang terbaik kepada golongan yang mengalami autisme dengan terus membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk terus sama-sama menjadi ahli yang berperanan dalam masyarakat.

Dr. Nor Azyati Yusoff
Pensyarah Perubatan & Pakar Pediatrik
Jabatan Pediatrik
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
Tarikh Input: 07/04/2025 | Kemaskini: 07/04/2025 | nadia_rahman

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506