Belum Ada SOP Jelas Sistem Urus Bencana | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» BERITA » Belum ada SOP jelas sistem urus bencana

Belum ada SOP jelas sistem urus bencana

BARU-BARU ini kita digemparkan lagi dengan bencana pencemaran udara di Pasir Gudang hingga menyebabkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN) mengeluarkan perintah menangguhkan persekolahan termasuk di institusi pendidikan tinggi dan warganya diberikan cuti.

Namun apa yang merisaukan adalah reaksi tercetus dalam kalangan masyarakat dan menurut laporan perubatan didedahkan Pakar Psikologi Klinikal Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) Dr Azlina Roszy mendapati 90 peratus pesakit pencemaran toksik dikenal pasti menghidap hyperventilation syndrome akibat keresahan melampau dan mereka pulang tanpa perubatan.

 

Ini berpunca daripada berita palsu yang tersebar di media sosial serta overreported oleh pihak media, menambahkan lagi kegelisahan dan kebimbangan dalam kalangan penduduk. Hal ini memberikan isyarat jelas bagi kita untuk menilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan bencana.

 

Bersama wartawan Metro Ahad MOHAMAD FAHD RAHMAT menemubual Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Timbalan Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) PROF MADYA DR JULIANA JALALUDIN bagi merungkai isu ini.

 

Bencana Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang Johor kembali menghantui dan kali ini masih di daerah sama namun membabitkan bahan pencemar lain, kenapa masih berulang?

Perkara ini kerana ketidakcekapan sistem pengurusan bahan kimia dan program pemantauan serta penilaian berterusan yang masih kurang efektif di kawasan berisiko dan mudah terjejas oleh pihak bertanggungjawab.

Sistem penguatkuasaan pihak tertentu yang dipertanggungjawabkan menangani masalah ini juga didapati kurang berkesan.

Selain itu kurangnya kepekaan, kesedaran dan pengetahuan oleh masyarakat setempat di peringkat awal memungkinkan masalah ini kembali berulang.

Komuniti setempat juga seharusnya lebih peka serta memainkan peranan penting untuk membantu bertindak lebih awal atau menjadi mata-mata kepada isu persekitaran di tempat mereka agar keadaan lebih serius tidak berulang.

Masyarakat kita menjadi panik dan lokasi ini dirasakan seolah-olah sudah tidak selamat untuk didiami, apakah ada kebenarannya?

Kepentingan sistem komunikasi risiko (risk communication) yang jelas kepada masyarakat awam sangat penting agar keadaan dapat dikawal dengan baik apabila terjadinya insiden sebegini.

Maklumat yang disalurkan juga perlu melalui media juga perlu tepat dan boleh diterima serta difahami setiap golongan bagi mengelakkan kekeliruan.

Jadi sumber maklumat haruslah merujuk kepada sumber media utama.

Lokasi penempatan berdekatan dengan kawasan industri sebegini sememangnya berisiko untuk didiami mereka yang sensitif dengan keadaan sebegitu seperti golongan bayi, kanak-kanak, warga emas dan ibu mengandung. Bahkan ia juga tidak sesuai dibina sekolah yang mana kita sedia maklum mempunyai golongan kanak-kanak yang masih kecil dan masih di peringkat perkembangan.

Bagi menentukan sama ada lokasi masih sesuai didiami atau sebaliknya memerlukan penelitian khusus terutama dari segi pemantauan hazad dan penilaian risiko kesihatan secara berterusan melalui kaedah yang terancang dan sistematik serta menyeluruh.

Jelasnya di sini ia memerlukan Kaedah Penilaian Risiko Kesihatan (Health Risk Assessment) secara saintifik dan tepat dan Penilaian Impak Kesihatan (HIA-Health Impact Assessment) yang menyeluruh di kawasan tertentu.

Setiap bahan pencemar mempunyai reaksi dan implikasi kesihatan yang berbeza, sama ada secara akut atau kronik.

Risiko atau kesan kesihatan biasanya bergantung kepada paras kepekatan dan jangka masa pendedahan serta tahap kerentanan individu atau komuniti yang terdedah.

Apa yang harus dilakukan bagi memastikan tapisan maklumat kurang benar di media sosial dapat dibanteras dan laporan media massa menjadi tepat untuk rujukan orang ramai?

Ketelusan dan ketepatan maklumat disampaikan amat penting dalam menjaga kredibiliti media utama dalam menyalurkan informasi tepat.

Negara kita juga perlu mempunyai sistem pemantauan dan mekanisma yang boleh menapis dan menyaring maklumat palsu atau kurang tepat agar ia tidak mudah disebarkan serta mengelirukan masyarakat umum.

SOP pengurusan bencana diuji sejak bencana Sungai Kim Kim, apa yang perlu ditambah baik?

Perkara ini berlaku kerana kita masih tiada SOP jelas mengenai sistem pengurusan bencana atau insiden yang berkait dengan pengurusan bahan kimia toksik, khususnya membabitkan kanak kanak, sekolah dan orang awam.

Isu ini sebenarnya sudah disedari dan pihak tertentu serta jawatankuasa yang berkaitan dengan Pelan Kebangsaan Kesihatan Persekitaran (EH) sudah mengambil inisiatif untuk membantu merangka prosedur dan SOP khusus untuk menangani masalah ini terutama yang membabitkan Pengurusan Kesihatan Persekitaran Kanak-Kanak.

Perkara yang berlaku sudah pasti mendapat perhatian pelabur asing. Apa yang harus dilakukan bagi mengelakkan mereka lari?

Kebelakangan ini negara kita mempunyai banyak isu berkaitan dengan alam sekitar dan dibahaskan di media massa dan sosial.

Kita perlu mengubah cara kita dalam menguruskan isu alam sekitar atau pengurusan bencana.

Pendekatan kita seharusnya lebih bersihat preventif dalam menghalang isu persekitaran daripada menjejaskan kesihatan rakyat sejak dari peringkat awal lagi.

Dengan menyediakan pelan mitigasi khusus dan bukannya hanya berdasarkan kaedah kuratif atau pengendalian atau pengurangan masalah yang berlaku.

Perlu lihat contoh bagaimana negara maju menggunapakai kaedah pengurusan bencana terbaik dan mengaplikasikannya di negara kita supaya masalah itu dapat dibendung dan pada masa sama menghalang pelabur asing itu daripada angkat kaki.

Justeru, apa yang patut dilakukan supaya isu pencemaran ini tak berulang dan kita pula tidak rugi?

Mempertingkatkan sistem pengurusan alam sekitar serta menggunapakai teknologi terkini di peringkat penyaringan bagi mempertingkatkan pengesanan awal dan kecekapan pengurusan alam sekitar serta impaknya di peringkat awal.

Kerajaan perlu memberi perhatian dan menyediakan peruntukan kewangan yang khusus bagi isu ini.

Siapa patut dipersalahkan, penguatkuasaan lemah atau dasar kerajaan?

Kedua-duanya. Punca utama adalah sistem penguatkuasaan lemah serta dasar yang kurang memberi penekanan kepada Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari dan isu berkaitan dengan Kesihatan Alam Sekitar di Malaysia.

Kesedaran mengenai isu ini harus bermula dari peringkat bawah atau akar umbi lagi.

Negara kita perlu mencapai Matlamat Pembangunan Lestari yang bukan hanya menekankan kelestarian alam sekitar namun juga menekankan agenda kesejahteraan masyarakat dan rakyat melalui pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

Kita perlu memberi perhatian bahawa apa yang dilakukan pada masa ini akan memudaratkan kehidupan anak cucu atau pewaris generasi kita pada masa depan.

Negara kita wajar mengenal pasti keutamaan dan seterusya memberi perhatian dan peruntukan sewajarnya kepada isu berkaitan Kesihatan Persekitaran (Environmental Health) yang dianggap kritikal dan berpotensi menjejaskan pembangunan alam sekitar, sosial dan ekonomi kita.

Pengusaha kilang pandang enteng bentuk hukuman dikenakan kerana menganggapnya kurang berat. Apa pendapat Prof?

Golongan yang hanya mementingkan agenda bagi meraih kejayaan seperti mereka perlu dikenakan hukuman setimpal.

Menjejaskan alam sekitar dan kesihatan generasi masa depan bukan hanya setakat memperkenalkan ‘polluter pays principle’ atau Super Fund, tetapi hukuman berat, tindakan undang-undang yang lebih tegas dan hukuman mandatori perlu dilaksanakan terhadap semua individu terbabit, bermula dari peringkat akar umbi.

 

Tarikh Input: 03/07/2019 | Kemaskini: 03/07/2019 | yubin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXDdWAB~