HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA 2026 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA 2026

HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA 2026

PRIHATIN TENTANG KESIHATAN BUAH PINGGANG ANDA

Buah Pinggang Anda
Adakah anda tahu bahawa di dua (2) buah pinggang anda, mempunyai 2 ke 3 juta nefron, iaitu termasuk kelompok salur darah halus (glomerulus) dan tiub kecil yang berfungsi untuk menapis darah, menyerap semula air dan bahan penting, seterusnya menghasilkan serta menyalurkan keluar air kencing?

Kecederaan buah pinggang secara tiba-tiba
Apabila buah pinggang berhenti berfungsi dengan baik secara mendadak, ia memerlukan perhatian dan rawatan segera. Kajian tempatan menunjukkan kira-kira 7% daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital mengalami keadaan ini, manakala sebahagian pesakit yang sangat kritikal di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kadar penyakit buah pinggang kronik di Malaysia
Di Malaysia, kadar penyakit buah pinggang kronik yang membawa kegagalan fungsi buah pinggang terus meningkat dari 9.07% (2011) kepada 15.48% (2018) dan membawa kepada lebih daripada 50,000 pesakit yang memerlukan dialisis. Dianggarkan juga bahawa pada tahun 2040, pesakit yang memerlukan dialisis melebihi 100,000 kes.

Faktor risiko kecederaan buah pinggang disebabkan amalan gaya hidup
Di antara punca kepada kecederaan buah pinggang disebabkan amalan gaya hidup adalah:

  • Kurang minum air (dehidrasi)
  • Pengambilan ubat tahan sakit secara berlebihan
  • Penggunaan ubat tradisional atau suplemen yang tidak diketahui kandungannya
  • Penyakit kronik yang tidak dikawal dengan baik seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi
  • Diet tinggi garam dan gaya hidup tidak sihat
  • Jangkitan yang tidak dirawat awal samada berkaitan saluran kencing atau apa-apa penyakit

 

Mengapa Ujian Makmal Penting Apabila Penyakit Buah Pinggang Disyaki
Penyakit buah pinggang sering berlakuk secara senyap tanpa gejala yang jelas pada peringkat awal. Oleh itu, pemeriksaan makmal seperti ujian air kencing, ujian darah dan kadangkala biopsi buah pinggang memainkan peranan yang sangat penting untuk mengesan masalah lebih awal sebelum kerosakan menjadi lebih serius.

Ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila gejala menjadi lebih ketara seperti bengkak pada muka atau kaki, air kencing berbuih, air kencing berdarah, tekanan darah tinggi, atau keletihan yang tidak dapat dijelaskan. Walau bagaimanapun, perubahan kecil yang dapat dikesan melalui ujian makmal selalunya muncul lebih awal daripada gejala yang dapat dirasai oleh pesakit.

Ujian paling mudah ialah ujian air kencing yang boleh memberikan banyak maklumat mengenai kesihatan buah pinggang. Melalui ujian ini, doktor dapat mengesan kehadiran protein, darah, sel-sel tertentu atau bahan lain yang mungkin menandakan keradangan atau kerosakan pada buah pinggang.

Selain itu, ujian darah juga sangat penting untuk menilai fungsi buah pinggang dengan mengukur paras seperti kreatinin dan urea dalam badan yang membantu doktor memahami sejauh mana buah pinggang mampu menapis bahan buangan daripada darah.

Kadangkala, walaupun ujian air kencing dan darah telah dilakukan, maklumat yang diperoleh masih belum mencukupi untuk menentukan punca sebenar penyakit buah pinggang. Dalam keadaan ini, doktor mungkin mencadangkan prosedur yang dipanggil biopsi buah pinggang bagi mendapatkan sampel tisu kecil untuk diperiksa dengan lebih terperinci di makmal patologi.

Perkataan “biopsi” sering menimbulkan kebimbangan kerana ia kedengaran seperti prosedur yang menakutkan atau berisiko. Namun begitu, biopsi buah pinggang sebenarnya adalah prosedur yang biasa dilakukan, dilalukan oleh doktor yang terlatih, dan akan memberikan maklumat yang sangat penting untuk menentukan diagnosis yang tepat.

Melalui pemeriksaan mikroskopik oleh pakar patologi daripada sampel biopsi buah pinggang ini, keadaan buah pinggang dapat dilihat dengan jelas untuk mengenal pasti jenis penyakit yang sedang berlaku. Maklumat ini amat penting kerana rawatan bagi penyakit buah pinggang boleh berbeza-beza bergantung kepada jenis kerosakan yang berlaku pada tisu buah pinggang.

Diagnosis yang tepat membolehkan rawatan diberikan secara lebih khusus dan berkesan, sama ada melalui ubat-ubatan, pemantauan berkala, perubahan gaya hidup, termasuk juga menawarkan rawatan cuci darah (dialisis) mahupun pemindahan buah pinggang (transplan) apabila buah pinggang sudah terlalu teruk. Tanpa maklumat yang mencukupi daripada ujian makmal dan biopsi, rawatan mungkin tidak dapat disasarkan dengan tepat kepada punca sebenar penyakit.

Yang paling penting, orang ramai perlu memahami bahawa ujian-ujian ini dilakukan untuk membantu pesakit mendapatkan rawatan yang terbaik dan paling sesuai seawal mungkin. Jangan takut untuk menjalani pemeriksaan yang disarankan oleh doktor kerana maklumat yang diperoleh daripada ujian ini boleh memainkan peranan besar dalam melindungi kesihatan buah pinggang untuk jangka masa panjang.

Pada tahun 2025, usaha untuk mengesan penyakit lebih awal semakin diperkukuh, terutamanya melalui pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik kesihatan dan klinik keluarga. Pada masa yang sama, orang ramai juga digalakkan untuk lebih peka terhadap faktor risiko supaya penyakit dapat dikesan lebih awal dan dirawat dengan lebih berkesan, serta risiko kerosakan buah pinggang boleh dikurangkan dengan ketara.

Dr. Fauzah binti Abd Ghani
Pensyarah Perubatan Kanan
Jabatan Patologi
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Pakar Perunding Patologi Anatomik: Subkepakaran Patologi Renal
013-6277576
fauzah@upm.edu.my

Tarikh Input: 12/03/2026 | Kemaskini: 12/03/2026 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
S, (03:02:28am-03:07:28am, 06 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]