HARI HEPATITIS SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI HEPATITIS SEDUNIA 2025

HARI HEPATITIS SEDUNIA 2025

HARI HEPATITIS SEDUNIA: MARI KITA RUNGKAI

Setiap tahun, pada 28 Julai, dunia memperingati Hari Hepatitis Sedunia, hari yang ditetapkan untuk meningkatkan kesedaran global terhadap penyakit hepatitis- sejenis jangkitan yang boleh menyebabkan kerosakan hati dan mengancam nyawa jika tidak dikesan atau dirawat dengan segera. Pada tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membawa tema “Hepatitis: Let’s Break It Down” atau dalam Bahasa Melayu, “Hepatitis: Mari Kita Rungkai.”

Tema ini bukan sekadar slogan. Ia adalah seruan tindakan untuk kita sama-sama merungkai kekeliruan, stigma dan halangan dalam usaha mencegah dan merawat hepatitis. Ramai dalam kalangan masyarakat masih belum memahami sepenuhnya apakah sebenarnya penyakit hepatitis, bagaimana cara jangkitan dan mengapa ujian awal dan rawatan adalah sangat penting. 

Apa itu Hepatitis? 

Hepatitis merujuk kepada keradangan pada hati yang boleh berlaku akibat pelbagai faktor, termasuk jangkitan virus, pengambilan alkohol yang berlebihan, pendedahan kepada toksin, atau penyakit autoimun. Namun, yang paling membimbangkan adalah hepatitis yang disebabkan oleh jangkitan virus terutamanya hepatitis B dan C. Kedua-dunia jenis hepatitis ini boleh menyebabkan jangkitan kronik yang berpanjangan dan akhirnya membawa kepada komplikasi serius seperti sirosis (pengerasan hati) dan kanser hati. Apa yang menyedihkan adalah kebanyakkan individu yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal jangkitan. Mereka hanya menyedari sesuatu yang tidak kena apabila kerosakan pada hati telah menjadi parah. Di sinilah pentingnya saringan awal.

Hepatitis: Masalah Kesihatan Global 

Statistik menunjukkan lebih 300 juta orang di seluruh dunia hidup dengan hepatitis B atau C. Setiap tahun, lebih sejuta nyawa terkorban akibat komplikasi berkaitan hepatitis. Di Malaysia sahaja, sebanyak lebih kurang 80 000 kes hepatitis B dan C telah dilaporkan dari tahun 2013 sehingga 2023.   Angka ini menjadikan hepatitis sebagai penyumbang kematian yang melebihi HIV dan malaria. Ironinya, hepatitis adalah penyakit yang boleh dicegah dan dirawat, namun begitu kesedaran masyarakat masih rendah. Ramai yang masih belum mengetahui tentang penyakit ini dan tidak kurang juga yang belum menjalani saringan atau mendapatkan rawatan awal, menyebabkan penyakit dikesan pada peringkat yang sudah serius.

Mari Kita Rungkai

Apa maksud “Mari Kita Rungkai” dalam konteks hepatitis? 

Pertama, rungkai kekeliruan dan salah faham. Hepatitis bukan penyakit yang hanya berkait dengan gaya hidup tidak sihat. Ia boleh dijangkiti melalui pelbagai cara seperti hubungan seksual tanpa perlindungan, perkongsian jarum atau daripada ibu kepada anak semasa kelahiran. Oleh itu, makluman tepat dan pendidikan kesihatan adalah senjata utama melawan penyebaran penyakit ini. 

Kedua, kita rungkai halangan untuk mendapatkan rawatan dan ujian. Masih ramai yang takut untuk menjalani ujian hepatitis kerana stigma. Ada juga yang tidak tahu bahawa rawatan untuk hepatitis C kini boleh menyembuhkan jangkitan sepenuhnya, manakala hepatitis B pula boleh dikawal dengan ubat-ubatan yang berkesan.

Ketiga, kita rungkai stigma sosial. Individu yang hidup dengan hepatitis sering berdepan diskriminasi di tempat kerja, sekolah dan Masyarakat. Ini hanya memburukan keadaan, kerana ketakutan terhadap penolakan menyebabkan mereka enggan tampil mendapatkan rawatan. Sebagai masyarakat, kita perlu mengubah persepsi dan memberikan sokongan moral, bukan penghakiman. 

Harapan Menjelang 2030 

WHO telah menetapkan matlamat untuk menghapuskan hepatitis sebagai ancaman kesihatan awam menjelang tahun 2030. Ini bukan impian kosong — ia boleh dicapai jika semua pihak berganding bahu. Kita perlukan lebih banyak kempen kesedaran, ujian saringan yang mudah diakses, vaksinasi awal (terutama terhadap hepatitis B), dan sistem kesihatan yang menyokong rawatan hepatitis secara menyeluruh.

Sebagai individu, kita juga ada peranan penting. Ambillah tahu status kesihatan anda — lakukan ujian hepatitis sekiranya anda tergolong dalam kumpulan berisiko. Galakkan orang sekeliling untuk berbuat perkara yang sama. Berikan sokongan kepada mereka yang sedang menjalani rawatan dan yang paling penting, bantu sebarkan maklumat yang betul.

Penutup

“Hepatitis: Mari Kita Rungkai” mengingatkan kita bahawa untuk menghapuskan hepatitis, kita perlu membuang semua kekeliruan, menghapuskan stigma, dan membuka jalan kepada rawatan yang adil dan menyeluruh untuk semua. Mari kita sama-sama bertindak — untuk diri sendiri, keluarga, dan masyarakat. Kerana setiap langkah kecil yang kita ambil hari ini, boleh menyelamatkan nyawa esok.

 

Dr. Norashiqin Misni

Pensyarah Kanan

Jabatan Mikrobiologi Perubatan

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Universiti Putra Malaysia

 

Tarikh Input: 29/07/2025 | Kemaskini: 29/07/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (12:32:52am-12:37:52am, 17 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]