HARI MAKANAN SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI MAKANAN SEDUNIA 2025

HARI MAKANAN SEDUNIA 2025

Hand in Hand for Better Foods and a Better Future

Bayangkan aroma nasi yang baru dimasak, dengan kepulan wap yang membawa kenangan tentang keluarga, kasih dan rumah. Makanan bukan sekadar keperluan fizikal, tetapi satu lambang kasih sayang dan kemanusiaan yang menyatukan manusia di seluruh dunia. Ia adalah bahasa sejagat yang menembusi sempadan budaya dan sosial, menyatukan masyarakat melalui rasa syukur, empati, dan kebersamaan. Namun di sebalik kemewahan hidangan yang kita nikmati, masih ada mereka yang berjuang untuk mendapatkan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat setiap hari. Hak terhadap makanan bukanlah satu kemewahan, tetapi satu hak asasi manusia, hak untuk hidup dengan maruah dan kesihatan yang baik.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pada tahun 1996 mentakrifkan keselamatan makanan sebagai keadaan di mana setiap individu, pada setiap masa, mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi terhadap makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat bagi kehidupan yang aktif dan sihat. Dalam konteks Malaysia, ekosistem makanan negara masih mencabar, terutamanya apabila berdepan dengan perubahan iklim, ketidaktentuan pasaran global, serta ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan. Menyedari realiti ini, Malaysia telah memperkenalkan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (NAP 2.0) serta Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021–2025, yang menekankan mobilisasi sumber semula jadi, modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta teknologi ke arah membina sistem makanan yang mampan dan berdaya tahan, seiring dengan matlamat Zero Hunger (Sustainable Development Goal- SDG 2).

Kehilangan makanan kini kekal sebagai cabaran utama, terutamanya bagi hasil segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran disebabkan oleh kekangan dalam pengeluaran, penyimpanan dan pengangkutan. Secara global, sekitar 13.2% makanan yang dihasilkan hilang antara peringkat penuaian dan runcit, manakala dianggarkan 19% daripada jumlah pengeluaran makanan dunia terbuang di peringkat isi rumah, perkhidmatan makanan dan runcit. Keadaan ini bukan sahaja mengurangkan ketersediaan makanan, tetapi juga membazirkan sumber penting seperti air, tanah, tenaga dan tenaga kerja, di samping menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau dan perubahan iklim.

Pada masa yang sama, peningkatan kos untuk mendapatkan diet sihat, khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah, serta peningkatan kadar obesiti dan penyakit tidak berjangkit, menekankan bahawa keselamatan makanan bukan sekadar soal ketersediaan, tetapi turut melibatkan kemampuan, pilihan dan kesedaran. Bagi menangani cabaran ini, langkah yang praktikal dan mampan perlu diambil, antaranya menggalakkan komuniti dan isi rumah menanam sayur-sayuran serta herba yang cepat dituai untuk kegunaan sendiri. Satu langkah
mudah tetapi berimpak besar ke arah memperkukuh daya tahan makanan, mengurangkan pembaziran, dan membina sistem makanan yang lebih lestari serta berdikari.

Dalam menghadapi cabaran ini, Malaysia juga telah memperkukuh tindakan melalui pelbagai inisiatif seperti Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang mempromosikan gaya hidup sihat, Logo Pilihan Lebih Sihat (HCL) bagi membantu pengguna membuat pilihan makanan yang lebih bijak, serta Program BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) bagi memastikan penyediaan makanan yang berkualiti di peringkat komuniti. Semua ini bergerak seiring dengan keperluan membina masyarakat yang lebih celik pemakanan dan bertanggungjawab terhadap kesihatan diri serta alam sekitar.

Manakala, sebagai institusi peneraju dalam bidang pertanian, makanan dan sains kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil ke hadapan melalui aspirasi Pelan Induk Sekuriti Makanan UPM, satu komitmen besar untuk menerajui agenda sekuriti makanan negara dan memperkukuh kedudukan di peringkat antarabangsa. UPM bukan sahaja berperanan sebagai pusat penyelidikan dan inovasi, tetapi juga sebagai agen perubahan sosial yang menghubungkan pengetahuan, komuniti, dan dasar melalui penyelesaian praktikal dan lestari. Dengan kekuatan dalam bidang pemakanan, sains makanan, pertanian dan bioteknologi, UPM berupaya menjadi pencetus transformasi daripada makmal ke ladang, daripada penyelidikan ke polisi, dan akhirnya ke pinggan rakyat.

Dalam arus cabaran global masa kini, Hari Makanan Sedunia 2025, yang disambut pada 16 Oktober mengingatkan kita bahawa isu makanan bukan sekadar urusan pengeluaran dan perdagangan, tetapi berkait rapat dengan nilai kemanusiaan, keadilan sosial, dan kelestarian bumi. Makanan ialah hak, bukan keistimewaan; memastikan hak itu dipenuhi adalah tanggungjawab bersama sebagai individu, komuniti, dan negara. Bertemakan “Hand in Hand for Better Food and a Better Future,” sambutan tahun ini menyeru kita untuk merenung semula peranan masing-masing: adakah kita hanya pengguna pasif, atau penyumbang aktif kepada sistem makanan yang lebih adil, inklusif, dan lestari?

Sepertimana makanan menyatukan kita di meja makan, biarlah ia juga menyatukan kita dalam misi kemanusiaan untuk memastikan tiada siapa yang tertinggal daripada hak untuk menikmati makanan yang berkhasiat, selamat, dan bermakna. Bukan sekadar untuk hari ini, tetapi juga untuk generasi yang akan datang. Bersama, dengan berganding tangan dan berkongsi satu tujuan, kita mampu mewujudkan dunia yang bebas daripada kelaparan dan lebih sejahtera untuk semua.

Dr. Siti Raihanah Shafie
Pensyarah Kanan, Kepakaran Pemakanan Berkaitain Penyakit Kronik, Makanan Berfungsi
Jabatan Pemakanan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
sitiraihanah@upm.edu.my

 

Tarikh Input: 16/10/2025 | Kemaskini: 17/10/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (12:32:55am-12:37:55am, 17 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]