Pengangkutan Awam Paling Selamat Balik Beraya | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» ARTICLE » Pengangkutan awam paling selamat balik beraya

Pengangkutan awam paling selamat balik beraya

KUMPULAN yang paling kurang menyumbang kepada kemalangan jalan raya adalah pengguna pengangkutan awam.

 

Oleh Meja Rencana, 18 April 2023, 9:00 am

 

SAUDARA PENGARANG,

AKTIVITI balik kampung semasa Hari Raya Aidilfitri pastinya dinantikan oleh setiap umat Islam. Bukan itu sahaja, kaum lain turut mengambil peluang untuk bercuti kerana ia adalah cuti umum.

Berdasarkan statistik kadar kemalangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2022, dilaporkan kemalangan dan kematian jalan raya adalah sebanyak 545,630 kes dan berlaku peningkatan agak serius dari setahun ke setahun.

Pada tahun ini dijangkakan bilangan kenderaan semasa Hari Raya Aidil­fitri adalah tinggi. Sepertimana kita tahu, negara sudah berada di fasa peralihan endemik sejak April 2022 dan rakyat kini dapat menjalankan rutin seperti biasa dan pastinya balik kampung dinantikan kerana sebelum ini tidak dapat melaksanakan amalan itu.

Antara alternatif bagi mengelakkan kemalangan jalan raya adalah dengan menggunakan pengangkutan awam.

Melalui kajian didapati kumpulan paling kurang menyumbang kepada kemalangan jalan raya adalah pengguna pengangkutan awam iaitu di bawah satu peratus dari segi kematian jika dibandingkan dengan pengguna motosikal, kereta dan pejalan kaki yang hampir 90 peratus mencatatkan angka kematian.

Namun, kita harus akui, tidak semua masyarakat sesuai untuk menaiki kenderaan awam. Jika perlu menggunakan kenderaan persendirian untuk pulang ke kampung bersama keluarga, pastikan kenderaan diselenggara sebelum pulang ke kampung dan pemandu perlu mendapat tidur secukupnya.

Jika pemandu mempunyai gejala mengantuk semasa perjalanan ke destinasi, berhenti dan tidur sebentar di kawasan rehat dan rawat (R&R) berdekatan.

Setiap penumpang kenderaan persendirian harus menggunakan produk keselamatan dengan betul, iaitu tali pinggang keledar dan jika ada penumpang kanak-kanak, jangan dilupakan kerusi keselamatan.

Jangan anggap duduk di bahagian belakang kenderaan itu selamat kerana jika berlaku kemalangan, kesan kecederaan boleh menjadi serius dan kebarangkalian tinggi untuk kehilangan nyawa ahli keluarga tanpa menggunakan produk keselamatan.

Penggunaan jalan raya ke destinasi kampung turut memainkan peranan dalam aspek keselamatan. Antara kategori jalan raya yang selalunya digunakan oleh pengguna ialah lebuh raya, jalan Persekutuan atau jalan negeri dan jalan bandaran.

Sebenarnya ramai pengguna tidak begitu fokus dengan keselamatan semasa berada di jalan bandaran dan jalan negeri kerana beranggapan ia jalan raya yang biasa digunakan tetapi sebenarnya perlu lebih berhati-hati kerana kebarangkalian untuk berlakunya kemalangan itu ada.

Antara empat jenis jalan raya ini yang paling selamat adalah lebuh raya kerana ia mempunyai sistem yang mempunyai pembahagi jalan di mana pemandu tidak boleh bergerak ke lorong bertentangan arah dan ini dapat mengelakkan daripada pelanggaran bahagian depan.

Dalam apa jua penggunaan jenis pengangkutan, penting bagi mengurangkan kelajuan kerana ini secara langsung dapat mengelakkan daripada berlakunya kemalangan dan kematian.

Jika kenderaan dapat kurangkan kelajuan, kita akan dapat kawal kenderaan dengan baik dan jika terjadinya kemalangan pada kelajuan yang rendah, impak serta risiko untuk berlakunya kematian ataupun kecederaan adalah rendah.

keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak perlu memainkan peranan serta celik ilmu dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya. – UTUSAN

PROFESOR DR. KULANTHAYAN K.C. MANI, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Date of Input: 19/04/2023 | Updated: 19/04/2023 | ahmadmustafa

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXEYPAK~