HARI PENDENGARAN SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI PENDENGARAN SEDUNIA 2025

HARI PENDENGARAN SEDUNIA 2025

Hari Pendengaran Sedunia 2025 telah tiba dan tema tahun ini adalah "Mengubah minda: transformasi diri agar penjagaan telinga dan pendengaran menjadi realiti untuk semua!"

Hari Pendengaran Sedunia, yang disambut setiap tahun pada 3 Mac, merupakan inisiatif global yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk meningkatkan kesedaran tentang masalah pendengaran dan mempromosikan penjagaan telinga dan pendengaran. Tema tahun ini menekankan penjagaan pendengaran secara pencegahan, di mana kesemua individu boleh membawa perubahan di dalam diri sendiri dan juga masyarakat!

Pendengaran adalah penting untuk komunikasi dan kesihatan keseluruhan setiap individu. Jika masalah pendengaran tidak dirawat, ia boleh menganggu kebolehan pertuturan dan menyebabkan masalah kognitif dan sosial. Selain masalah peribadi, ia juga boleh memberi impak yang negatif kepada masyarakat dengan meningkatkan kadar ketidakupayaan dan mengurangkan peluang pendidikan dan pekerjaan.

Kehilangan pendengaran adalah keadaan di mana individu tidak dapat mendengar bunyi secara sebahagian atau sepenuhnya, dengan ambang pendengaran diukur melebihi 20 dB. Tahap kehilangan pendengaran bermula dari tahap ringan hingga sangat teruk di satu atau kedua-dua telinga. Jika kehilangan pendengaran melebihi 35 dB, ia dianggap sebagai kehilangan pendengaran yang nyata kerana memberi kesan kepada komunikasi dan kehidupan harian.

Menurut WHO, lebih 5% daripada penduduk dunia (atau 430 juta orang) memerlukan intervensi untuk menangani masalah pendengaran. Menjelang 2030, lebih 500 juta orang dijangka akan mengalami masalah kehilangan pendengaran yang nyata, dan lebih satu bilion golongan muda menghadapi risiko kehilangan pendengaran yang kekal akibat pendedahan yang berpanjangan kepada bunyi yang kuat seperti mendengar muzik dan permainan video.

Kehilangan pendengaran boleh berlaku pada pada bila-bila masa dalam kehidupan. Bagi kanak-kanak, ia mungkin berpunca daripada faktor genetik, jangkitan semasa kehamilan (seperti rubella), komplikasi kelahiran, atau jangkitan telinga kronik. Bagi orang dewasa, masalah pendengaran yang berkaitan dengan usia, pendedahan bunyi yang kuat, dan ubat ototoksik adalah punca yang lebih kerap. Berita baiknya adalah kebanyakan kes kehilangan pendengaran boleh dicegah atau dirawat jika dikesan dengan awal.

Kehilangan pendengaran selalunya boleh dicegah dengan kesedaran yang awal dan penjagaan yang betul. Hampir 60% masalah kehilangan pendengaran kanak-kanak berpunca dari faktor yang boleh dielakkan dan kebanyakan kes dalam kalangan orang dewasa dikaitkan dengan risiko seperti pendedahan bunyi yang kuat dan ubat-ubatan tertentu. Langkah pencegahan termasuk vaksinasi, amalan penjagaan ibu dan anak yang baik, dan kaunseling genetik. Melindungi pendengaran di tempat kerja, amalan pendengaran yang selamat dan penggunaan ubat-ubatan secara bertanggungjawab juga boleh membantu mengurangkan risiko.

Pengesanan kehilangan pendengaran dengan lebih awal adalah kunci kepada rawatan yang berkesan. Pemeriksaan berkala adalah amat penting bagi kumpulan berisiko tinggi, seperti bayi baru lahir, kanak-kanak, pekerja yang terdedah kepada bunyi bising atau bahan kimia, individu yang mengambil ubat tertentu dan warga emas. Teknologi seperti 'hearWHO aplikasi' menjadikan saringan pendengaran lebih mudah.

Hari Pendengaran Sedunia 2025 ialah peluang untuk semua individu mengambil bahagian dalam melindungi pendengaran diri sendiri dan membantu mereka yang mengalami kehilangan pendengaran. Kempen ini menggalakkan semua individu untuk melindungi telinga mereka dari bunyi yang kuat, mendapatkan pemeriksaan pendengaran secara berkala, menggunakan alat pendengaran jika diperlukan dan membantu memudahkan komunikasi bagi individu yang mengalami masalah kehilangan pendengaran. Ia juga mendorong peningkatan akses alat bantuan pendengaran sambil mempromosikan keterangkuman di sekolah, tempat kerja dan komuniti.

Selain itu, Hari Pendengaran Sedunia 2025 akan memperkenalkan dua inisiatif baharu: Piawaian Global WHO-ITU untuk Pendengaran Selamat dalam permainan video dan sukan bagi melindungi pemain daripada pendedahan bunyi yang berbahaya, dan Modul Sekolah Mendengar Pintar, yang direka untuk mengajar pelajar tabiat mendengar selamat sebagai sebahagian daripada kurikulum mereka. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penjagaan pendengaran sejak usia muda.

Sama ada melalui perkongsian maklumat di media sosial, menggalakkan rakan-rakan dan keluarga untuk menjalani pemeriksaan pendengaran, atau menyertai acara serta usaha advokasi, setiap langkah mampu membawa perubahan. Bagaimana kita mendengar pada masa hadapan bergantung kepada langkah yang kita ambil hari ini. Mari kita bersatu untuk mencipta dunia di mana semua individu boleh menikmati keindahan bunyi!

Dr. Zuraini Mohammad Nasir

Pensyarah Perubatan Kanan

Jabatan Otorinolaringologi – Pembedahan Kepala & Leher

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 03/03/2025 | Kemaskini: 03/03/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
F, (03:26:37pm-03:31:37pm, 10 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]