Jangkitan Batuk Kokol Dan Pencegahan Melalui Vaksin | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Jangkitan batuk kokol dan pencegahan melalui vaksin

Jangkitan batuk kokol dan pencegahan melalui vaksin

Oleh: Prof. Madya Dr. Malina Osman

JABATAN Kesihatan Negeri Pahang memaklumkan berlakunya wabak pertussis atau batuk kokol di daerah Rompin. Makluman media juga menyebut mereka yang berasal dari dua daerah iaitu Rompin dan Pekan dan kalangan yang ingin ke daerah tersebut disyorkan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan potensi perebakan.

Jangkitan pertussis merupakan jangkitan sistem pernafasan oleh toksin yang dihasilkan bakteria Bordetella pertussis. Ia ditularkan melalui udara (dari batuk dan bersin) atau kontak langsung cecair nasal (hingus), air liur atau air mata.

Toksin yang dikeluarkan oleh bakteria tersebut merosakkan sel silia pada paru-paru, mengakibatkan radang dan kemudiannya menyebabkan rembesan atau bendalir (kahak) gagal dikeluarkan. Ia seterusnya menyebabkan seseorang individu yang dijangkiti batuk teruk kerana sistem tubuh berusaha mengeluarkan bendalir atau kahak berkenaan. Batuk teruk yang berterusan menyebabkan gangguan kepada pernafasan sehingga boleh
membawa maut.

Bakteria ini sacara umum boleh menjangkiti semua kumpulan umur termasuk dewasa dan warga emas. Namun kesan ketara berlaku di kalangan kanak-kanak yang mana impak teruk berlaku terutamanya di kalangan bayi yang berusia kurang setahun.

Dalam kumpulan lebih dewasa, gejala adalah ringan dan tidak begitu ketara sehinggakan ramai yang dijangkiti tidak menyedarinya. Mereka yang pernah dijangkiti atau menerima vaksin, tempoh perlindungan bertahan selama 4 hingga 20 tahun. Justeru, sebahagian dari individu dewasa berkenaan yang mengalami penurunan antibodi turut berpotensi menjadi punca jangkitan dalam kalangan kanak-kanak yang rentan.

Gejala klinikal pertussis tidak berlaku serta merta. Ia kebiasaannya berlaku selepas 1 atau 2 minggu selepas individu terdedah kepada punca jangkitan. Pada peringkat awal gejala, gejala yang ditunjukkan sama seperti demam selsema. Namun berbeza dengan demam selsema, didapati terdapat gejala masalah sukar bernafas terutama bayi dan kanak-kanak kurang 5 tahun.

Tanpa rawatan awal, gejala berlarutan sebagai batuk berterusan dalam sela episod yang pantas, teruk serta sukar diberhentikan. Dalam perubatan ia disebut paroxysmal coughs, yang mana pada hujung episod batuk kedengaran bunyi ‘whoop’. Ia diikuti kegagalan individu untuk menarik nafas seperti biasa, mengalami muntah teruk dan akhirnya terhenti seketika untuk bernafas (apnea). Dalam kalangan bayi yang berusia kurang setahun pula, gejala mereka lebih menjurus manifestasi sukar bernafas, kulit berubah menjadi biru (akibat kurang oksigen) dan tidak bermaya.

Rawatan segera ke hospital membolehkan pertussis dirawat menggunakan antibiotik serta rawatan sokongan yang lain. Namun demikian, keberkesanan antibiotik dibatasi oleh sejauh mana segera tempoh masa pesakit mendapat rawatan. Ini kerana, meskipun bakteria berkenaan berjaya ditangani melalui pengambilan antibiotik, namun kesan toksin bakteria yang telah dihasilkan merosakkan sel sistem pernafasan menyebabkan gejala teruk akan berterusan berlaku. Antara komplikasi serius ialah nafas terhenti tiba-tiba (apnea) [68%], radang paru-paru [22%], sawan [2%], radang otak (ensefalopati)[0.6%] dan kematian [1%].

Jangkitan pertussis yang telah dibuktikan berjaya ditangani dengan baik melalui pemberian vaksin. Data sebelum ini telah menunjukkan bagaimana kes pertussis telah berjaya diturunkan pada hujung tahun 90an. Ia kembali melonjak mencatatkan sejumlah kes yang agak ketara sehingga memerlukan dapatan kajian untuk mengkaji ciri-ciri mereka yang dijangkiti jangkitan berkenaan. Antara faktor berkenaan ialah keengganan membawa anak ke klinik untuk divaksin.

Pemberian vaksin sepertimana yang dijadualkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan memasukkan jadual vaksin pertussis seawal bayi berusia 2 bulan. Vaksin untuk pertussis diberi bersama vaksin untuk 5 penyakit yang lain iaitu tuberkulosis, difteria, tetanus, Hib (Haemophilus influenza b) dan hepatitis B. Jelas disini, usaha pencegahan penyakit dilakukan bersungguh-sungguh oleh petugas kesihatan dan KKM bagi memastikan
kesihatan anak-anak tidak terjejas.

Penurunan antibodi di kalangan dewasa serta ketiadaan perlindungan vaksin dalam kalangan kanak-kanak merupakan dua faktor utama yang telah didokumentasikan punca pertussis merebak dalam komuniti. Dalam masa yang sama, andai wabak gagal dikekang dengan baik, kita turut berdepan ancaman kemungkinan perebakan di kalangan komuniti warga asing yang tidak berdaftar secara sah kerana sebahagian besar anak-anak mereka turut tidak menerima perlindungan vaksin.

Pencegahan dan kawalan dalam situasi wabak seperti yang disyorkan dari Jabatan Kesihatan perlu diambil berat oleh semua individu dalam masyarakat. Ini termasuklah untuk isolasi kes-kes yang disahkan, pemisahan dengan kanak-kanak yang masih sihat dan kanak-kanak berusia kurang 7 tahun yang masih belum lengkap divaksin perlu dipatuhi.

Tempoh isolasi dan kuarantin ini bergantung kepada status pemberian antibiotik yang mana ia mengambil tempoh maksimum sehingga 21 hari. Justeru, bagi mengelakkan situasi menjadi lebih rumit, wajar warga tempatan yang masih belum mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka tampil ke hadapan untuk divaksin.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Kesihatan Awam
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 22/08/2023 | Kemaskini: 22/08/2023 | aisamuddin_ahmad

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXEYEAA~