STUNTING AMONG CHILDREN IN MALAYSIA | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» ARTICLE » STUNTING AMONG CHILDREN IN MALAYSIA

STUNTING AMONG CHILDREN IN MALAYSIA

TERBANTUT DALAM KALANGAN KANAK-KANAK DI MALAYSIA

 

Malnutrisi berganda (double burden malnutrition) dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun adalah salah satu masalah utama di peringkat global yang memerlukan perhatian sewajarnya. Di Malaysia, pada masa kini terdapat peningkatan tren, malnutrisi berganda dalam kalangan kanak-kanak sama ada berat badan berlebihan atau kekurangan zat makanan. Secara umumnya, terdapat empat situasi malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak iaitu kurang berat badan (underweight), tersusut (wasting), terbantut (stunting), obesiti/berat badan berlebihan (obesity/overweight). Kurang berat badan bermaksud kanak-kanak terlalu kurus untuk umur (weight for age - WAZ), manakala tersusut berlaku apabila kanak-kanak terlalu kurus  berdasarkan indek jisim tubuh (body mass index-BMI) untuk ketinggian (BMI for height - BAZ).  Tersusut (wasting) berlaku disebabkan penurunan berat badan yang cepat atau kegagalan untuk meningkatkan berat badan. Manakala, terbantut bermaksud apabila seorang kanak-kanak mempunyai ketinggian untuk umur  (height for age - HAZ) kurang daripada -2 sisihan piawai berdasarkan standard rujukan (WHO, 2006). Hal ini kerana berlakunya kekurangan zat makanan kronik dalam jangkamasa panjang. Akhirnya, obesiti/berat badan berlebihan pula terjadi apabila kanak-kanak mempunyai berat badan berdasarkan indek jisim tubuh (body mass index-BMI) untuk umur lebih daripada 2 sisihan piawai standard rujukan (WHO, 2006). Ini bermaksud kanak-kanak mempunyai berat badan berlebihan berdasarkan umur.

 

Di Malaysia, peratus kanak-kanak terbantut telah meningkat, manakala peratus kanak-kanak tersusut menurun berbanding dekad sebelumnya (National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2006 - NHMS 2016) untuk bayi dibawah 6 bulan, kanak-kanak berumur 12-23 bulan dan kanak-kanak di bawah 5 tahun.  Rajah 1 menunjukkan peratus kanak-kanak terbantut telah meningkat dengan ketara dari 8.9% pada tahun 2006 kepada 14.0% pada tahun 2016, sementara peratus kanak-kanak tersusut menurun dengan ketara daripada 21.4% kepada 10.9% dalam jangka masa yang sama. Tidak terdapat perubahan dalam peratus berat badan berlebihan/obesiti dalam jangkamasa yang sama. Rajah 2 menunjukkan peningkatan peratusan kanak-kanak terbantut yang berumur 12-23 bulan adalah sangat ketara iaitu daripada 8.9% menjadi 17.0%.  Sebaliknya, peratusan kanak-kanak tersusut yang berumur 12-23 bulan telah menurun secara signifikan daripada 14.4% menjadi 11.6% dalam jangka masa antara 2006 dan 2016.

 

 

 

Rajah 1: Peratus Kurang Berat Badan, Terbantut, Tersusut, Berat Badan berlebihan/Obesiti dalam Kalangan Kanak-Kanak kurang 6 bulan (Institute of Public Health, Nutrition Division MOH and UNICEF, 2017)

 

 

 

Rajah 2: Peratus Kurang Berat Badan, Terbantut, Tersusut, Berat Badan berlebihan/Obesiti dalam Kalangan Kanak-Kanak 12-23 bulan (Institute of Public Health, Nutrition Division MOH and UNICEF, 2017)

 

 

Rajah 3 menunjukkan peratus kanak-kanak di bawah umur 5 tahun yang terbantut telah meningkat daripada 17.5%  kepada 20.5%, sementara peratus tersusut menurun daripada 13.2% kepada 11.9% dalam tempoh antara tahun 2006 dan 2016 (10 tahun). Terkini, NHMS (2019) melaporkan peratus terbantut dalam kalangana kanak-kanak di bawah umur 5 tahun telah meningkat kepada 21.8%.

 

Rajah 3: Peratus Kurang Berat Badan, Terbantut, Tersusut, Berat Badan berlebihan/Obesiti dalam Kalangan Kanak-Kanak berumur bawah 5tahun (Institute of Public Health, Nutrition Division MOH and UNICEF, 2017)

 

 

Terbantut mempunyai kesan jangka panjang terhadap kehidupan individu dan masyarakat. Kanak-kanak terbantut akan mengalami gangguan pada pertumbuhan fizikal dan penurunan kognitif. Kanak-kanak terbantut ketika dewasa nanti akan mengalami penurunan produktiviti dan peningkatan risiko penyakit degeneratif/gangguan metabolik seperti diabetes jenis 2, darah tinggi dan penyakit kardivaskular. Berdasarkan pemakanan kitaran hidup, kanak-kanak yang mengalami masalah terbantut/kurang zat makanan akan berkembang menjadi seorang dewasa yang mempunyai masalah pemakanan.  Seterusnya, sekiranya tidak ada peningkatan status pemakanan, wanita dewasa tersebut akan berkeluarga, mengandung dalam masa yang sama masih mengalami kurang zat makanan akan berpotensi melahirkan bayi yang mempunyai berat lahir rendah (LBW) (<2.5g). Bayi yang dilahirkan LBW mempunyai risiko yang lebih besar untuk mengalami kerencatan pertumbuhan disamping terdedah kepada jangkitan yang mempengaruhi status kesihatan. Keadaan ini berterusan seperti satu kitaran yang terus berulang (Rajah 4). Kajian oleh Wolde dan Belachew (2019) mendapati juga kekurangan zat makanan kronik (terbantut) akan memudaratkan prestasi akademik sekolah rendah kanak-kanak,

 

Rajah 4:  Pemakanan Kitaran Hidup (Derek, 2019)

 

 

Kesimpulannya, terbantut dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia merupakan salah satu masalah malnutrisi yang perlu diberi perhatian sewajarnya dan perlu ditangani segera. Hal ini kerana, ianya meningkatkan risiko kematian (mortality) dan kesakitan (morbidity) disebabkan oleh kekurangan zat makanan yang kronik dalam jangkamasa panjang. Ianya boleh menjadi satu pemakanan kitaran hidup yang terus berulang sekiranya usaha pencegahan dan advokasi diabaikan. Pelbagai faktor yang memyumbang kepada isu terbantut termasuk faktor mikro dan makro yang perlu diteliti.  Terbantut boleh memberi implikasi jangka panjang terhadap kehidupan individu dan masyarakat termasuk gangguan pertumbuhan fizikal, perkembangan kognitif, pencapaian akademik, menurunkan produktiviti, dan menyumbang kepada penyakit kronik ketika dewasa nanti.  Oleh itu, mengenalpasti modul solusi kepada isu terbantut sangat diperlukan  dan usaha advokasi kepada golongan berisiko perlu diberi perhatian sewajarnya.

 

 

 

 

RUJUKAN

 

Derek KQR. 2019. Stunting in Malaysia: costs, causes & country for action. JCI-JSC Working Paper. Jeffery Cheah Institute on Southeast Asia and Jeffery Sach Center on Sustainable Development.

Institute for Public Health (IPH) and Nutrition Division (ND) (2017). Double Burden Malnutrition in Malaysia: What’s Next? Landscape Analysis of Nutritional Situation among Children Under 5 Years in Malaysia. Ministry of Health Malaysia. 

 

 

 

Disediakan oleh:

 

Profesor Dr. Norhasmah Sulaiman

Ketua Jabatan

Jabatan Pemakanan

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Universiti Putra Malaysia

Date of Input: 26/04/2021 | Updated: 26/04/2021 | sitiraihanah

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
W1UKURAq:17:23