HARI MALARIA SEDUNIA 2026 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI MALARIA SEDUNIA 2026

HARI MALARIA SEDUNIA 2026

Driven to End Malaria: Now We Can. Now We Must.

Setiap tahun pada 25 April, dunia menyambut Hari Malaria Sedunia — hari yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi meningkatkan kesedaran tentang malaria, menghormati mereka yang telah kehilangan nyawa akibat penyakit ini, serta mengukuhkan komitmen ke arah pembasmiannya. Ianya diasaskan pada tahun 2007 oleh Perhimpunan Kesihatan Sedunia, majlis tahunan ini berfungsi sebagai peringatan yang jitu bahawa penyakit malaria, walaupun ianya boleh dicegah dan dirawat, NAMUN ia masih terus meragut ratusan ribu nyawa setiap tahun.

Pada Hari Malaria Sedunia 2026 (World Malaria Day), kempen bertajuk "Driven to End Malaria: Now We Can. Now We Must." telah dilancarkan, ia mencerminkan keperluan yang tinggi untuk melindungi nyawa pada masa kini dan menjamin masa depan yang bebas malaria.

Malaria disebabkan oleh parasit Plasmodium, yang dibawa melalui gigitan nyamuk Anopheles betina kepada manusia. Terdapat lima spesies yang menjangkiti manusia, di mana Plasmodium falciparum adalah spesis yang paling bahaya dan boleh membawa kematian manakala P. vivax merupakan spesis yang paling meluas penyebarannya dari segi geografi.

Menurut Laporan Malaria Sedunia WHO 2025, dianggarkan terdapat 263 juta kes malaria dan 597,000 kes kematian di seluruh dunia pada tahun 2024, di mana rantau Afrika dilaporkan menguasai hampir 94% daripada keseluruhan kes. Setakat ini, 37 buah negara melaporkan kurang daripada 1,000 kes pada tahun 2024.

Kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan wanita mengandung merupakan golongan paling rentan dan telah menyumbang kepada majoriti kes malaria yang teruk sehingga membawa kematian. Di samping itu, malaria turut memberi kesan yang besar kepada ekonomi dengan berlaku pengurangan produktiviti, bebanan kepada sistem kesihatan, serta mengekalkan kadar kemiskinan di dalam komuniti endemik malaria.

Di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Plasmodium knowlesi telah muncul sebagai penyebab utama kes malaria dalam kalangan manusia, terutamanya di Sabah dan Sarawak. Parasit zoonotik ini ditularkan daripada monyet makak (macaque) kepada manusia melalui gigitan nyamuk betina Anopheles leucosphyrus di kawasan hutan, dan penebangan hutan yang berterusan telah menyebabkan vektor ini semakin mudah mendekati manusia.

Walaupun demikian, Malaysia telah berjaya merekodkan sifar kes ‘indegenous P. falciparum dan P. vivax’— hasil daripada berpuluh tahun dalam pelaburan strategik dalam sistem kesihatan awam, kawalan vektor, dan pemantauan epidemiologi yang berasaskan data. Namun, sifat zoonotik P. knowlesi yang menjadikan monyet liar sebagai takungan semula jadi parasit telah menyebabkan pembasmian sepenuhnya adalah jauh lebih kompleks, dan risiko penularannya akan kekal sebagai cabaran jangka panjang dan memerlukan kewaspadaan yang berterusan.


Cabaran Baharu Dalam Menangani Malaria

Dunia kini berhadapan dengan satu gelombang cabaran baharu yang semakin kompleks dan saling berkait. Rintangan terhadap ubat-ubatan dan insektisid terus menjadi ancaman paling kritikal. Salah satu cabaran tersebut adalah kemunculan dan penularan rintangan terhadap terapi kombinasi berasaskan artemisinin (ACTs), yang mana ACTs ini merupakan tunjang utama rawatan malaria. Rintangan artemisinin separa, yang pada asalnya dikenal pasti di sekitar Sungai Mekong, Thailand kini telah disahkan di 4 buah negara Afrika — terutamanya Eritrea, Rwanda, Uganda, dan Tanzania. Mutasi pada gen Plasmodium falciparum kelch13 (PfK13) telah melambatkan proses penyembuhan, sekali gus mengancam keberkesanan rawatan malaria yang utama. Ini amat membimbangkan kerana penggunanan ACTs merupakan pilihan rawatan utama yang digunakan secara meluas di seluruh dunia, khususnya di Afrika, negara yang menanggung beban kes malaria yang terbesar.

Serentak dengan itu, penularan rintangan piretroid dalam populasi nyamuk Anopheles melemahkan lagi keberkesanan kelambu rawatan insektisid (ITNs) dan penyemburan dalaman (IRS). Kedua-dua intervensi di atas adalah yang paling banyak digunakan di seluruh dunia. Penularan rintangan insektisid ini ke benua Afrika — yang selama ini dianggap sebagai kawasan yang belum terjejas secara signifikan telah menunjukkan satu titik perubahan kritikal dalam landskap kawalan malaria secara global. Sekiranya rintangan ini terus merebak tanpa kawalan yang berkesan, pencapaian yang telah diraih selama bertahun-tahun dalam mengurangkan kadar kematian dan kes malaria mungkin akan turut terjejas, dan matlamat untuk membasmi penyakit ini akan semakin luar dari jangkauan yang ingin dicapai.

Perubahan iklim sedang mengubah taburan geografi nyamuk pembawa malaria. Peningkatan suhu dan perubahan corak hujan membolehkan nyamuk Anopheles meneroka kawasan tanah tinggi di Afrika Timur dan sebahagian Amerika Selatan yang sebelum ini terlalu sejuk untuk berlakunya penularan malaria. Fenomena ini memberi kesan kepada perluasan sempadan geografi malaria, mendedahkan populasi baharu yang tidak mempunyai imuniti semula jadi dan kekurangan infrastruktur kesihatan bagi menghadapi ancaman penyakit ini.

Selain itu, pengurangan kadar pembiayaan yang berterusan berbanding tahun lalu telah menggangu kesinambungan program kawalan malaria. Ini sekaligus menjejaskan pengagihan kelambu rawatan, ujian diagnostik, dan akses kepada rawatan bagi mereka yang paling memerlukan. Krisis kemanusiaan seperti konflik bersenjata dan perpindahan penduduk besar-besaran turut memburukkan lagi keadaan dan mewujudkan persekitaran yang lebih mudah untuk berlakunya penularan malaria dalam kalangan komuniti terpinggir dan kekurangan perlindungan. Gabungan perubahan iklim, kekurangan dana, dan ketidakstabilan geopolitik telah membentuk cabaran yang berlapis dan ini memerlukan respons secara global dan bersepadu di samping memandang jauh demi memastikan matlamat pembasmian malaria dapat dicapai.


Kejayaan Terkini dan Inovasi

Pemberian lesen kepada vaksin RTS,S/AS01 (Mosquirix) menandakan satu detik bersejarah dalam pencegahan malaria. Berikutan cadangan WHO pada tahun 2021, lebih 12 juta dos telah diberikan kepada kanak-kanak di Ghana, Kenya, dan Malawi sebagai sebahagian daripada program perintis. Data keberkesanan menunjukkan pengurangan kira-kira 30–40% dalam episod malaria klinikal dan sehingga 30% pengurangan dalam kes malaria teruk dalam kalangan kanak-kanak yang telah divaksin.

Lebih terkini, vaksin R21/Matrix-M, yang telah dibangunkan oleh Universiti Oxford dan Institut Serum India, berjaya menunjukkan keberkesanan sehingga 77% dalam ujian klinikal fasa 2. Beberapa buah negara telah memulakan program pelancaran kebangsaan pada tahun 2025, dan data programatik awal daripada tahun 2026 dijangka akan memberikan maklumat lanjut bagi memacu strategi vaksinasi global. Vaksin R21 khususnya membawa harapan baharu kerana kadar keberkesanannya yang lebih tinggi berbanding RTS,S, serta potensinya untuk dihasilkan dalam kuantiti yang lebih besar dan pada kos yang lebih rendah. Ini menjadikannya lebih mudah diakses oleh negara-negara berpendapatan rendah dan yang paling terjejas oleh malaria.

Inovasi dalam teknologi kelambu rawatan insektisid (ITN) telah menghasilkan kelambu dwi-insektisid yang menggabungkan dua bahan aktif berbeza — sama ada piretroid-klofenapir atau piretroid-piriproksifin — bagi mengatasi masalah rintangan insektisid yang semakin serius. Pada tahun 2023, hampir 80% kelambu yang dibekalkan di Afrika sub-Sahara adalah kelambu generasi baharu ini, mencerminkan peralihan pantas ke arah alat perlindungan yang lebih berkesan.

Kemajuan dalam teknologi ujian diagnostik pantas (RDT) membolehkan pengesanan malaria yang lebih tepat dan cepat di peringkat komuniti tanpa memerlukan makmal yang lengkap. Penyelidikan sedang dijalankan untuk membangunkan RDT generasi baharu yang mampu mengesan parasit P. knowlesi dan strain yang telah mengembangkan rintangan, termasuk ujian yang lebih sensitif terhadap jangkitan tanpa gejala.

Memandangkan rintangan terhadap artemisinin semakin merebak, penyelidikan ke atas ubat-ubatan baharu sedang dipergiatkan. Beberapa sebatian baharu sedang dalam peringkat ujian klinikal, termasuk KAF156 dan cipargamin, yang menyasarkan mekanisme tindakan berbeza daripada ubat-ubatan sedia ada bagi mengatasi masalah rintangan. Pendekatan terapi kombinasi baharu juga sedang dikaji bagi memanjangkan hayat keberkesanan ubat-ubatan yang ada.

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data yang besar dalam pemetaan risiko malaria, ramalan wabak, dan pengoptimuman pengagihan sumber menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. Platform digital membolehkan pemantauan kes secara ‘real-time’, membantu pihak berkuasa memebri respon dengan lebih pantas dan tepat terhadap sebarang peningkatan kes di peringkat komuniti.

Kesemua inovasi ini, apabila diintegrasikan secara strategik dengan program kesihatan awam yang kukuh dan pembiayaan yang mencukupi, akan memberi potensi yang tinggi untuk mengubah landskap asas kawalan dan pembasmian malaria secara global dalam tempoh terdekat.

Dr. Nur Raihana Ithnin
Kepakaran:Parasitologi & Entomologi Perubatan
Jabatan Mikrobiologi Perubatan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 20/04/2026 | Kemaskini: 23/04/2026 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
F, (03:12:40pm-03:17:40pm, 26 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]