Kekal Waspada Jaga Kesihatan Elak Penyakit Musim Perayaan | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Kekal waspada jaga kesihatan elak penyakit musim perayaan

Kekal waspada jaga kesihatan elak penyakit musim perayaan

Oleh Prof Madya Dr Malina Osman - April 25, 2023

PENGALAMAN COVID-19 mengganas dua tahun lalu pasti sukar dilupakan rakyat ter- utama mereka yang pernah disahkan positif pandemik itu. Menyorot kembali kepayahan dan kesedihan beraya ketika dikepung pandemik, wajar mengilhamkan kita untuk meraikan Aidilfitri kali ini dengan penuh kesyukuran.

Namun begitu, rakyat masih perlu sentiasa berwaspada dan konsisten menjaga kesihatan diri kerana ancaman COVID-19 masih wujud walaupun tidak sehebat dua tahun lalu.

Tidak bermakna jika COVID-19 semakin reda berbanding musim perayaan lalu, maka kita bebas daripada sebarang isu kesihatan kerana lazimnya musim ini juga kes keracunan makanan meningkat.

Sehubungan itu, wajar untuk kita memberikan perhatian mengenai cara pemilihan makanan dan minuman diambil ketika beraya supaya tidak mendedahkan kita kepada sebarang risiko keracunan makanan atau mengalami masalah penghadaman.

Dalam hal ini, penyediaan dan penyimpanan makanan sudah dimasak untuk keperluan sambutan Aidilfitri perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan kemungkinan berlaku keracunan makanan.

Cara penyediaan, pengendalian dan penyimpanan makanan perlu sentiasa diambil berat walaupun dalam kalangan ahli keluarga sendiri. Aspek kebersihan perlu diutamakan seperti memakai apron atau penutup kepala atau sarung tangan ketika memasak dan menghidang.

Seandainya ada tanda keracunan makanan, usah berlengah mengambil langkah segera seperti memastikan keadaan terkawal dengan pengambilan air minum mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi. Sementara menunggu rawatan klinik, disyorkan mengambil minuman isotonik atau air kelapa segar atau minuman seperti yogurt.

Pastikan tiada bekas takungan

Sementara itu, jika pulang ke kampung lebih dua hari, perlu memastikan tiada sebarang bekas takungan berpotensi membiakkan nyamuk di persekitaran. Ini penting untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya kluster denggi atau penyakit bawaan nyamuk lain seperti chikungunya dan zika.

Mereka yang akan memandu juga perlu memastikan kesihatan dan keselamatan diri dijaga. Sentiasa pastikan kenderaan selamat, memilih waktu pemanduan bersesuaian serta tidak emosional ketika di memandu. Elakkan menggunakan telefon bimbit untuk bergambar dalam perjalanan atau untuk tujuan lain.

Di samping itu bagi mengelakkan pencemaran sekitaran, cuti panjang biasanya berkait dengan jadual kutipan sampah tidak mengikut jadual seperti biasa.

Oleh itu, sampah sarap perlu diikat kemas serta memilih mekanisme alternatif terbaik bagi mengelakkan sampah berkenaan menjadi sumber jangkitan di dalam komuniti.

Namun, di sebalik kita sama-sama meraikan Aidilfitri pada fasa pasca pandemik ini, isu kesihatan semasa terutama berkaitan kes jangkitan COVID-19 didapati melonjak di beberapa kawasan baru-baru ini.

Meskipun sebahagian daripada kita sudah divaksin atau pernah mendapat jangkitan COVID-19 sebelum ini, lonjakan kes berlaku akibat kemunculan strain virus dikatakan sangat mudah berjangkit itu tidak boleh dipandang ringan.

Dalam kalangan kita ada yang mempunyai masalah kesihatan dan mungkin menyebabkan keadaan kesihatan mereka menjadi lebih buruk seandainya dijangkiti COVID-19.

Terdapat juga individu langsung tidak boleh divaksin akibat masalah perubatan tertentu. Oleh itu, aktiviti berhari raya perlu dilaksanakan dalam suasana sihat dan selamat serta melindungi mereka yang mungkin terdedah untuk mendapat jangkitan yang teruk.

Seandainya tidak sihat seperti demam dan batuk, ambil langkah proaktif dengan membuat ujian saringan serta kekal mengambil langkah kuarantin kendiri sehingga pulih sepenuhnya.

Sentiasa memakai pelitup muka serta pastikan kebersihan tangan dan etika batuk atau bersin sentiasa dipatuhi. Bagi mereka yang sihat, elakkan berada di tempat awam tanpa sebarang tujuan.

Andai perlu berada di tempat berkenaan, sentiasa memakai pelitup muka serta mengambil berat untuk menjaga kebersihan diri dan dan tangan.

Apa yang penting, kita harus terus mengamalkan cara hidup sihat seperti bijak mengendalikan tekanan, berhenti merokok atau vape, mengamalkan pemakanan sihat, selamat dan seimbang serta melakukan aktiviti bermanfaat.

Penulis adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Kesihatan, UPM

sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2023/04/1093472/kekal-waspada-jaga-kesihatan-elak-penyakit-musim-perayaan

 

Tarikh Input: 18/07/2023 | Kemaskini: 18/07/2023 | ahmadmustafa

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXEYEAs~