HARI KESIHATAN SEDUNIA 2026 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI KESIHATAN SEDUNIA 2026

HARI KESIHATAN SEDUNIA 2026

Hari Kesihatan Sedunia: Refleksi dan Cabaran Kesihatan di Malaysia

Hari Kesihatan Sedunia merupakan hari kesedaran kesihatan global yang disambut setiap tahun pada 7 April, untuk mewujudkan kesedaran yang lebih baik tentang isu kesihatan utama yang memberi kesan kepada masyarakat dunia. Setiap tahun, tema yang diketengahkan memberi tumpuan kepada cabaran kesihatan semasa seperti kesihatan mental, liputan kesihatan sejagat, perubahan iklim dan keselamatan kesihatan awam. Sambutan Hari Kesihatan Dunia tersebut bukan sekadar simbolik, tetapi menjadi platform utama untuk meningkatkan tahap kesedaran tentang kepentingan dan hak kepada Kesihatan, menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh sistem kesihatan negara dan menggerakkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat. Kesihatan bukan hanya ketiadaan penyakit, tetapi merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan sosial. Justeru, pendekatan menyeluruh amat penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan dalam sektor kesihatan. Sistem kesihatan awam yang komprehensif dan subsidi kerajaan membolehkan rakyat pelbagai peringkat umur mendapat akses rawatan pada kos yang berpatutan. Namun begitu antara cabaran utama yang dialami oleh penduduk di Malaysia adalah penuaan penduduk yang pesat yang menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCDs), stigma terhadap penyakit mental yang merupakan cabaran utama dalam menangani isu Kesihatan mental yang membimbangkan, , literasi kesihatan yang agak rendah serta kesiapsiagaan Kesihatan awam.

Malaysia sedang mengalami proses penuaan penduduk dan dijangka akan mencapai status sebuah negara tua pada tahun 2030. Peningkatan populasi warga emas menyebabkan peningkatan permintaan dan keperluan kepada perkhidmatan kesihatan geriatrik, penjagaan jangka panjang dan sokongan sosial yang lebih tersusun dan mampan. Tanpa perancangan rapi, sistem kesihatan mungkin menghadapi tekanan sumber dan tenaga kerja. Dari aspek peningkatan jumlah penyakit kronik pula, Malaysia berdepan kadar penyakit seperti diabetes, hipertensi dan obesiti yang semakin meningkat dan membimbangkan. Gaya hidup sedentari, pemakanan tidak seimbang, tekanan kerja dan kurangnya literasi kesihatan merupakan antara penyumbang utama kepada masalah ini. Penyakit tidak berjangkit kini menjadi antara penyebab utama kematian di Malaysia.

Masalah Kesihatan mental juga semakin meningkat di Malaysia. Walaupun kesedaran terhadap kesihatan mental semakin meningkat, namun stigma masih wujud dalam masyarakat. merangkumi gangguan seperti kemurungan, kebimbangan (anxiety), gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), gangguan bipolar dan skizofrenia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental adalah sebahagian penting daripada kesejahteraan menyeluruh, bukan sekadar ketiadaan penyakit fizikal. Di Malaysia, isu kesihatan mental semakin mendapat perhatian, khususnya selepas pandemik COVID-19 yang memberi kesan besar terhadap kesejahteraan emosi rakyat. Masalah kesihatan mental di Malaysia bukan lagi isu terpencil, tetapi cabaran kesihatan awam yang memerlukan tindakan menyeluruh. Dengan meningkatkan kesedaran, mengurangkan stigma dan memperluas akses kepada perkhidmatan sokongan, Malaysia mampu membina masyarakat yang lebih sihat dari segi fizikal dan mental.

Literasi kesihatan pula merupakan asas kepada masyarakat yang sihat dan produktif. Dalam konteks Malaysia yang sedang menghadapi peningkatan penyakit kronik dan penuaan populasi, pengukuhan literasi kesihatan perlu dijadikan agenda nasional. Pelaburan dalam pendidikan kesihatan bukan sekadar meningkatkan pengetahuan, tetapi memperkasa rakyat untuk membuat keputusan yang lebih bijak dan berinformasi demi kesejahteraan jangka panjang.

Hari Kesihatan Dunia mengingatkan kita bahawa kesihatan adalah asas pembangunan negara. Malaysia telah mencapai banyak kemajuan dalam sektor kesihatan, namun cabaran seperti penyakit tidak berjangkit, penuaan penduduk dan kesihatan mental memerlukan tindakan bersepadu. Pengalaman pandemik COVID-19 menunjukkan kepentingan kesiapsiagaan sistem kesihatan dalam menghadapi krisis. Dengan kerjasama semua pihak seperti kerajaan, institusi dan masyrakat, matlamat kesejahteraan kesihatan untuk semua (universal health) mampu direalisasikan. Kesihatan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi tanggungjawab bersama demi masa depan negara yang lebih sejahtera.

Prof. Madya Dr. Halimatus Sakdiah Minhat
Jabatan Kesihatan Komuniti
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
halimatus@upm.edu.my

Tarikh Input: 06/04/2026 | Kemaskini: 06/04/2026 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (01:59:26pm-02:04:26pm, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]